Selasa, 10 April 2018

DASAR PENYEWAAN PREMIS BERNIAGA MARA

Nak kongsi sedikit pengalaman. Setelah kami menerima notis pengosongan premis kami di D'S2 Mall Kompleks PKNNS, kami pun merayaulah mencari tempat baru untuk kami meneruskan khidmat amal kami. Kami telah ke pejabat MARA Daerah Seremban yang bertempat di UTC Seremban. Di sana kami bertanyakan tentang premis perniagaan yang kosong di Seremban Plaza, Penghulu Cantik. Apa yang mengejutkan kami ialah bahawa pihak MARA tidak memberi kemudahan sewaan premis berniaga kepada peniaga yang berumur 60 tahun ke atas. Mengapa ye? Jawapan yang diberikan adalah orang yang berumur 60 tahun ke atas ada banyak penyakit dan ada kemungkinan akan meninggal awal. Jadi susah untuk mereka. Kami dinasihatkan untuk memberi nama anak-anak yang masih muda baru permohonan boleh dipertimbangnkan. Saya pun bertanya tentang seseorang yang sedang menyewa premis berniaga yang telah mencapai umur 60. Apakah akan terjadi? Jawapan yang diberikan adalah peniaga tersebut terpaksa mengosongkan permis berkenaan kerana umur tak layak kecuali penyewa dapat menggantikan nama penyewa kepada anak yang lebih muda. Peraturan apa ni? Jadi orang yang berumur 60 ke atas tak layak menyewalah di semua premis perniagaan kepunyaan MARA? Aduhai MARA ini kah cara anda membantu rakyat, Apa kaitan nya umur dan perniagaan? Pada saya andaikata peniaga yang berumur 60 tu meninggal maka tamatkan sahaja penyewaannya. Ataupun waris kepada aruah itukan boleh meneruskan perniagaan bapa nya dengan mendaftarkan nama nya sebagai penyewa baru. Hampa sungguh saya dengan tindakan pihak pengurusan MARA Daerah Seremban, Negeri Sembilan dan MARA keseluruhannya dengan menetapkan peraturan sedemikian. Harapan saya adalah agar pihak atas MARA dapat memikirkan balik tentang peraturan ini. Kami bukan minta bantuan pinjaman perniagaan. Jika bantuan pinjaman tu kami fahamlah bahawa kami tak layak. Kami cuma minta untuk menyewa premis perniagaan.

Jumaat, 6 April 2018

SUSAH SANGAT KE?



Susah sangat ke nak buat sesuatu yang sememangnya dan sepatutnya kita buat. Setiap kali saya ternampak perkara-perkara yang sedemikian saya akan terkata “Susah sangat ke?”

1.       Di surau-surau yang terdapat di R&R, Mall, pejabat dan lain-lain tempat kita seringkali melihat sejadah dicampak saja di lantai atau pun dihumban di rak yang telah disediakan untuk sejadah-sejadah tu. Malah jika di surau wanita isteri saya selalu mengadu yang telekung tidak dilipat dan di susun dengan kemas di rak yang disediakan. Susah sangat ke nak lipat dan simpan balik dengan kemas di tempat asalnya?

2.       Di sekitar taman rekreasi pihak berwajib dah sediakan banyak tong sampah tapi kita masih dapat lihat sampah bertaburan di merata tempat. Bekas makanan, botol plastik, cawan kertas dan bungkusan makanan seperti Mc Donald atau KFC ditinggalkan saja di mana mereka berada ketika menjamu selera. Susah sangat ke nak bangun dan pergi ke tong sampah untuk buang semua tu?

3.       Sambil memandu kereta saya seringkali nampak pemandu dihadapan saya membuang tisu, kulit rambutan atau kulit buah mata kucing melalui tingkap kereta mereka. Kerapkali juga kita dapat lihat pemandu yang merokok membuang puntung rokok yang masih bernyala keluar tingkap. Ini merupakan salah satu sebab berlakunya kebakaran di sekitar bahu jalanraya. Kadangkala kebakaran ini merebak ke kawasan semak lebih jauh dari bahu jalan yang boleh mengakibatkan kerosakan alam sekitar. Susah sangat ke nak sediakan tempat buang sampah di dalam kereta?

4.       Ketika kita sedang memandu dan beratur di persimpangan kerapkali terdapat pemandu yang akan datang menghimpit di sebelah kiri kita untuk memotong giliran. Bayangkan kita yang dah beratur panjang dan lama, tiba-tiba datang seseorang meluru bawa kenderaan dia masuk di hadapan kita. Salah satu punca kesesakkan di jalanraya ini lah dia. Susah sangat ke nak beratur dan tunggu giliran?

5.       Di kedai-kedai makan, warung ataupun restoran kita seringkali lihat kerusi dibiarkan bersepah di meja. Susah sangat ke nak masukkan kerusi tu ke dalam meja supaya kemas dan teratur? Pingan mangkuk dan gelas atau cawan yang digunakan dibiarkan bersepah di atas meja. Susah sangat ke nak susun semua itu selonggok setempat supaya senang pekerja pembersihan mengambilny?.

6.       Ini lagi pulak. Tandas. Tak kira lah tandas awam ke, pejabat ke, malah rumah sendiri. Kerapkali apabila telah selesai urusan di tandas ada manusia yang tak tahu nak pam air tandas. Dibiarkan aje najis tu di mangkuk tandas begitu sahaja. Susah sangat ke nak tekan atau tarik tali pam air tu? Ni lagi satu, salur paip yang telah digunakan tak di sangkut balik di tempatnya tapi dibiarkan di lantai. Adakala pula dibiarkan air mengalir tanpa di tutup paipnya. Susah sangat ke nak tutup paip dan sangkut balik salur paip tu di tempatnya?

7.       Sesetengah pengawal keselamatan dan anggota penguatkuasa kerapakali menjerit dengan kuat dan kasar ketika nak tegur kesalahan yang kita telah buat. Susah sangat ke nak tegur dengan lembut dan sopan tanpa mengeluarkan kata-kata seperti “Hoi!” ketika membuat teguran. Susah sangat ke nak keluarkan perkataan seperti “ Maaf encik atau puan”?

Banyak lagi perkara sebegini yang boleh kita lihat di sekitar kita. Hampir di kesemua tempat dan suasana akan dapat kita lihat perkara-perkara yang mudah dijadikan susah. Entah di mana silapnya. Nak kata salah pihak sekolah, di sekolah dah diajar semua tu. Jadi di mana silapnya ye?