Jumaat, 23 Mac 2018

ISU PENDIDIKAN NEGARA



Saya ingin berbincang sedikit tentang pendidikan di negara kita. Mari kita lihat kembali kepada asas pendidikan negara kita yang telah ditentukan di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Apakah objektif dan matlamat yang ingin dicapai melalui FPK dan DPK? Sejauh manakah FPK dan DPK telah digunakan sebagai asas dan panduan untuk membuat lain-lain dasar dan program ke arah mencapai segala objektif dan matlamat yang telah ditetapkan dalam FPK dan DPK. Cuba kita sama-sama lihat apakah objektif dan matlamat itu.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
“Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi inteklek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”.

Visi yang telah ditetapkan adalah untuk mewujudkan sekolah cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan sahsiah menjelang 2017. Sekarang kita dah pun melepasi sasaran jangka masa visi tersebut. Apakah yang telah kita capai sehingga kini? Apa yang telah kita capai pada pandangan saya adalah mewujudkan sekolah-sekolah cermerlang dalam akademik. Kita sibuk mengejar ke arah menjadikan sekolah kita cemerlang dalam akademik. Maka wujudlah budaya mengejar pencapaian dalam gred “A”. Sekolah mula membuat perbandingan siapa yang berjaya menghasilkan pencapaian 6 A atau 8 A yang terbanyak di daerah dan negeri masing-masing. Bagaimana pula dengan kecemerlangan kokurikulum dan sahsiah? Adalah diingatkan bahawa kecemerlangan dalam kokurikulum bukanlah semata-mata dalam bidang sukan. Lain-lain aktiviti yang perlu dimajukan adalah dalam bidang atau aktiviti unit beriniform serta aktiviti kemasyarakatan, berpersatuan dan juga dalam bidang berpidato, syarahan dan debat. Kita bercita-cita untuk melahirkan warganegara yang bukan sahaja mempunyai kepintaran dan kebijaksanaan malah kita juga mahu warga kita adalah mereka yang cergas dalam lain-lain bidang seperti kerja-kerja kebajikan, sukan dan kemasyarakatan.

Apa yang saya dapat lihat di sekeliling kita buat masa kini, masyarakat kita terlalu mementingkan diri, mengejar kemewahan dan status serta kedudukan dalam masyarakat sehingga segala sifat perihatin dan kesedaran akan kesusahan orang lain diketepikan. Yang penting hajat dan matlamat mereka tercapai. Ibu bapa sibuk mengatur hidup anak-anak agar mereka cemerlang dalam pelajaran dan berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat yang paling tinggi. Mereka mengharapkan agar anak-anak mereka akan satu hari nanti menjadi pegawai atasan dalam kerajaan atau koperat. Kejayaan anak-anak mereka itu akan membuat mereka rasa bangga dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Maka wujudlah satu kelompok masyarakat yang berlagak dan sombong. Mereka ini lupa akan asal usul mereka. Mereka inilah yang akan memandang sepi serta rendah terhadap orang-orang miskin dan susah. Kita jarang sekali nampak golongan ini bergaul dikalangan masyarakat umum kerana mereka merasakan bahawa kedudukan mereka tidak setaraf dengan orang lain. Budi bahasa dan sopan santun tidak ada dalam hidup mereka terhadap masyarakat umum. Masyarakat umum yang lain tidak layak duduk semeja, makan bersama malah bergaul bersama. Hakikatnya anak-anak yang dididik dan aturkan oleh ibu bapa mereka sebegini kerap lupa diri malah juga akan mengabaikan orang yang satu ketika dahulu bekerja keras dan bersusahpayah untuk memastikan mereka berjaya dalam hidup. Anak ini tidak mempunyai masa untuk kedua-dua orang tua mereka. Inilah hasil pendidikan berteraskan kecemerlangan dalam akademik semata-mata. Media akan mengagung-agungkan kejayaan pelajar dan juga sekolah yang mendapat bilangan “A” yang banyak. Sekolah yang menghasilkan keputusan peratus lulus keseluruhan tidak dipedulikan malah tak pernah dipaparkan di dalam media-cetak dan elektronik. Pada saya sekolah yang berjaya menghasilkan peratus kelulusan keseluruhan yang tinggi adalah sekolah yang berjaya bukan sekolah yang menghasilkan jumlah gred “A” yang terbanyak. Apa gunanya mendapat pelajar yang keputusan cemerlang seramai 10% daripada jumlah calon peperiksaan sedangkan peratus kelulusan keseluruhan hanyalah di antara 50% hingga 60%. Ke mana pergainya lagi 40% pelajar yang gagal? Pernahkah kita bertanya mengapa mereka ini gagal? Tidak. Biasanya kita akan dengar ungkapan seperti “Alah budak-budak tu malas dan bodoh. Tu sebab mereka tak boleh lulus”. Habis jika dah tahu mereka itu malas dan bodoh apakah tindakan kita? Biarkan saja. Ramai anak-anak ini yang berjaya sebagai usahawan. Ramai yang dah menjadi kaya dan berjaya dalam berbagai bidang. Penjual burger pun boleh mendapat pendapat sebanyak RM200 bersih sehari. Ini bermakna pendapatan bersih mereka adalah RM6000 sebulan. Walaupun mereka ini tidak mempunyai pendidikan tinggi mereka tetap mampu berjaya dalam hidup.

Kegagalan untuk membangun dan mengukuhkan sahsiah, emosi dan rohani pelajar-pelajar kita telah menghasilkan satu golongan yang mempunyai sahsiah diri yang sangat rendah dan lemah. Pelajar yang dihasilkan hanyalah mereka yang boleh digelar sebagai “ulat buku”. Mereka tidak mempu untuk berdikari dan tidak mempunyai kekuatan serta jadi diri untuk berhadapan dengan cabaran hidup masa depan. Kita dapat lihat ramai graduan keluaran universiti-universiti dalam negara menganggur kononya tidak ada perkerjaan. Ramai yang bersikap untuk mencari kerja yang sesuai dengan kelayakan akademik yang mereka ada. Bertani ataupun berniaga bukanlah satu pilihan. Apa yang menjadi pilihan adalah jawatan pengurusan atau pentadbiran yang memberi taraf pegawai serta duduk di dalam pejabat berhawa dingin dengan bertali leher dan segak. Mengotorkan tangan dan berpanas serta berpeluh mencari rezeki adalah tidak setaraf dengan ijazah yang dipegang. Inilah hasil pendidikan yang mengutamakan kejayaan akademik semata-mata. Anak-anak muda kita lemah dan malu untuk bekerja di mana sahaja. Bertani dan berniaga itu rendah tarafnya. Kita kerap mendengar dialog seperti ini dikalangan ibu bapa dan graduan-graduan muda. “Dia tu kerja jual ais krim aje?’ Belajar tinggi tinggi akhirnya jual ais krim aje.” Begitu hina sekali usaha seorang anak muda yang menjual ais krim buatan sendiri. Bila ditanya awak kerja apa, jawabnya sebagai pegawai di sebuah syarikat dan dibayar gaji sebanyak RM2500 sebulan. Tahukah bahawa si penjual ais krim buatan sendiri tadi mendapat pendapatan sebanyak RM350 sehari hasil jualan ais krim.  Banyak tu. RM7000 sebulan. Jadi usahlah kita bangga dengan jawatan tinggi yang kita sandang. Dengan RM2500 sebulan berapakah simpanan yang mampu kita simpan sebulan berbanding dengan sipenjual ais krim tadi. Di sini, jati diri, usaha, kegigihan dan kecekalan untuk maju adalah amat penting dalam kejayaan hidup. Sikap ramah mesra dan murah hati juga faktor utama dalam berniaga. Inilah ciri-ciri penting yang nak dicapai melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berpaksikan pembangunan sahsiah diri, emosi, rohani dan jasmani selain dari akademik. Sama-samalah kita muhasabah diri kita sebagai pendidik dan ibu bapa. Adakah kita telah berjaya mewujudkan masyarakat yang dihasratkan oleh FPK.

Sabtu, 12 Ogos 2017

Apa dah jadi, Di mana silapnya?

Saya ingin berbicara mengenai perkara yang berkaitan dengan berbagai program dan pelan yang telah dan sedang dijalankan oleh kita dimana-mana jua. Tak kiralah sama ada oleh pihak pemerintah, kementerian, ataupun pihak-pihak tertentu. Plan dan program yang pernah kita semua tahu adalah seperti "Satu Kampung, Satu Produk", "Bumi Hijau", "Pengurusan Sampah", "Bahasa Kebangsaan", "Kurikulum Baru Sekolah Rendah KBSR yang sekarang dikenali sebagai Kurikulum Sepadu Sekolah Rendah KSSR", KBSM bagi sekolah menengah, "Bahasa Baku" dan banyak lagi Setiapkali pemimpin baru atau menteri baru mengambil alih sesuatu tempat sudah pastilah akan wujud program dan projek baru. Maka program dan projek lama akan tengelam dan dilupakan sedang ia masih berjalan dan belum selesai. Ia akan mati tak berkubur dan dilupakan oleh kita.

Maka saya tertanya "Apa dah jadi?" Adakah ia masih lagi berjalan atau beroperasi? Jika ia masih berjalan dan beroperasi, Apakah hasilnya? Berjaya atau Gagal? Jika BERJAYA, adakah ia masih diteruskan dan diperbaiki serta dimajukan lagi? Jika GAGAL, Di mana silapnya? Sudahkah dikenal pasti punca kegagagalan? Jika belum mengapa tak dicari serta disiasat? Jika sudah, apa langkah-langkah baik-pulih yang telah dilakukan. Jika belum, bila agaknya nak digembur dan disiasat punca kegagalan?

Cuba kita lihat tentang projek "Satu Kampung, Satu Produk". Apakah produk-produk yang telah dikenalpasti. Adakah agensi yang bertanggungjawab telah melaksanakan segala prosedur yang sepatutnya dijalankan? Ke mana perginya produk-produk tersebut. Saya tak nampak pun di mana-mana pasaraya. Produk-produk tersebut biasanya hanya dipamerkan semasa Karnival MAHA. Itu pun dua tahun sekali. Bila saya tanya kenapa tak ada dijual dalam pasaran? Jawapan yang saya dapat dari pengusaha ialah" Susah lah nak masuk pasaran". Hai apa yang dibuat oleh agensi yang bertanggungjawab? Bukan kah mereka sepatutnya yang mengumpul produk-produk ini dari kampung-kampung yang terlibat dengan projek. Apa yang dimaklumkan kepada saya pihak yang bertanggungjawab tak datang pun kutip produk-produk berkenaan. Terpaksa lah orang kampung bawa sendiri ke bandar dan dijual di tepi jalan atau pun di pasar-pasar minggu dan pasar-pasar malam. Jika inilah caranya, apa faedahnya melancarkan projek "Satu Kampung Satu Produk"

Dalam pendidikan pula ramai ibu bapa langsung tak tahu pun apa itu KBSR, KSSR, KBSM. Sekarang timbul pula berbagai lagi program dalam pendidikan. Yang terbaru adalah "Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, PPPM" Saya percaya ramai di kalangan kita hanya tahu nama pprojek tersebut. Apa isi kandungnya, harapan dan matlamatnya secara terperinci tidak lah kita faham. Buku yang memberi penjelasan mengenai pelan tersebut pun adalah edaran terhad. Rasa saya ramai juga di kalangan guru yang tak berpeluang untuk membaca isi kandungan buku tersebut. Harap-harap PPPM tidak akan menerima nasib yang sama seperti projek PPSMI, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Yang membuat dasar tidak dapat memastikan kejayaan sesuatu projek kerana kejayaan itu terletak sepenuhnya di atas bahu para guru yang menjadi pelaksana projek tersebut. Kegagalan  dari pihak pelaksana akan menjadi punca kegagalan pelan tersebut. Pihak pelaksana perlu mendapat maklumat dan latihan yang cukup untuk memastikan ianya berjaya. Pemantauan dan penambaikan perlu digerakkan secara aktif oleh pihak pengurusan. Jika tidak maka sudah tentu ia akan gagal di pertengahan jalan.

Tentang pengurusan sampah lagi baik. Kononya ada jadual kutipan. Sebagai contoh, hari Isnin dan hari Khamis kutipan sampah domestik. Hari Selasa pula kutipan sampah Kitar Semula. Undag-undang dan peraturan telah pun dibuat dan diwartakan. Kononnya jika para penghuni tak ikut peraturan cara pembuangan sampah mereka akan dikenakan kompaun. Tapi apa yang saya lihat di mana-mana kawasan perumahan jarang sekali ada yang mengasingkan sampah kitar semula mengikut warna beg plastik yang tertentu. Sema awal pelancaran bukan main lagi, siap ambil gambar rumah-rumah yang mengikut peraturan. Setakat itu aje lah. Pada bulan pertama pelaksanaan peraturan adalah operasi dibuat di beberap taman perumahan dan adalah mereka yang kena kompaun. Selepas seminggu dua senyaplah. Balik asal. masing-masing buat tak kisah. APA DAH JADI?

Dulu-dulu setiap tahun akan ada pelancaran "BULAN BAHASA KEBANGSAAN". Di corong-corong radio dan peti television berulangkali di dendangkan lagu-lagu seperti "Gunakanlah Bahasa Kebangsaan Kita" dan "Bahasa Jiwa Bangsa". Di merata tempat, di kampung dan bandar dipasang sepanduk dan kain rentang mengenainya. Semua premis DIWAJIBKAN mengguna bahasa kebangsaan dalam semua papan tanda mereka. Malah semua jabatan kerajaan juga telah diarahkan untuk mengguna bahasa kebangsaan dalam semua urusan rasmi. Tetapi "APA DAH JADI". Sekarang dimerata tempat kita akan dapat lihat kebanyakan papan-papan tanda telah di bahasa Inggeriskan ataupun di bahasa Cinakan. Sehingga ada pelancung yang tertanya-tanya adakah beliau berada di Malaysia? Tak nampak pun ciri-ciri kebangsaan. Nama taman perumah, nama jalan-jalan, nama bangunan-bangunan malah nama program yang dilancarkan oleh agensi kerajaan pun dan di bahasa Inggeriskan. Nama-nama seperti "Damansara Heights", "Putra Heights", "Harmony Garden" "Lake View Park", "Uptown Avenue", "Aviva Green" digunakan untuk taman-taman perumahan. Nama-nama seperti "The Earth", "Bedford Business Park", "Kuchai Enrtepreneurs Park", "Mid Valley Megamall" pula digunakan untuk pusat-pusat beli belah. Jika na disenaraikan di sini kesemuanya sudah tentulah akan berjela-jela senarainya. Mengikut peraturan PBT semua nama dan papan tanda mestilah dalam bahasa kebangsaan sebelum kelulusan diberi. "DI MANA SILAPNYA"

Seminar demi seminar telah diadakan untuk memertabatkan bahasa kebangsaan, Forum, Bengkel dan entah apa lagi telah diadakan. Apakah tindakan selanjutnya? Dimanakah semua kertas kerja dihantarkan? Di mana pula segala rumusan diserahkan? Apa yang telah dibuat oleh pihak yang menerima segala kertas kerja dan rumusan berkenaan. Disimpan di dalam laci ke? Ataupun telah di letak di rak-rak buku di bilik pejabat masing-masing. APA DAH JADI? DIMANA SILAPNYA?

Rasanya dah sampai masa pihak yang berwajib, yang mempunyai kuasa dan yang bertanggungjawab mula melaksanakan kuasa, kewajipan dan tanggungjawab masing-masing jika ingin melihat MARUAH BANGSA DAN NEGARA dihormati orang lain. Jangan sampai kita dipadang rendah kerana tidak mempunyai harga diri serta pengenalan diri.

Sabtu, 29 Julai 2017

Lembaga Tabung Haji Bila Lagi????

Sekarang dah tiba musim menunaikan Ibadah Haji. Maka ramailah yang bergembira malah ada juga yang bermuram durja. Mereka yang mendapat panggilan untuk menunaikan fardhu haji tahun ini akan tersenyum lebar dan bergembira tak terhingga. Ada juga yang rasa gelisah dan tak yakin untuk mengerjakan ibadah haji. Mungkin kerana tak bersedia katanya. Tak sangka pula dapat giliran. Ada yang menintis air mata kerana talah bertahun-tahun mengunggu giliran sehinggakan usia dah lanjut dan kesihatan pun dah tak berapa mengizinkan. Ada juga yang terpaksa menolak panggilan berkenaan kerana keuzuran. Bertahun menunggu giliran tak dapat dapat. Akhirnya bila dah dapat kesihatan pula tak mengizinkan. Begitulah keadaannya para jemaah menunggu giliran. Apabila ditanya dikatakan belum ada rezeki, belum diizinkan Allah atau belum mendapat seruan serta jemputan dari Allah. Tidak dinafikan bahawa segal-galanya adalah ketentuan Allah. Bukankah kita yang mentadbirkan urusan pemilihan untuk giliran menunaikan ibadah haji? Bukankah kita yang memilih para jemaah berdasarkan faktor pendaftaran, usia dan kecukupan wang dalam simpanan? Mengapa tidak kita pilih mereka yang telah memenuhi faktor-faktor tersebut. Mengapa kita tidak utamakan faktor usia. Mengapa mesti tarikh pendaftaran menjadi ukuran utama. Ramai yang beranggapan bahawa apabila dah membuka akaun dalam Tabung Haji pendaftaran adalah secara automatik setelah simpanan mencukupi RM1500. Maka ramailah yang lambat mendaftar untuk menunaikan ibadah haji. Mengapa tidak dijadikan dasar bahawa mereka yang telaj mencukupi simpanan sebanyak RM10,00.00 secara automatik telah layak untuk menunaikan ibadah haji tanpa perlu membuat pendaftaran untuk menunaikan ibadah haji.


Bukankah lebih baik faktor usia dan kecukupan simpanan diberi keutamaan. Mengapa pula rayuan hanya diberi layanan bagi mereka yang akan mendapat giliran pada tahun berikutnya selepas tahun semasa. Apa guna mereka ini diberi keutamaan sedang mereka dah tentu akan mendapat giliran pada tahun berikutnya. Bukankah lebih baik rayuan diambil kira bagi mereka yang dah cukup simpanan dan usia dah lanjut. Terutama sekali mereka yang dah menjangkau usia 50an ke atas. Ramai yang berancang untuk menunaikan ibadah haji setelah bersara sama ada pada usia 56 atau 60. Malangnya harapan dan rancangan mereka ini tiggal sebagai harapan impian sahaja. Cuba bayangkan bertapa sukarnya mereka yang dah terlalu lanjut usia yang telah mendapat giliran menunaikan ibadah haji, Ada dikalangan mereka ini yang memerlukan penjagaan dan rawatan semasa. Pernah berlaku jemaah yang uzur yang telah meninggal dunia sebaik sahaja sampai ke maktab penginapan di Mekkah. Ada pula yang berkerusi roda kerana dah tak mampu nak berjalan. Ada juga yang bertongkat dan lambat pergerakkan mereka. Bayangkan keadaan mereka ini dalam kesesakan jemaah yang menjangkau jutaan di sana. Apa yang menghairankan ramai juga yang terpilih adalah dikalangan mereka yang berusia dalam lingkungan 30an hingga 40an. Alangkah lebih baik jika tempat mereka ini diberi kepada mereka yang berusia 50an ke atas.


Bagi mereka yang ingin mengerjakan ibadah haji buat kali kedua dan selebihnya eloklah mengikuti kuota yang telah diberi kepada syarikat swata melalui pakej-pakej yang disediakan. Kemampuan menunaikan ibadah haji buat kali kedua bermakna mereka ini mempunyai kewangan untuk mengikuti pakej yang bernilai di antara RM45K hingga RM220K seorang. Tak perlulah mereka ini diberi giliran bersama-sama kumpulan Muasasah yang telah bersusah payah menyimpan bertahun-tahun lamanya. Bagi mereka yang berkerja sama ada di sektor swasta atau kerajaan menabung untuk menunaikan ibadah haji tidaklah menjadi keberatan kerana telah disediakan kemudahan potongan gaji bulanan. Apa yang menyedihkan adalah mereka yang bertani, nelayan ataupun berkerja kampung. Mereka ini akan menabung ikut ada atau tidaknya lebih belanja dari hasil dapatan kerja mereka sebagaimana yang disebut tadi. Adakalanya dapat simpan lebih, adakalanya tak dapat simpan. Bayangkan harapan mereka ini. Usia semakin meningkat. Apabila simpanan dah mencukupi usia pun dah menjangkau 50an. Untuk menyimpan sebanyak RM15K (Harga semasa termasuk duit poket) seorang ia akan mengambil masa selama 10 tahun jika simpanan yang dibuat adalah sebanyak RM125 sebulan. Ini bermakna setiap pasangan suami isteri memerlukan simpanan sebanyak RM250 sebulan bagi tempuh 10 tahun. Mampukah para petani dan orang kampung membuat tabungan sebanyak RM250 sebulan dengan hasil pendapatan yang tak menentu. Sudah tentulah mereka memerlukan masa yang lebih lama untuk menyimpan sebanyak RM30K. Jika mereka mula menabung mulai usia 30an, maka pada usia 50an wang tabungan untuk menunaikan ibadah haji sudah mencukupi. Bagaimana pula jika 20 tahun ke hadapan kos untuk menunaikan ibadah haji telah meningkat sekali ganda. Sudah tentulah jumlah simpanan yang ada hanya mencukupi untuk seorang sahaja. Subhanallah. Sedihnya apabila memikirkan keadaan berikut.

Wahai pegawai-pegawai dan pihak atasan Lembaga Urusan Tabung Haji cuba-cuba lah bayangkan senario berikut. Fikir-fikirkanlah mereka yang kebanyakkannya berpendapatan rendah atau berpendapat tak menentu ini. Jangan hanya nampak mereka yang bermakan gaji sama ada di sektor swasta atau kerajaan. Ya Allah Yang Rahman Ya Karim, Bukalah hati mereka-mereka ini untuk memberi pertimbangan ke atas apa yang telah dikemukakan di atas. Aaamiiin, Aaamiiin Ya Rabbilalamin..