Jumaat, 28 Ogos 2009

Apakah yang Anda faham tentang Qadha dan Qadar

Firman Allah dalam Kitab Suci Al Quran:

"Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat berkenaan)" Surah Hud ayat 6

"Dan kamu tidak dapat menentukan kamahuan kamu (mengenai sesuatu), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir seluruh alam." Surah al-Takwir ayat 29

"Dan tiada kamu menghendaki kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah s.w.t. adalah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana." Surah al-Insan ayat 30

Berdasarkan ayat-ayat di atas, segala urusan manusia itu khasnya perkara-perkara yang berkaitan dengan rezeki telah pun diatur dan ditentukan oleh Allah s.w.t. Kita tidak perlu bimbang dan takut mengenainya kerana Allah telah memberi jaminan sebagaimana yang telah disebut dalam Surah Hud:6. Segala usaha yang telah kita lakukan sama ada ianya berjaya ataupun tidak pada hakikatnya berlaku hanya atas kehendak Allah s.w.t. sebagaimana yang telah disebut dalam Surah al-Takwir:29. Malah segala bentuk usaha dan kejadian luar biasa yang berlaku adalah atas kehendak dan ketentuan Allah s.wt. sebagaimana yang disebut dalam Surah al-Insan:30.

Jadi kalau gitu macam mana ya? Adakah kita tak perlu buat apa-apa? Duduk termenung dan tunggu aja segala ketentuan Allah s.w.t. Itulah kesilapan kita. Kefahaman tentang Qadha dan Qadar tidak jelas. Manusia tetap diwajibkan berusaha sekuat kemampuan mereka dan seterusnya menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t. untuk menentukan hasil ke atas segala usahanya. Apapun hasil yang diperolehi adalah mengikut apa yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Berusaha itu adalah satu kewajipan kerana Allah telah berfirman melalui Surah al-Ra'du ayat 11 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehinggalah mereka merubah sendiri keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah s.w.t. menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum maka tidak ada yang dapat menolaknya dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia."

Jadi jika kita nak kaya kita kena usaha sekuat-kuatnya dan jika kita sakit kita kena bursusaha bersungguh-sungguh untuk sembuh dengan berubat lepas tu kita serahkan lah kepada Allah untuk menentukannya. Apa yang ditentukan itu adalah sudah tentu yang terbaik untuk kita sama ada kita berjaya atau tidak. Allah s.w.t. telah juga berfirman yang bermaksud :

"Dan Tuhan kamu berfirman: "Bedoalah kamu kepada Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina."

Ha, ha kan bagus kalau kita kongsi ilmu begini. banyak menafaatnya. Berhenti dulu sampai sini. nanti kita sambung lagi. Kalau panjang-panjang sangat nanti orang malas nak baca.

Wassalam.

Isnin, 24 Ogos 2009

Berhenti Sementara

MAAF, terpaksa berhenti buat sementara waktu kerana perlu menguruskan isteri yang tercinta yang sedang dalam rawatan Brain Tumor ( Ketumbuhan Dalam Otak ). Akan kembali apabila keadaan mengizinkan.

Ahad, 2 Ogos 2009

Wudhu' dan Solat

Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk
solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk
dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya,
demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam
dan bertanya, "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"

Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat, aku berwudhu' zahir dan batin."

Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?"

Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air".

Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-
* Bertaubat
* Menyesali dosa yang telah dilakukan
* Tidak tergila-gilakan dunia
* Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya')
* Tinggalkan sifat berbangga
* Tinggalkan sifat khianat dan menipu
* Meninggalkan sifat dengki.

Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat.

Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan:
1.Aku sedang berhadapan dengan Allah,
2.Syurga di sebelah kananku,
3.Neraka di sebelah kiriku,
4.Malaikat Maut berada di belakangku, dan
5.Aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Siratal mustaqim' dan
menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku,
kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik."

"Setiap bacaan dan doa solat, aku faham maknanya kemudian aku
rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh
pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat
selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya
yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

Kiriman dari seorang rakan melalui email.
Harap dihayati dan dimunafaatkan sepenuhnya agar hidup kita akan diberkati Allah.