Khamis, 12 Januari 2023

Antara Kepentingan Diri & Tanggungjawab

Setiap hari kita akan memikirkan apakah yang perlu kita laksanakan pada hari ini. Tugas dan tanggungjawab pekerjaan merupakan perkara utama bagi mereka yang masih bekerja. Sebaik saja kita bangun dari tidur kita akan bergegas bersiap untuk ke pejabat atau ke tempat kita menjalankan tugas pada hari itu. Adakalanya kita sampai tak sempat nak bersarapan di rumah. Bagi mereka yang mengguna kenderaan awam terpaksalah memastikan bahawa mereka sampai di terminal bas atau setesen Komuter tepat pada masanya. Jika tidak sudah tentu akan ketinggalan bas atau komuter. Maka dengan menaiki kenderaan awam yang berikutnya kita akan sampai lewat ke tempat kerja. Bagi yang memandu pula perlu memastikan agar tidak terlewat walau seminit pun kerana jika terlewat terpaksalah menempuh kesesakan di jalanraya. Ia juga akan menyebabkan kita sampai lewat ke tempat kerja. Sebenarnya apakah kepentingan dan tanggungjawab yang perlu kita utamakan setiap hari dalam hidup kita. Kebanyakan daripada kita mementingkan tanggungjawab kerja. Kita bimbang jika kita gagal melaksanakan tanggunjawab tugas kita di tempat kerja, kita akan dimarahi ataupun diambil tindakan oleh atasan kita. Kepentingan diri merupakan perkara pokok dalam hidup kita sehinggakan kita lupa akan tanggungjawab kita kepada Ilahi. Kita tidak sedikit pun rasa bersalah jika kita abaikan tanggungjawab kita sebagai hambaNya. Apatah lagi rasa takut dan bimbang akan musibah yang akan dijatuhkan kepada kita olehNya. Kita lebih takut kepada pegawai atasan kita kerana akibatnya akan dirasai serta merta. Akibat daripada mengabaikan tanggungjawab kepada Ilahi kita akan dibalas di akhirat kelak. Oleh kerana balasan itu tak berlaku serta merta maka kita tak nampak dan rasa keperitannya. 

Malah Allah SWT akan memberi kita ujian akibat daripada kelalaian kita terhadap tanggungjawab kita kepadaNya. Disinilah timbulnya apakah keutamaan kita dalam hidup ini. Adakah duniawi semata-mata tanpa disertakan bersama tanggungjawab akhirat, atau kedua-duanya diberi keutamaan yang sama berat. Malah keutamaan terhadap Ilahi perlu didahulukan. Allah SWT Maha Mengetahui dan Bijaksana. Jika kita sentiasa mengingati Nya sudah tentu segala urusan kita di dunia akan dipermudahkan. Kerja kita menjadi berkat dan dikira sebagai ibadah. Kita perlu ingat bahawa setiap kebaikan dan ketaatan menjalankan tugas kepadaNya akan dibalas berlipat kali ganda. Cuba bandingkan ketaatan kepada pegawai atasan tanpa ada ketaatan kepada Ilahi dengan ketaatan bersama, adakah kita akan mendapat ganjaran sebesar mana yang diberi oleh Allah SWT oleh atasan kita. Melaksanakan tugas dan tanggungjawab perlu dengan niat kerana Allah SWT dan bukan kerana pegawai atasan barulah ianya dianggap sebagai ibadah dan setiap ibadah itu akan ada ganjarannya dari Allah SWT. Allah SWT telah memberi kita masa sebanyak dua puluh empat jam. Cuba kita hitung berapa banyakkah masa yang kita peruntukan untuk Allah SWT. Secara purata masa untuk kita menjalankan tanggungjawab wajib harian, iaitu solat lima waktu hanya memerlukan sebanyak limabelas hingga dua puluh minit setiap waktu solat. Maka jumlah waktu yang perlu kita guna untuk melaksanakan tanggungjawab wajib kita kepada Allah SWT adalah sebanyak di antara tujuh puluh lima minit atau seratus minit. Ia itu satu jam suku atau satu jam empat puluh minit. Baki dua puluh dua jam lagi kita gunakan untuk kepentinga diri kita. Berat sangat ke untuk meluangkan masa sebanyak itu untuk melaksanakan tugas wajib kita kepada Allah SWT. Tugas yang begitu mudah dan tak menggunakan masa yang banyak itu sanggup kita abaikan demi mementingkan duniawi sedangkan modal kita untuk akhirat adalah ketakwaan kita kepada Ilahi. Solat lima waktu itu merupakan tiang Agama. Goyahnya tiang maka goyanglah agama kita.

Renungkanlah bertapa banyak tanggungjawab yang wajib ini telah kita abaikan kononya tak sempat nak lakukan kerana mengejar masa untuk menjalankan kerja-kerja duniawi yang hanya menguntungkan kehidupan di dunia saja tanpa ada apa-apa keuntungan untuk akhirat. Menjaga solat lima waktu bukanlah satu tugas yang berat. Lakukanlah dengan penuh keikhlasan dan keinsafan demi ketaatan kita kepada yang Maha Berkuasa. Insya Allah hidup kita akan diberkati dan segala kerja kita akan dipermudahkan. Marilah kita perbetulkan balik keutamaan kita.

Ahad, 24 Julai 2022

Falsafah Pendidikan Negara - Satu Huraian

Sebagaimana yang telah dijanjikan di sini saya akan buat sedikit huraian tentang FPN agar kita kaum ibu bapa lebih memahami dan menghayati intipati falsafah pendidkan ini.  Perkara utama yang diberi penekanan dalam FPN adalah seperti berikut:

  • Memperkembangkan potensi individu
  • Menyeluruh dan bersepadu
  • Insan yang seimbang dan harmonis
  • Unsur intelek
  • Unsur Rohani dan Emosi
  • Unsur Jasmani
  • Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan
  • Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan
  • Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab
  • Rakyat Malaysia yang berkeupayaan menikmati kesejahteraan diri
  • Rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan
  • Keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Bercakap mengenai perkara yang berkaitan dengan perkembangan potensi individu, apa yang perlu diambil kira adalah setiap individu itu ada bakat dan kebolehan tertentu sejak dilahirkan. Ia merupakan anugerah Tuhan. Bakat yang ada perlu dicungkil, diperkembangankan dan dipertingkatkan secara berterusan. Jika anak itu mempunyai bakat dalam bidang seni sokong dan beri galakan agar bakat tersebut akan bertambah bermutu dan baik. Malah dalam bidang apa sekali pun bakat yang ada berilah sokongan dan majukanlah perkembangan bakat tersebut agar ia menjadi bertambah baik. Maka anak-anak di sekolah perlu dibimbing dan diasuh untuk terus memajukan lagi bakat yang ada agar ia dapat dimunafaatkan apabila anak-anak ini telah dewasa. Perkembangan dan pengukuhan bakat ini perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan sepadu agar ia akan menghasilkan seorang insan yang seimbang dan harmonis. Adalah diharapkan pada akhir zaman persekolahan anak-anak ini akan menjadi seorang yang tahu bersyukur, bersedia menerima segala ujian dan cabaran hidup serta sentiasa berikhtiar untuk mengatasi masalah yang dihadapi dengan tenang. Keseimbangan dan kesejahteraan  yang dimiliki akan memberi munafaat bukan hanya kepada individu malah ia akan dapat dilihat dalam hubungan mereka dengan orang lain, alam sekitar dan Maha Pencipta. Sejauh manakah ianya dapat dilaksanakan di sekolah secara menyeluruh, menjadi satu tanda tanya. Guru telah dibebankan dengan berbagai tugas di luar bidang masing-masing. Akhirnya peranan mereka sebagai seorang pendidik telah terganggu dan ada yang ketinggalan.

Adalah juga diharapkan agar ilmu yang diperolehi oleh anak-anak kita boleh membawa kepada kemakmuran hidup. Mereka perlu mempunyai daya kreatif dan inovatif serta mempunyai daya pemikiran yang logik dan analitis.Kepercayaan kepada Tuhan dan keyakinan terhadap Tuhan merupakan aspek kepercayaan kepada agama. Ia menjadi teras dalam FPN. Pegangan ini akan memantapkan lagi jiwa anak-anak kita. Mereka diajak untuk menghayati nilai-nilai murni dan norma masyarakat. Berbudi perketi mulia dan berbakti serta bekorban adalah sikap yang perlu wujud dikalangan anak-anak didik kita. Apa yang dapat dilihat pada hari ini semua yang disebut di atas telah hilang dan tidak wujud lagi di kalangan kebanyakkan anak-anak muda kita. Faktor kesihatan juga diberi penekanann dalam FPN. Anak-anak kita perlu sihat jasmani mereka agar cerga serta mampu mengguna anggota badan dan tenaga fisikal untuk berdikari dan hidup dalam masyarakat.

Keprcayaan dan kepatuhan kepada Tuhan akan metakinkan individu bahawa dunia ini ada Penciptanya. Hukum-hukum alam adalah hukum-hukum Tuhan akan menguatkan keyakinan bahawa Tuhan itu ada.  Tuhan telah mempertangunggjawabkan  kepada kita untuk memikul amanah dalam mentadbir dan memakmurkan alam. Setiap individu dikehendaki untuk berusaha menghayati prinsip pendidikan sepanjang hayat. Tabiat membaca dan mencari ilmu perlu menjadi budaya anak-anak kita.  Ilmu pengetahuan itu akan menjadi menafaat kepada diri sendiri dan orang lain. Berpegang teguh kepada amanah dan mempunyai tanggungjawab yang tinggi terhadap Tuhan, bangsa dan negara akan menjadikan individu itu produktif serta bertanggunjawab dalam melaksanakan tugas yang diberi. Baik budi perketi serta memiliki tingkah laku yang sopan,, berdisiplin dan bersepadu adalah terbentuk dari dalam diri setiap individu. Sifat-sifat mulia ini perlu berteraskan ilmu, keyakinan dan amalan. Memiliki jiwa yang tenteram dan damai akan memenuhi keperluan diri sendiri, keluarga, masyarakat. agama dan negara. Menjadi individu yang terlatih dalam pelbagai kemahiran akan melahirkan tenaga manusia yang produktif, berinisiatif dan berinovatif untuk mentadbir alam. Mereka juga akan mampu menggunakan teknologi dengan cekap bagi mempertingkatkan pengeluaran negara.

Perpaduan merupakan teras yang ingin dicapai agar amalan dan sikap toleransi serta bekerjasama dan saling hormat menghormati akan mewujudkan perpaduan yang kukuh. Hanya melalui perpaduan yang kukuh akan mewujudkan suasana yang aman, tenteram dan stabil. Ia akan menjamin perkembangan ekonomi dan kemajuan di dalam semua bidang. Selaras dengan Rukun Negara, FPN menekankan prinsip kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. FPN adalah berpaksikan keTuhannan. Kesimpulannya insan yang wujud melalui falsafah ini akan mencerminkan individu yang berilmu pengetahuan, luhur dan mulia rohaninya, sihat dan bersih mentalnya dan fizikal agar dapat berbakti kepada agama bangsa dan negara. Sama-samalah kita lihat dan fikir apakah FPN telah berhasil dalam perjalanannya unuk menghasilkan seorang insan kamil. Jika tidak, apakah kelemahannya.

Jumaat, 22 Julai 2022

Falsafah Pendidikan Negara - Satu Harapan atau Satu Kegagalan

Sistem pendidikan negara kini sudah menjadi satu isu yang telah merisaukan ramai di antara kita. Masyarakat mula keliru dengan perjalanan pendidikan di negara kita. Pak Menteri telah mengutarakan pelbagai program dan pendekatan untuk menaikkan lagi tahap pendidikan negara kita. Setiap kali pihak Kementerian Pendidikan menerima seorang menteri baru, akan ada berbagai program dan rancangan baru yang diutarakan oleh pak menteri. Mereka yang menguruskan dan menjalankan segala program dan rancangan yang ada  terutama sekali para guru menjadi keliru, bosan dan kepenatan. Belum lagi selesai sesuatu program atau rancangan tanpa melihat apakah hasilnya dari segi kejayaan atau kegagalan sudah muncul pula program yang baru. Ramai para guru menyuarakan keluhan mereka mengenai berbagai beban tugas yang berkaitan dengan program dan rancangan berkenaan. Ada yang keliru tentang arah tuju dan objektif setiap program atau rancangan yang kerapakali didapati bertindan kehendak dan matlamatnya.

Ramai di kalangan masyarakat tidak tahu pun apa itu Dasar Pelajaran Negara dan Falsafah Pendidikan Negara. Mungkin nama dasar dan falsafah mereka pernah dengar tapi apakah inti patinya tiada yang mengetahuinya secara total. Falsafah Pendidikan Negara telah digubal dengan begitu kemas dan lengkap untuk mencapai matlamat mewujudkan rakyat negara yang baik dan bermutu. Pernyataan yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Negara adalah:' Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang  berilmu pengetahun, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara".

Jika dilihat dengan teliti, kita dapat merumuskan bahawa falsafah ini memberi penekanan kepada perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu ke arah melahirkan insan yang baik. Ia berpaksikan kepada kepercayaan, keyakinan serta kepatuhan kepada Tuhan seterusnya melahirkan insan yang berpegang teguh kepada agama. Kewujudan insan yang baik akan mewujudkan warganegara yang baik. Ciri-ciri insan yang baik yang ingin diwujudkan adalah mereka yang percaya dan patuh kepada Tuhan, berilmu pengetahun, berakhlak mulia, bertanggungjawab kepada diri sendiri, masyarakat, agama dan negara, berbakti dan memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara serta memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu.

Apakah sistem pendidikan negara kita yang telah dilaksanakan sejak tahun 1974 berdasarkan syor dan cadangan dari Laporan Jawatankuasa Kabinet ini telah berjaya sebagaimana yang dikehendaki oleh Falsafah Pendidikan Negara? Jika jawpannya adalah "gagal", maka apakah punca kegagalan tersebut. Adakah puncanya telah diketahui dan langkah-langkah memperbaikinya telah dilaksanakan. Melihat daripada sikap, tutur kata dan budi bicara serta budaya hidup harian rakyat kita, agak jelas sekali sistem pendidikan kita telah gagal dalam mewujudkan warganegara yang baik. Untuk memahami lebih mendalam lagi tentang Falsafah Pendidikan Negara akan saya perincikan satu persatu di tulisan yang akan datang. Insya Allah.