Khamis, 31 Disember 2009

Dalam Kenangan Isteri Yang Tercinta



Dalam kenangan isteri yang tercinta Hajah Mazidah Mohd Yatim yang telah kembali ke rahmatullah pada 19 Disember 2009 bersamaan 2 Muharam 1430 jam 7.38 pagi bertempat di rumah kesayangan kami di Slim Village, Perak. Allahyarhamah telah pergi dalam keadaan yang amat baik dan sempurna. Semua ahli keluarga berada di sisi Allahyarhamah sepanjang malam sehingga beliau menghembus nafasnya yang terakhir. Saya amat merindui nya. Tidak akan ada sesiapa yang dapat mengganti tempat Allahyarhamah. Beliau merupakan satu insan yang teristimewa. Insan yang amat, penyabar, murah hati, kuat bersedekah, rajin, cekal dan amat penyayang dan pengasih. Sehinggakan semasa Allahyarhamah berada dalam keadaan lemah, sambil menitis air mata beliau masih sempat mengatakan kepada saya,"Ram, I am dying. I risau pasal you. Siapa nak jaga you. I kesian kat you, Ram".Bayangkan bertapa Allahyarham mengambil berat akan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Saya telah mengorban seluruh tenaga saya untuk menjaga dan membuat Allahyarhamah selesa dan gembira sepanjang masa. Selagi ALLAH memberi saya kesihatan dan kekuatan, malah selagi saya boleh merangkak, akan saya jaga isteri kesayangan saya itu. Itu janji saya kepada Allahyarhamah sejak beliau disahkan mengidap ketumbuhan di dalam otak pada Oktober 2008 hinggalah ke akhir hayatnya. Pemergian nya membuat saya menjadi amat lemah sekali. Ke mana saja saya pergi dan apa saja yang saya buat, saya akan teringatkan Allahyarhamah sebab kami tak pernah berpisah dalam semua urusan. Saya dan anak-anak berdoa agar Allahyarhamah akan diampunkan segala dosanya dan ditempatkan bersama para syuhadah di tempat yang mulai di sisi ALLAH SWT. AMIN.

Jumaat, 23 Oktober 2009

Mengapa Roh Tak Bersih

Makanan roh yang baik ialah sembahyang, puasa,
zikir, selawat, baca Al Quran, berkorban, berjihad, berdakwah, belajar,
berkhidmat kepada masyarakat dan lain-lain kebaikan lagi. Walaupun
makanan roh yang baik seperti di atas itu sudah dilakukan, ia tetap
tidak mendatangkan ketenangan kerana ia mungkin dilakukan dengan cara
yang tidak sempurna dan tidak tepat dengan ilmunya. Atau dilakukan
dengan cara yang tidak ikhlas atau tidak dihayati dengan jiwanya.
Tentulah ibadah-ibadah tersebut tidak akan memberi kesan kepada jiwa dan
fikiran. Jadi, kalau sudah tidak memberi kesan kepada jiwa dan fikiran,
tentulah ia juga tidak akan memberi kesan kepada tindakan anggota lahir.
Yakni anggota lahir tetap juga jahat. Contoh-contohnya:

1. Sembahyang tetapi tidak menghayatinya, lalai dan berkhayal sewaktu
menunaikannya. Sembahyang begini tidak akan memberi kesan apa-apa pada
hati dan fikiran. Bila tidak berkesan pada hati dan fikiran, tentulah ia
juga tidak akan berkesan pada anggota lahir.

2. Rajin baca Al Quran tetapi tidak melaksanakan tuntutan tuntutan dari
ayat-ayat yang dibaca itu, tentulah tidak akan memberi kesan apa-apa
kepada hati dan fikiran. Ia tentunya tidak berkesan juga pada anggota
lahir.

3. Selawat, zikir, berjuang, berjihad dan berdakwah tetapi tidak dari
hati. Hanya ucapan di lidah sahaja. Tentulah tidak berkesan apa-apa
kepada hati dan fikiran. Bila tidak berkesan pada hati dan fikiran,
tentulah ia juga tidak berkesan apa-apa pada anggota lahir.

4. Berkorban, bersedekah, lain-lain kebaikan dan kebajikan juga, kalau
tersalah cara, tidak tepat dengan ilmunya, tidak dibuat dengan sempurna,
bukan kerana Allah, tidak pada tempatnya atau tidak dihayati, maka
kesannya tidak akan sampai ke hati dan fikiran. Apabila tidak berkesan
di hati dan fikiran, tentulah tidak berkesan juga kepada anggota lahir.

Adapun semua makanan roh yang baik ini walaupun asalnya baik tetapi oleh
kerana tidak faham cara, tidak tepat dengan ilmunya, tidak dibuat dengan
sempurna, tidak dihayati di hati atau membuat perkara itu tetapi tidak
disertai dengan mujahadatun nafsi, maka hasilnya tetap sama dengan orang
yang tidak melakukannya. Yakni tidak dapat memberi kekuatan kepada roh
(jiwa atau hati).

Kalau begitu roh tetap tidak sihat, lemah jiwa, mudah diserang penyakit
hati seperti hasad dengki, sombong, riyak, pemarah, bakhil, dendam dan
lain-lain mazmumah lagi. Penyakit-penyakit mazmumah (keji) tetap juga
tidak terubat. Sebab itu hati tidak tenang, gelisah dan keluh-kesah.

Roh atau hati juga boleh jadi rosak (jahat) kalau kita campurkan antara
membuat perkara yang baik dengan membuat perkara-perkara yang jahat.
Walaupun perkara-perkara yang baik itu dibuat tetapi dalam masa yang
sama masih melanggar pantang-larang syariat seperti bergaul bebas lelaki
dan perempuan, mendedahkan aurat, makan makanan yang haram dan subahat,
suka mengumpat, memfitnah orang, gila dunia, gila pangkat dan gila puji,
maka tentulah makanan roh yang baik tadi tidak akan memberi kesan.

kiriman email daripada seorang sahabat.

Isnin, 12 Oktober 2009

Pendidikan Akhlak

Allah swt telah mendidik kita mengenai akhlak yang mulia di dalam Al Quran melalui surah al-Israk ayat 23 hingga 39. Perkara-perkara yang diperintahkan adalah:
* Tiada yang lain yang perlu disembah melainkan Allah swt.
* Berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan menjaga mereka apabila tua.
* Memberkati harta dengan berzakat, infak dan sedekah.
* Tidak melakukan pembaziran dengan harta.
* Bersikap positif dalam usaha mencari rahmat Allah swt.
* Hindari dari sifat terlalu kedekut atau terlalu boros.
* Jangan membunuh zuriat kerana takut miskin dan menderita.
* Jauhi penzinaan dan apa saja yang berkaitan dengannya.
* Jangan membunuh atau bersikap zalim.
* Jangan melampaui batas dalam setiap tindakan pembalasan.
* Hindari dari menyalahgunakan harta anak-anak yatim.
* Apabila berjanji, patuhilah janji itu.
* Apabila menimbang sempurnakanlah timbangan itu.
* Jangan mudah terpengaruh dengan sesuatu tanpa adanya ilmu mengenainya.
* Hindari dari bersikap sombong.

Di dalam surah Luqman ayat 12 hingga 19.

* Jadilah orang yang sentiasa bersyukur kepada Allah swt.
* Jangan sesekali menyekutukan Allah swt dengan yang lain.
* Menghormati dan memelihara kedua ibu bapa dengan baik dan penuh kasih sayang.
* Jadikanlah orang-orang yang mendapat petunjuk sebagai ikutan hidup.
* Sentiasalah berbuat baik walaupun sebesar biji zarah kerana balasannya amatlah besar.
* Dirikanlah solat dan ajaklah orang lain mendirikan solat bersama mu.
* Hindari dari melakukan perbuatan mungkar.
* Sentiasa bersabar dengan apa saja yang menimpa diri.
* Jauhilah sikap sombong, angkuh dan memandang rendah kepada orang lain.
* Sentiasalah bersederhana dalam segala perbuatan dan bersikap rendah diri.

Demikanlah pendidikan dan panduan yang telah diturunkan oleh Allah swt kepada kita hambaNya di dalam Al Quran. Sebagai hamba yang taat kepada Nya hendaklah kita melengkapkan diri kita agar menjadi hamba yang akan dirahmati, dan dibalas dengan balasan yang setingi-tinggi balasan serta nikmat yang tak terhingga di hari Akhirat kelak. Amin.