Khamis, 29 Mac 2018

CARI PELUANG DAN BUAT KERJA ATAU TUNGGU PELUANG DAN CARI KERJA



Apabila kita lihat suasana yang sedang berlaku di sekitar kita, akan tertanya apa nak jadi dengan masyarakat kita. Di mana silapnya sistem pendidikan negara. Di mana silapnya sistem keluarga masyarakat kita. Adakah kesilapan ini semua berpunca dari sistem atau ianya pengaruh media, rakan sebaya atau budaya luar. Saya masih lagi tertanya-tanya apakah puncanya. Cuba kita lihat satu persatu daripada masalah yang wujud.

Pengangguran merupakan isu paling penting di semua negara. Rata-rata indeks pengangguran menjadi bahan perbahasan, bahan rujukan dalam menentukan status ekonomi negara. Apa yang membuat saya rasa keliru adalah sikap anak-anak muda terutama sekali lepasan universiti yang sentiasa dijadikan bahan dan ukuran keadaan ekonomi negara. Kata-kata yang mengatakan hidup sekarang amat susah sekali berbanding dulu. Susah nak cari makan katanya. Cuba kita lihat jumlah pendatang asing yang setiap hari berduyun-duyun datang ke negara kita untuk mencari rezeki. Ramai juga di antara mereka ini yang mempunyai kelayakan akademik yang tinggi sehingga ke tahap ijazah. Mereka sanggup buat apa saja pekerjaan demi mencari rezeki untuk dihantar balik ke negara asal mereka. Hampir kesemua kedai-kedai Tomyam Thai yang terdapat di negara ini adalah diusahakan oleh warga Selatan Thai. Mereka juga terdiri dari anak-anak muda negera Thai. Anak-anak muda kita bagaimana ye? Ramai dari anak-anak muda kita hanya menjadi pengusaha Gerai Burger. Warga Thai ini memulakan perniagaan dengan membuka warubg di tepi jalan dengan menyewa tapak dari warga kita. Setelah beberapa tahun meraka mampu membuka restoran yang tersergam indah. Jika kita lihat hampir di kebanyakan kedai, kilang, Mall, Pasaraya dan sektor pembinaan para pekerjanya adalah warga asing. Jadi di mana asasnya yang mengatakan tak ada pekerjaan di dalam negara ini. Jika kelayakan akademik menjadi isu, mengapa pula para graduan dari negara asing sanggup melakukan semua pekerja yang disebut tadi. Saya pernah berbual dengan beberapa pekerja dari Bangladesh yang bekerja di stesen minyak, SWM dan di Pasaraya, ramai di antara mereka ini adalah pemegang ijazah atau diploma. Amat sukar sekali untuk bertemu dengan graduan kita yang sanggup membuat semua pekerjaan berkenaan. Alasan yang diberi adalah “Tak kan nak kerja macam tu sedang saya mempunyai Ijazah. Penat belajar bertahun-tahun”.

Seorang pekerja dari India yang bertugas sebagai pelayan di sebuah restoran di Subang Jaya, setelah bekerja selama 15 tahun di Malaysia telah pulang ke India setelah berjaya mempunyai 3 buah kedai, 2 buah rumah dan 10 ekar ladang gandum hasil dari simpanan yang dikumpulkan semasa bekerja di sini. Seorang penjual satay dari Surabaya telah berjaya mendirikan sebuah banglo besar dan mempunyai beberapa ekar kebun hasil dari jualan satay selama 20 tahun di sini. Seorang pekerja buruh binaan dari Madura Indonesia telah berjaya mendirikan sebuah syarikat binaan sendiri setelah bekerja di sini selama 12 tahun. Seorang wanita dari Indonesia telah berjaya menjadi usahawan kantin di 2 buah kilang dan juga telah berjaya membuka sebuah warung makan yang laris jualannya. Ramai lagi warga asing yang berjaya yang boleh dijadikan contoh. Lihat saja disekeliling kita di seluruh pelusuk negara. Tidak dinafikan bahawa memang ada anak muda kita yang juga berjaya menjadi kaya dan hidup senang hasil dari usaha mereka yang gigih tetapi jika dibandingkan jumlahnya dengan warga asing yang berjaya amat kecil sekali bilangan anak-anak muda kita yang berjaya. Ramai juga kenalan saya yang menjana pendapatan RM 7 ribu hingga RM 10 ribu sebulan dengan berniaga kecil-kecilan. Seorang peniaga warung tepi jalan yang saya kenali mampu mendapat sehingga RM 1 ribu sehari. Ini bermakna beliau mendapat hasil sebanyak RM 26 ribu sebulan selama berniaga sebanyak 26 hari. Seorang lagi kenalan saya yang mempunyai Diploma telah gigih mengusahakan jualan ais krim Malaysia. Beliau mampu menjana pendapatan sebanyak RM 350 sehari iatu RM 7000 sebulan. Seorang lagi kenalan saya yang mengusahakan gerai roti canai berjaya menjana pendapatan sebanyak RM 2900 seminggu iaitu sebanyak RM 11 ribu sebulan.

Mengapa kita perlu merungut dengan keadaan yang kononya tiada pekerjaan Bak kata Tok Mat Menteri Besar Negeri Sembilan, pendidikan di universiti itu adalah untuk mematangkan kita. Jangan tunggu peluang setelah tamat pengajian tapi cari peluang dan jangan cari kerja tapi buat kerja. Barulah kita boleh berjaya dalam hidup. Malah peluang dan bantuan banyak disediakan oleh kerajaan. Yang penting berusahalah dan jangan mengaku kalah jika terpaksa berhadapan dengan berbagai halangan dan rintangan. Kata orang tua-tua “Masakan dapat sagunya jika tidak dipecahkan ruyungnya”. Teringat saya peristiwa di mana seseorang yang berhenti di sebuah gerai Orang Asli di Muadzam Shah untuk membeli sebuah pokok Tanduk Rusa yang dijual oleh orang asli itu. Apabila beliau mengatakan bahawa harganya mahal tahukah apa jawapan yang diberi oleh orang asli itu. “Kalau nak murah masuklah hutan carilah sendiri”. Ungkapan tersebut memberi saya motivasi untuk berusaha. Cuba kita bayangkan bertapa susahnya orang asli itu perlu meredah hutan dan terpaksa juga memanjat pokok hutan yang besar dan tinggi untuk mendapat pokok Tanduk Rusa itu. Hargailah susah payah mereka yang berusaha mencari bahan jualan mereka terutama sekali yang terdapat di dalam hutan. Pernah tak kita bayangkan bertapa susahnya untuk mengumpul madu tualang dari hutan atau pernah tak kita bayangkan bertapa susahnya dan bahaya yang hadapi oleh para nelayan semasa ke laut luas mencari ikan. Kita perlu bayangkan bertapa susahnya mereka mencari rezeki jadi jangan lah merungut. Insya Allah dalam catatan akan datang saya akan bincang mengenai sikap pentingkan diri.

Jumaat, 23 Mac 2018

ISU PENDIDIKAN NEGARA



Saya ingin berbincang sedikit tentang pendidikan di negara kita. Mari kita lihat kembali kepada asas pendidikan negara kita yang telah ditentukan di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Apakah objektif dan matlamat yang ingin dicapai melalui FPK dan DPK? Sejauh manakah FPK dan DPK telah digunakan sebagai asas dan panduan untuk membuat lain-lain dasar dan program ke arah mencapai segala objektif dan matlamat yang telah ditetapkan dalam FPK dan DPK. Cuba kita sama-sama lihat apakah objektif dan matlamat itu.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
“Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi inteklek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”.

Visi yang telah ditetapkan adalah untuk mewujudkan sekolah cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan sahsiah menjelang 2017. Sekarang kita dah pun melepasi sasaran jangka masa visi tersebut. Apakah yang telah kita capai sehingga kini? Apa yang telah kita capai pada pandangan saya adalah mewujudkan sekolah-sekolah cermerlang dalam akademik. Kita sibuk mengejar ke arah menjadikan sekolah kita cemerlang dalam akademik. Maka wujudlah budaya mengejar pencapaian dalam gred “A”. Sekolah mula membuat perbandingan siapa yang berjaya menghasilkan pencapaian 6 A atau 8 A yang terbanyak di daerah dan negeri masing-masing. Bagaimana pula dengan kecemerlangan kokurikulum dan sahsiah? Adalah diingatkan bahawa kecemerlangan dalam kokurikulum bukanlah semata-mata dalam bidang sukan. Lain-lain aktiviti yang perlu dimajukan adalah dalam bidang atau aktiviti unit beriniform serta aktiviti kemasyarakatan, berpersatuan dan juga dalam bidang berpidato, syarahan dan debat. Kita bercita-cita untuk melahirkan warganegara yang bukan sahaja mempunyai kepintaran dan kebijaksanaan malah kita juga mahu warga kita adalah mereka yang cergas dalam lain-lain bidang seperti kerja-kerja kebajikan, sukan dan kemasyarakatan.

Apa yang saya dapat lihat di sekeliling kita buat masa kini, masyarakat kita terlalu mementingkan diri, mengejar kemewahan dan status serta kedudukan dalam masyarakat sehingga segala sifat perihatin dan kesedaran akan kesusahan orang lain diketepikan. Yang penting hajat dan matlamat mereka tercapai. Ibu bapa sibuk mengatur hidup anak-anak agar mereka cemerlang dalam pelajaran dan berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat yang paling tinggi. Mereka mengharapkan agar anak-anak mereka akan satu hari nanti menjadi pegawai atasan dalam kerajaan atau koperat. Kejayaan anak-anak mereka itu akan membuat mereka rasa bangga dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Maka wujudlah satu kelompok masyarakat yang berlagak dan sombong. Mereka ini lupa akan asal usul mereka. Mereka inilah yang akan memandang sepi serta rendah terhadap orang-orang miskin dan susah. Kita jarang sekali nampak golongan ini bergaul dikalangan masyarakat umum kerana mereka merasakan bahawa kedudukan mereka tidak setaraf dengan orang lain. Budi bahasa dan sopan santun tidak ada dalam hidup mereka terhadap masyarakat umum. Masyarakat umum yang lain tidak layak duduk semeja, makan bersama malah bergaul bersama. Hakikatnya anak-anak yang dididik dan aturkan oleh ibu bapa mereka sebegini kerap lupa diri malah juga akan mengabaikan orang yang satu ketika dahulu bekerja keras dan bersusahpayah untuk memastikan mereka berjaya dalam hidup. Anak ini tidak mempunyai masa untuk kedua-dua orang tua mereka. Inilah hasil pendidikan berteraskan kecemerlangan dalam akademik semata-mata. Media akan mengagung-agungkan kejayaan pelajar dan juga sekolah yang mendapat bilangan “A” yang banyak. Sekolah yang menghasilkan keputusan peratus lulus keseluruhan tidak dipedulikan malah tak pernah dipaparkan di dalam media-cetak dan elektronik. Pada saya sekolah yang berjaya menghasilkan peratus kelulusan keseluruhan yang tinggi adalah sekolah yang berjaya bukan sekolah yang menghasilkan jumlah gred “A” yang terbanyak. Apa gunanya mendapat pelajar yang keputusan cemerlang seramai 10% daripada jumlah calon peperiksaan sedangkan peratus kelulusan keseluruhan hanyalah di antara 50% hingga 60%. Ke mana pergainya lagi 40% pelajar yang gagal? Pernahkah kita bertanya mengapa mereka ini gagal? Tidak. Biasanya kita akan dengar ungkapan seperti “Alah budak-budak tu malas dan bodoh. Tu sebab mereka tak boleh lulus”. Habis jika dah tahu mereka itu malas dan bodoh apakah tindakan kita? Biarkan saja. Ramai anak-anak ini yang berjaya sebagai usahawan. Ramai yang dah menjadi kaya dan berjaya dalam berbagai bidang. Penjual burger pun boleh mendapat pendapat sebanyak RM200 bersih sehari. Ini bermakna pendapatan bersih mereka adalah RM6000 sebulan. Walaupun mereka ini tidak mempunyai pendidikan tinggi mereka tetap mampu berjaya dalam hidup.

Kegagalan untuk membangun dan mengukuhkan sahsiah, emosi dan rohani pelajar-pelajar kita telah menghasilkan satu golongan yang mempunyai sahsiah diri yang sangat rendah dan lemah. Pelajar yang dihasilkan hanyalah mereka yang boleh digelar sebagai “ulat buku”. Mereka tidak mempu untuk berdikari dan tidak mempunyai kekuatan serta jadi diri untuk berhadapan dengan cabaran hidup masa depan. Kita dapat lihat ramai graduan keluaran universiti-universiti dalam negara menganggur kononya tidak ada perkerjaan. Ramai yang bersikap untuk mencari kerja yang sesuai dengan kelayakan akademik yang mereka ada. Bertani ataupun berniaga bukanlah satu pilihan. Apa yang menjadi pilihan adalah jawatan pengurusan atau pentadbiran yang memberi taraf pegawai serta duduk di dalam pejabat berhawa dingin dengan bertali leher dan segak. Mengotorkan tangan dan berpanas serta berpeluh mencari rezeki adalah tidak setaraf dengan ijazah yang dipegang. Inilah hasil pendidikan yang mengutamakan kejayaan akademik semata-mata. Anak-anak muda kita lemah dan malu untuk bekerja di mana sahaja. Bertani dan berniaga itu rendah tarafnya. Kita kerap mendengar dialog seperti ini dikalangan ibu bapa dan graduan-graduan muda. “Dia tu kerja jual ais krim aje?’ Belajar tinggi tinggi akhirnya jual ais krim aje.” Begitu hina sekali usaha seorang anak muda yang menjual ais krim buatan sendiri. Bila ditanya awak kerja apa, jawabnya sebagai pegawai di sebuah syarikat dan dibayar gaji sebanyak RM2500 sebulan. Tahukah bahawa si penjual ais krim buatan sendiri tadi mendapat pendapatan sebanyak RM350 sehari hasil jualan ais krim.  Banyak tu. RM7000 sebulan. Jadi usahlah kita bangga dengan jawatan tinggi yang kita sandang. Dengan RM2500 sebulan berapakah simpanan yang mampu kita simpan sebulan berbanding dengan sipenjual ais krim tadi. Di sini, jati diri, usaha, kegigihan dan kecekalan untuk maju adalah amat penting dalam kejayaan hidup. Sikap ramah mesra dan murah hati juga faktor utama dalam berniaga. Inilah ciri-ciri penting yang nak dicapai melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berpaksikan pembangunan sahsiah diri, emosi, rohani dan jasmani selain dari akademik. Sama-samalah kita muhasabah diri kita sebagai pendidik dan ibu bapa. Adakah kita telah berjaya mewujudkan masyarakat yang dihasratkan oleh FPK.