Khamis, 27 Februari 2014

Ahklak Dengan Ibu Bapa

Kita seringkali dapat membaca berbagai tulisan mengenai berbuat baik kepada kedua orang tua kita. Ramai diantara kita yang copy & paste tulisan yang kita terbaca di dalam Facebook, Twitter dan Blog. Rasa bangga kerana telah dapat mengutarakan tulisan-tulisan yang mengajak kita berbakti dan berjasa kepada ibu bapa kita. Darjat dan mertabat ibu bapa dalam Islam amatlah tinggi. Ibu bapa adalah orang yang teristimewa dalam hidup kita selepas Allah swt dan Rasulullah saw. Menderhaka kepada ibu bapa adalah seolah-olah derhaka kepada Allah swt.

Dalil-dalil dan nas-nas dari Al Quran dan Sunnah amat banyak sekali mengenai tanggungjawab kita kepada ibu bapa. Di antaranya adalah:-

"Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukannya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapamu." (An Nisaa : 36)  Lain-lain ayat adalah; Surah Lukman : 14, Surah Al Isra : 23 - 24, Surah Al Ahqaf : 15 manakala diantara hadith-hadith Rasulullah yang berkaitan adalah seperti berikut;

" Keredhaan Allah terletak kepada leredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah terletak kepada kemurkaan ibu bapa" ( Imam At Tarmizi ),
"Pada suatu waktu datang seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah sambil berkata; Siapakah yang lebih berhak menerima perkhidmatanku? lalu Rasulullah menjawab; "Ibumu." Lelaki itu bertanya lagi; Kemudian siapa pula?  Rasulullah menjawab; "Ibumu.", Tanya lelaki itu lagi, Kemudian siapa lagi? Jawab Rasulullah; "Ibumu." Soal lelaki itu, Kemudian siapa lagi?, Rasulullah menjawab, "Bapamu".   ( Muttafaqun Alaih)
"Orang yang paling besar haknya kepada seseorang anak, ialah ibunya." (Hakim)

Persoalannya di sini adalah sudahkah kita melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita untuk kedua ibu bapa kita. Jika sudah, adakah ia memadai dan mencukupi? Pernah datang seorang lelaki yang telah menyerahkan seluruh hasil pencariannya kepada ibunya lalu bertanya kepada Rasulullah; "Sudahkah saya membalas jasa ibu saya? Jawab Rasulullah: "Tidak, membalas satu nafasnya yang panjang pun tidak." Lelaki itu bertanya mengapa; Jawab Rasulullah; "Kerana ibumu memelihara kamu dan dia suka kamu panjang umur, sedang kamu memeliharanya tetapi kamu inginkan dia mati segera" Rasulullah telah menunjukkan kepada kita bahawa setiap pengorbanan dan kebaikan yang kita buat untuk ibu kita perlu ikhlas. Jika tidak ia adalah sesuatu yang sia-sia sahaja.

Maka di sini saya berkata kepada diri saya bahawa saya ini belum lagi dapat membalas jasa ibu bapa saya walaupun telah banyak yang telah saya lakukan untuk mereka. Nilai pengorbanan kepada kedua ibu bapa saya itu amatlah sedikit sekali. Saya bermohon agar Allah swt akan memberi saya kekuatan untuk terus berbakti kepada kedua ibu bapa saya secara ikhlas dan jujur. Jangan sedetik pun rasa tekilan
 atau rugutan apabila berbuat baik kepada ibu bapa kita. Mudah-mudahan pengorbanan kita itu akan diredhai oleh kedua ibu bapa kita barulah kita akan mendapat keredhaan Allah swt.