Jumaat, 23 Oktober 2009

Mengapa Roh Tak Bersih

Makanan roh yang baik ialah sembahyang, puasa,
zikir, selawat, baca Al Quran, berkorban, berjihad, berdakwah, belajar,
berkhidmat kepada masyarakat dan lain-lain kebaikan lagi. Walaupun
makanan roh yang baik seperti di atas itu sudah dilakukan, ia tetap
tidak mendatangkan ketenangan kerana ia mungkin dilakukan dengan cara
yang tidak sempurna dan tidak tepat dengan ilmunya. Atau dilakukan
dengan cara yang tidak ikhlas atau tidak dihayati dengan jiwanya.
Tentulah ibadah-ibadah tersebut tidak akan memberi kesan kepada jiwa dan
fikiran. Jadi, kalau sudah tidak memberi kesan kepada jiwa dan fikiran,
tentulah ia juga tidak akan memberi kesan kepada tindakan anggota lahir.
Yakni anggota lahir tetap juga jahat. Contoh-contohnya:

1. Sembahyang tetapi tidak menghayatinya, lalai dan berkhayal sewaktu
menunaikannya. Sembahyang begini tidak akan memberi kesan apa-apa pada
hati dan fikiran. Bila tidak berkesan pada hati dan fikiran, tentulah ia
juga tidak akan berkesan pada anggota lahir.

2. Rajin baca Al Quran tetapi tidak melaksanakan tuntutan tuntutan dari
ayat-ayat yang dibaca itu, tentulah tidak akan memberi kesan apa-apa
kepada hati dan fikiran. Ia tentunya tidak berkesan juga pada anggota
lahir.

3. Selawat, zikir, berjuang, berjihad dan berdakwah tetapi tidak dari
hati. Hanya ucapan di lidah sahaja. Tentulah tidak berkesan apa-apa
kepada hati dan fikiran. Bila tidak berkesan pada hati dan fikiran,
tentulah ia juga tidak berkesan apa-apa pada anggota lahir.

4. Berkorban, bersedekah, lain-lain kebaikan dan kebajikan juga, kalau
tersalah cara, tidak tepat dengan ilmunya, tidak dibuat dengan sempurna,
bukan kerana Allah, tidak pada tempatnya atau tidak dihayati, maka
kesannya tidak akan sampai ke hati dan fikiran. Apabila tidak berkesan
di hati dan fikiran, tentulah tidak berkesan juga kepada anggota lahir.

Adapun semua makanan roh yang baik ini walaupun asalnya baik tetapi oleh
kerana tidak faham cara, tidak tepat dengan ilmunya, tidak dibuat dengan
sempurna, tidak dihayati di hati atau membuat perkara itu tetapi tidak
disertai dengan mujahadatun nafsi, maka hasilnya tetap sama dengan orang
yang tidak melakukannya. Yakni tidak dapat memberi kekuatan kepada roh
(jiwa atau hati).

Kalau begitu roh tetap tidak sihat, lemah jiwa, mudah diserang penyakit
hati seperti hasad dengki, sombong, riyak, pemarah, bakhil, dendam dan
lain-lain mazmumah lagi. Penyakit-penyakit mazmumah (keji) tetap juga
tidak terubat. Sebab itu hati tidak tenang, gelisah dan keluh-kesah.

Roh atau hati juga boleh jadi rosak (jahat) kalau kita campurkan antara
membuat perkara yang baik dengan membuat perkara-perkara yang jahat.
Walaupun perkara-perkara yang baik itu dibuat tetapi dalam masa yang
sama masih melanggar pantang-larang syariat seperti bergaul bebas lelaki
dan perempuan, mendedahkan aurat, makan makanan yang haram dan subahat,
suka mengumpat, memfitnah orang, gila dunia, gila pangkat dan gila puji,
maka tentulah makanan roh yang baik tadi tidak akan memberi kesan.

kiriman email daripada seorang sahabat.

Isnin, 12 Oktober 2009

Pendidikan Akhlak

Allah swt telah mendidik kita mengenai akhlak yang mulia di dalam Al Quran melalui surah al-Israk ayat 23 hingga 39. Perkara-perkara yang diperintahkan adalah:
* Tiada yang lain yang perlu disembah melainkan Allah swt.
* Berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan menjaga mereka apabila tua.
* Memberkati harta dengan berzakat, infak dan sedekah.
* Tidak melakukan pembaziran dengan harta.
* Bersikap positif dalam usaha mencari rahmat Allah swt.
* Hindari dari sifat terlalu kedekut atau terlalu boros.
* Jangan membunuh zuriat kerana takut miskin dan menderita.
* Jauhi penzinaan dan apa saja yang berkaitan dengannya.
* Jangan membunuh atau bersikap zalim.
* Jangan melampaui batas dalam setiap tindakan pembalasan.
* Hindari dari menyalahgunakan harta anak-anak yatim.
* Apabila berjanji, patuhilah janji itu.
* Apabila menimbang sempurnakanlah timbangan itu.
* Jangan mudah terpengaruh dengan sesuatu tanpa adanya ilmu mengenainya.
* Hindari dari bersikap sombong.

Di dalam surah Luqman ayat 12 hingga 19.

* Jadilah orang yang sentiasa bersyukur kepada Allah swt.
* Jangan sesekali menyekutukan Allah swt dengan yang lain.
* Menghormati dan memelihara kedua ibu bapa dengan baik dan penuh kasih sayang.
* Jadikanlah orang-orang yang mendapat petunjuk sebagai ikutan hidup.
* Sentiasalah berbuat baik walaupun sebesar biji zarah kerana balasannya amatlah besar.
* Dirikanlah solat dan ajaklah orang lain mendirikan solat bersama mu.
* Hindari dari melakukan perbuatan mungkar.
* Sentiasa bersabar dengan apa saja yang menimpa diri.
* Jauhilah sikap sombong, angkuh dan memandang rendah kepada orang lain.
* Sentiasalah bersederhana dalam segala perbuatan dan bersikap rendah diri.

Demikanlah pendidikan dan panduan yang telah diturunkan oleh Allah swt kepada kita hambaNya di dalam Al Quran. Sebagai hamba yang taat kepada Nya hendaklah kita melengkapkan diri kita agar menjadi hamba yang akan dirahmati, dan dibalas dengan balasan yang setingi-tinggi balasan serta nikmat yang tak terhingga di hari Akhirat kelak. Amin.

Selasa, 8 September 2009

PUASA SI MISKIN

Sekadar renungan.... .......buat peringatan buat diriku yang sering terlepas pandang. Aku telah menemui sebuah rumah yang usang. Rumah itu hanya berdindingkan buluh bertanggakan batang kelapa. Di serambi rumah itu ada beberapa anak kecil yang kelihatan lesu dan letih. Aku hampiri mereka lalu bertanya kepada yang paling tua antara mereka, seorang kakak yang berumur baru kira-kira 11 tahun:

"Mana emak? "
"Mak pergi menoreh," jawabnya.
"Mana bapak?"
"Bapak pergi kerja..."
"Habis tu adik yang kecil ini siapa yang jaga?" Di situ ada seorang bayi dalam lingkungan umur 5 bulan.
"Adik ini sayalah yang jaga." Jawab budak berkenaan.
"Awak ada berapa orang adik-beradik? "
"Sepuluh."
"Adik ni yang ke berapa?"
"Saya yang kelapan."
"Mana abang-abang kamu pergi?"
"Tolong emak menoreh."
"Adik puasa hari ini?"
"Sama je pakcik, puasa ke tidak.. Kami ni makan sekali je sehari..." Jawabnya.
Mendengar kata-kata itu aku sungguh terharu.
Lalu aku bertanya lagi "Adik bersekolah dimana?"
"Saya tak sekolah.. Emak bapak tak mampu..".
"Bapak kerja apa?"
"Tangkap ikan kat sungai nak buat lauk bukak puasa ".

Budak itu memberi tahu, lebih baiklah bulan puasa berbanding bulan lain kerana pada bulan puasa mereka dapat makan kuih. Ada saja orang yang hantar. Aku berlalu dari situ dengan seribu-satu keinsafan. Kebetulan di simpang jalan ada orang menjual daging lembu tempatan. Aku beli satu kilo tulang lembu. Di kedai runcit pula, aku beli rempah sup dan sepuluh kilo beras untuk disedekahkan kepada keluarga itu. Bila saja aku beri barang-barang itu pada adiknya, dia melompat kegembiraan sambil menjerit "Yeh yeh..! Kita dapat makan daging malam ni..!". Aku bertanya kepada si kakak mengapa adiknya girang sangat. Dia memberitahu aku, sejak dari raya korban tahun lepas baru sekarang mereka berpeluang makan daging lembu sekali lagi. Seminggu kemudian aku datang lagi ke rumah itu. Bila mereka melihat aku datang, mereka girang menyambutku di pintu rumah. Kebetulan pada hari itu aku sempat berjumpa dengan ibu mereka. Sungguh menyedihkan cerita yang aku dengar: Anak yang berumur 4 tahun itu memberitahu padaku bahawa mereka sudah seminggu makan sup tulang yang aku berikan hari itu.

"Tiap-tiap hari mak buat sup, sedaplah Pakcik.."

Aku bertanya kepada emaknya macam mana dia lakukan hinggakan sup itu boleh tahan sampai satu minggu? Dia memberitahu padaku bahawa pada hari pertama dia merebus tulang itu,dia telah berpesan kepada anak-anaknya agar tidak membuangkan tulang yang telah dimakan. Dia kutip semula semua tulang-tulang itu dan merebusnya semula untuk dimakan pada hari berikutnya. Itulah yang dia lakukan setiap hari. Dia berkata

"Kalau tidak dapat makan isi, hirup air rebusan tulang pun dah lebih dari cukup untuk anak-anak saya. Dia orang suka sangat."
Aku bertanya lagi "Upah menoreh berapa makcik dapat?"
"Cuma RM3.00 sehari."
"Ayahnya bekerja macam mana"
"Kalau dia dapat ikan itulah yang dibuat lauk setiap hari."

Rupa-rupanya aku terlupa bahawa aku sebenarnya hidup dalam keadaan mewah..
Pernahkah anda menghirup air rebusan tulang yang direbus semula sepanjang hidup anda? Atau adakah anda buang saja tulang itu beserta daging-daging yang ada padanya kerana anda kata ianya "TAK SEDAP"? Mungkin kita sudah terbiasa hidup senang hinggakan kita lupa bahawa kalau pun kita susah, masih ramai lagi orang yang lebih susah dari kita.

KIRIMAN : Surianti melalui email kepada Pak Ngah pada 8 September 2009
Terima kasih dia atas kiriman ini. Ia amat menyentuh sanubari dan menimbulkan keinsafan pada insan yang kerdil ini.