Isnin, 25 April 2011

Kanak-Kanak Obes. Salah Siapa?

Isu yang sedang hangat dibincang oleh masyarakat kita sekarang adalah isu OBESITI (KEGEMUKAN) di kalangan kanak-kanak sekolah. Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengeluarkan pekeliling melarang jualan NASI LEMAK di sekolah-sekolah untuk mengelakkan kanak-kanak sekolah menjadi OBES. Benar kah Nasi Lemak adalah salah satu punca masalah obesiti di kalangan kanak-kanak sekolah. Adakah satu kajian yang khusus dibuat oleh mana-mana badan yang bertauliah mengenai kesan memakan Nasi Lemak di kalangan kanak-kanak sekolah? Rasanya takde. Kalau ye ada kenapa tak dilampirakan hasil kajian tersebut bersama dengan pekeliling berkenaan?

Akibat daripada larangan tersebut serba sedikit telah menjejaskan pendapatan pengusaha kantin sekolah. Cuba kita lihat senario ini secara waras dan menyeluruh. Kanak-kanak telah didedahkan kepada makanan yang berkalori tinggi sejak dari kecil lagi oleh ibu bapa. Apa tidaknya, dari umur seawal satu tahun atau dua tahun, ibu bapa dah ajar anak-anak mereka makan makanan "Fast Food" seperti Kentucky, Mc D, Burger King dan entah apa lagi. Tanpa disedari makanan tersebut adalah makanan berkalori tiggi. Kualiti hidup masa kini telah memberi lebih banyak pilihan makanan kepada anak-anak kita. Zaman kanak-kanak saya dulu, kami tidak mempunyai pilihan makanan yang begitu banyak. Apa yang ada hanyalah kuih muih tradisonal, nasi lemak, roti canai dan mee hoon goreng. Ha ah ye, Nasi Lemak juga! Tapi mengapa kami tak jadi Obes?

Ibu bapa yang berkerja terutama sekali di bandar tidak mempunyai masa untuk mengurus makanan anak-anak. Semuanya diserahkan kepada pembantu rumah. Entahlah, pada saya bukan tak ada masa tapi TAK PANDAI MENGURUS MASA SECARA BERKESAN. Akhirnya anak-anak ini terdedah dengan gaya hidup ringkas di mana apa yang di makan juga dari jenis yang ringkas tetapi tak berkhasiat dan berkalori tinggi. Salah satu iklan yang mengambarkan senario ini adalah iklan sebuah syarikat makanan ringan yang besar dan terkenal. Kanak-kanak masa kini jarang sekali dibawa untuk berekreasi atau beriadah. Masa kanak-kanak ini dihabiskan di hadap TV atau Komputer dengan video atau permainan video. Cara hidup yang tidak aktif ini akan mengakibatkan kadar metabolik kanak-kanak menjadi rendah. Lebihan makanan akan ditukar menjadi lemak di dalam tubuh. Kami dulu, mana ada semua tu. Mainan kami adalah, Guli, Kotak, Galah Panjang, "Polis & Thief" dan bermacam lagi permainan yang memerlukan pergerakan yang aktif. Apa tidaknya, kejar mengejar di antara satu sama lain. Pendek kata, berpeluh basah habis baju. Balik rumah kena marah sebab habis kotor baju. Seronok betul dulu.

Semasa saya berkhidmat dahulu, saya dapat lihat kanak-kanak yang hadir ke sekolah untuk mendaftar dalam Darjah Satu kebanyakkannya berbadan montel. Jadi sebelum mereka ini terdedah dengan Nasi Lemak di kantin sekolah mereka dah pun MONTEL. Janganlah pulak "Marahkan Nyamuk, Kelambu Dibakar". Itu kata orang tua-tua kita la. Apa yang saya perkatakan di atas adalah hanya pendapat saya. Takde pun buat apa-apa kajian saintifik. Yang penting kita dapat kongsi pendapat untuk difikirkan bersama-sama demi kebaikan kita semua. Insya Allah dalam catatan akan datang saya akan berbincang pula mengenai "Permainan Kanak-Kanak Masa Dulu".

Wassalam.

Jumaat, 22 April 2011

KITA NAK TAPI TAK NAK

Ha, hari ni nak cerita pulak tentang satu lagi sikap rakyat Malaysia secara umumnya. Saya tak kata yang semua orang kita macam ni, tapi ramai juga lah yang berperangai begini.

Kita nak ringkas, mudah, dan cepat. Apa saja urusan dan perbuatan yang kita buat, kita nak ringkas, mudah dan cepat. Akhirnya ia menjadi punca sikap mementingkan diri, kurang ajar dan sombong wujud di antara kita. Entahlah mungkin saya agak keterlaluan dengan mengatakan sedemikian. Tapi, cuba kita fikirkan sejenak dan buat penilaian serta keputusan.

Melintas jalanraya yang sibuk amat menggerunkan. Maklumlah dengan kenderaan yang lalu lalang dengan laju tanpa mempedulikan mereka yang berada disekeliling. Kita pun mula merungut dan menunding jari kepada sesiapa saja atas kesulitan kita. Akhirnya sebuah jejantas dibina untuk memudahkan kita melintas. Di setengah tempat sebuah lampu isyarat dipasang. Alangkah seronoknya kita. Kita sudah tidak lagi merasa susah untuk melintas jalanraya tersebut. Ramailah yang memuji pihak yang telah menyediakan kemudahan tersebut. Ye ke? Rasanya tak kot. Semasa pembinaan sedang dijalankan pun dah mula terdengar suara-suara sumbang mengenai kemudahan tersebut. Tinggi sangatlah, jauh sangat dari tempat nak melintaslah, lambat tukar kepada lampu hijaulah dan entah bermacam lagi. Akhirnya beratus ribu ringgit lah duit rakyat dibazirkan sebab jejantas dan lampu isyarat berkenaan tidak diguna oleh orang. Kita masih lebih berminat untuk melintas di mana saja kita suka asalkan kita tak perlu berjalan ke tempat lampu isyarat atau jejantas itu berada. "Lecehlah!" kata kita.

Ini yang dikatakan 'NAK TAPI TAK NAK' Kalau nak dibincang dengan panjang lebar banyak lagi contoh "Nak dan Tak Nak" ni. Bak kata Nabil "Lu Fikirlah Sendiri".

Isnin, 18 April 2011

Susahnya Hidup. Gaji Tak Cukup

Manusia memang tak pernah puas dengan apa yang ada pada mereka. bak kata pepatah Melayu "Beri betis nak peha". Kalau dah dapat satu, nak dua. Dah dapat dua, nak tiga. begitulah seterusnya. Kita selalu dengar orang merungut yang gajinya tak cukup. Pernah ke kita dengar orang tak merungut pasal pendapatan dia? Rasanya tidak. Semua akan merungut dan merasa ianya tak mencukupi. Jadi bila agaknya manusia akan merasa cukup. Kita ni nampaknya tak ada bezanya dengan Qorun yang telah dibenamkan oleh Allah dengan harta-hartanya. Cukup itu bergantung kepada cara kita mengendali hidup kita. Jika kita hudup dalam lingkungan kemampuan kita, sudah tentu ianya cukup. Kata orang tua, " Ukur baju ikut badan". Jika orang tinggal di sebuah rumah besar, tak kan kita pun nak tinggal di rumah besar juga sedangkan pendapatan kita tak mengizinkannya. Jika orang mengguna kereta, tak kan kita pun nak guna kereta, sedangkan kita tak mampu.

Cuba kita buat pengiraan. Jika pendapatan kita hanya RM2000.00, isteri tak berkerja dan mempunyai seorang anak. Bagaimanakah agaknya akan kita berbelanja? Rumah yang bagimana ya, yang akan kita duduki? Yang sewanya RM500, RM700 atau RM300? Seperti biasa kita nak selesa jadi kita sewa yang RM500. Baki pendapatan kita adalah RM1500. Setelah ditolak belanja lain seperti, belanja dapur RM500, leterik dan air RM50, ansuran kereta RM500 dan lain-lain perbelanjaan RM300. Baki tinggal RM150.00
Cukup ke? Adakah itu cara hidup yang paling baik? Susahkan untuk kita meletakkan diri kita di dalam keadaan hidup yang benar-benar mengikut kemampuan. Biasanya kita akan berada dalam keadaan berhutang yang amat teruk sehinggakan kita terpaksa melakukan sesuatu untuk menampung kekurangan tersebut. Ini lah hakikatnya ramai daripada kita yang hidup di bandar dan kota. Nak ikut orang sekeliling kita. Kononnya malu kalau orang tahu rumah kita takde TV LCD, takde ASTRO, takde set kerusi antik, takde peti ais dua pintu, entah apa lagi yang takde. Oleh kerana terlalu sangat nak jaga apa yang orang kata, kita sanggup bergolok bergadai asalkan kita tak malu.

Saya nampak penduduk kampung lebih selesa dan mampu menabung dan melabur dengan banyak. Kebanyakan pelabur ASNB adalah dari golongan penduduk kampung. Mereka hidup mengikut kemampuan dan berjimat. Tidak seperti kita yang di bandar. Jadi marilah sama-sama kita renungkan adakah kesempitan hidup kita itu berpunca dari pendapatan yang kacil atau berpunca dari gaya hidup kita yang tak berpadan dan berhemah.

Pak Ngah sekadar merenung diri sendiri yang juga tak berapa berjaya untuk berhemah.

Khamis, 7 April 2011

KEPENTINGAN DIRI ATAU MEMENTINGKAN DIRI?

Setiap manusia akan menghadapi delima ini setiap masa. Apakah bezanya KEPENTINGAN DIRI SENDIRI dengan MEMENTINGKAN DIRI SENDIRI? Entahlah bunyai macam serupa aje. Sekali pandang tak nampak apa-apa perbezaan pun. Dua-dua perkataan tersebut merujuk kepada DIRI SENDIRI. Jadi apa pulak masalahnya? Bagi saya kedua-dua sikap di atas mempunyai banyak perbezaan.

KEPENTINGAN DIRI SENDIRI: Adalah perkara-perkara yang berkaitan dengan keperluan hidup kita seharian. Makan minum, pakaian, rumah kediaman, kenderaan adalah kepentingan diri kita. Pendapatan kita akan kita gunakan untuk memenuhi segala keperluan yang merupakan satu kepentingan kepada kita. Apa yang kita lakukan adalah hanya untuk memastikan hidup kita lengkap dan selesa. Kita tidak akan melibatkan orang laian dalam hal memenuhi kepentingan diri kita.

MEMENTINGKAN DIRI SENDIRI: Adalah perkara yang kita lakukan untuk memenuhi kehendak kita tanpa memikirkan kesan dan akibat tindakan kita ke atas orang lain. Kerapkali kita akan berhadapan dengan suasana dan keadaan di mana kita perlu mengambil keputusan dan membuat pertimbangan sama ada hendak bertindak demi untuk memenuhi kehendak kita TANPA memikirkan kesan dan akibat tindakan kita itu ke atas orang lain. Jika kita mengambil sikap MEMENTINGKAN DIRI SENDIRI, sudah tentulah tindakan kita itu akan menyusahkan orang lain.

CONTOH SIKAP MEMENTINGKAN DIRI SENDIRI:

1. Memotong barisan di persimpangan atau lampu isyarat. Perbuatan ini akan menyusahkan orang yang dah lama beratur terlebih awal dalam barisan.

2. Menukar arah tanpa memberi lampu isyarat dan dilakukan secara mengejut. Kereta belakang terpaksa mengelak atau menekan brek secara mengejut yang akan mengakibatkan kederaan belakang merempuh kereta depan.

3.Meletakan kenderaan di mana saja yang disukai tanpa memikirkan kesulitan pemandu lain yang terganggu laluan mereka akibat perbuatan kita.

4. Menolak sampah yang ada di dalam longkang ke arah rumah jiran. Yang penting longkang rumah kita bersih. Ada pula yang membuat sekatan di longkang supaya sampah dari jiran sebelah tak melalui longkang kita. Ini akan mengakibatkan longkang jiran kita tu tersumbat dan busuk.

5. Memasang radio atau tv dengan kuat sehinggakan mengganggu jiran kita. Yang penting bagi kita ialah kita dapat dengan muzik atau lihat tv dengan puas.

6. Terus berurusan dengan mana khidmat kaunter tanpa megambil nombor giliran. Kita buat macam kita seorang sahaja yang nak cepat. Kita seorang sahaja yang ada banyak hala penting nak dibereskan.

Begitulah tingkah laku manusia setiap hari. Yang difikirkan hanyalah DIRI DIA. Bukan salah untuk memikirkan dan mementingkan DIRI SENDIRI untuk memenuhi KEPENTINGAN DIRI, tapi janganlah sampai merampas dan menafikan KEPENTINGAN DAN HAK orang lain.

Wassalam