Sabtu, 3 Jun 2017

Budaya Membaca

Berapa ramaikah di antara kita yang mempunyai tabiat membaca? Ramai di antara kita tak mahu malah malas membaca. Kita lebih senang mendengar daripada membaca. Ramai di antara kita yang menurunkan tandatangan di atas dokumen penting seperti perjajian jual beli, perjanjian meminjam wang atau terma dan syarat penggunaan perisian komputer tanpa membacanya. Akibatnya apabila berlaku sebarang masalah barulah kita mula mempersoalkan macam-macam. Apa yang penting pada kita adalah keperluan kita itu dilulus dengan cepat dan mudah. Kelemahan inilah yang kerap diambil kesempatan oleh para juru jual untuk mendapatkan jualan yang tinggi,

Membaca adalah satu tabiat yang sangat baik terutama sekali di kalangan kanak-kanak. Tabiat ini kini semakin berkurangan di kalangan anak-anak muda di negara kita. Malah jarang sekali kita dapat lihat mereka ini duduk membaca ketika sedang menunggu di mana-mana jua. Ramai yang lebih leka dengan gajet. Jika gajet digunakan untuk mengakses bahan bacaan ilmiah bagus juga, tapi ia lebih di gunakan untuk berbual melalui perisian komunikasi ataupun bermain permainan maya. Jika dahulu kita perlu membawa buku ke mana saja jika kita ingin membaca, kini ia tidak lagi perlu kerana melalui alat gajet kita mampu membaca sebanyak mungkin bahan bacaan seperti buku, majalah dan lain-lain terbitan ilmiah. Salah satu punca mengapa ini menjadi satu masalah adalah kerana ibu bapa telah membiasakan anak-anak sekecil umur setahun dengan gajet seperti telefon bimbit. Anak-anak kecil ini leka dan tidak memberi masalah kepada ibu bapa mereka. Buku sudah tidak dibiasakan.

" budaya memilih bahan bacaan tertentu tanpa berminat untuk membaca bahan ilmiah lain bakal merencatkan usaha menyemai semangat suka membaca sebagaimana masyarakat di Jepun dan Perancis yang menjadikan budaya membaca sebagai 'santapan jiwa' yang wajib dilaksanakan" Prof. Dr Abd Jalil Othman, Jabatan Pendidikan Bahasa dan Literasi, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, (Sinar online 8.10.2015)

Mempelbagaikan bahan baacan akan membuka luas peluang untuk kita mempunyai minda yang berfikiran luas dan terbuka. Masyarakat Jepun dan Perancis menjadikan tabiat membaca itu sebagai santapan rohani. Salah satu punca mengapa masyarakat kita sering membuat keputusan dan tanggapan yang negatif terhadap maklumat yang tersebar luas melalui media sosial adalah kerana bahan baacan mereka adalah terhad. Kita perlu mempelbagaikan bahan bacaan kita dari sebuah novel kepada terbitan jurnal ilmiah, kajian-kajian yang terdapat luas melalui portal institusi kajian dan universiti serta dari sumber-sumber ilmiah lain agar kita menjadi masyarakat tegar membaca. Barulah kita akan mempunyai minda yang kukuh dan pandangan yang luas agar apa jua bahan yang dilambakkan dihadapan kita akan dapat kita nilai dan tapis sebelum menerimanya bulat-bulat.

Perangkaan berkaitan dengan tabiat membaca di kalangan masyarakat Malaysia amat menegcewakan. Perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perpustakaan Negara menunjukkan bahawa pada tahun 1997 masyarakat Malaysia hanya membaca satu muka surat buku setahun. Pada 2002 ia meningkat kepada dua muka surat setahun dan pada 2005 masyarakat kita hanya membaca dua naskah buku seperti komik, majalah dan akhbar setahun. Jika dibandingkan jumlah buku yang dibaca oleh mahasiswa dari Australia (160 buah buku setahun), Indonesia (43 buah buku setahun), Thailand (41 buah buku setahun, India (75 buah buku setahun), dan Brunei (15 buah buku setahun) mahasiswa Malaysia hanya membaca sebanyak empat buah buku setahun. Berapa agaknya jumlah buku yang dibaca setahun oleh masyarakat umum Malaysia jika mahasiswa kita hanya membaca empat buah buku setahun. Perangkaan ini meletakkan masyarakat kita sebagai masyarakat yang malas membaca.

Berapa ramaikah dikalangan ibu bapa kita yang menyediakan sudut bacaan atau pun perpustakaan mini di rumah masing-masing? Berapa ramaikah ibu bapa yang kerap membawa anak-anak ke galeri buku, kedia buku serta perpustakaan? Jika ditanya sudah tentu jawapannya adalah: "Tiada ruang di rumah untuk menyediakan sudut bacaan", " Mana ada masa untuk itu semua?" Ibu bapa ada masa untuk bersantai dengan rakan-rakan di warung kopi, membeli belah bersama rakan-rakan atau bermain golf. Masa berkualiti untuk ahli keluarga bagaimana ye? Berapa lamakah kita menghabiskan masa bersama anak-anak secara berkualiti seperti duduk sama-sama membaca. Berapa banyakkah peruntukan diberi kepada anak-anak setiap bulan untuk membeli buku? Persoalan-persoalan inilah yang perlu kita tanya pada diri kita. Kita mampu membelanjakan wang untuk perkara lain tapi amat berat membelanjakan sedikit wang membeli bahan bacaan untuk anak-anak kita. Selagi tabiat ini tidak diperbetulkan selama itulah masyarakat kita akan sentiasa ketinggalan dan sempit serta mundur daya fikirannya. Dalam Surah Al Alaq, ayat yang pertama diturunkan oleh Allah SWT kepada junjungan kita Rasulullah saw bermaksud " Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekelian makhluk)."  Ternayata jelas bahawa membaca itu sangat dituntut dalam agama Islam. Marilah kita memulakan tabiat membaca dikalangan anak-anak kita. Agar akan wujud satu generasi yang berilmu dan maju.