Jumaat, 17 Julai 2020

Antara Budaya Kerja dan Hasil Kerja Bhg. 1

Kali ini saya ingin berbicara sedikit mengenai budaya kerja dan hasil kerja. Budaya Kerja berkait rapat dengan Hasil Kerja. Budaya Kerja yang bagaimanakah yang akan menghasilkan Hasil Kerja yang bermutu dan baik. Jika kita lihat budaya kerja yang diamalkan oleh pekerja-pekerja swasta serta mereka yang bekerja sebagai penjawat awam, terdapat banyak perbezaan. Bagi pihak swasta terutama sekali dalam bidang pengeluaran dan pembikinan,  mereka memberi penekanan kepada kualiti hasil dan produk yang dihasilkan. Bagi mereka kerjayaan syarikat bergantung kepada kualiti barangan yang dihasilkan. Bagi mereka yang bertugas dalam bidang perkhidmatan pula akan menumpukan kepada perkhidmatan yang cekap, pantas dan memberi kepuasan pelanggan. Kegagalan untuk memberi yang terbaik akan mengakibatkan syarikat kehilangan kontrak bekalan ataupun perkhidmatan. Faktor-faktor tersebut merupakan satu tekanan ke atas para pekerja swasta. Bagaimanakah pihak swasta memberi ransangan kepada para pekerja mereka supaya memberi khidmat yang terbaik. Salah satu cara adalah memberi imbuhan dalam bentuk kewangan, kenaikan pangkat dan hadiah berbentuk pakej percutian. Ini banyak diamalkan oleh syarikat-syarikat dari Korea atau Jepun. Mereka meransang pekerja suapaya sayangkan dan bangga dengan syarikat. Pandangan dan pendapat para pekerja dalam usaha untuk memajukan lagi syarikat diberi perhatian oleh pihak atasan. Perkara yang berkaitan dengan sektor produksi sudah tentu akan lebih difahami oleh para pekerja yang terlibat secara terus dalam kerja-kerja produksi. Inovasi yang dikemukakan oleh para pekerja sudah tentulah yang melibatkan proses kerja yang akan dipermudahkan dan dipercepatkan serta menjimatkan masa. Ini akan menjimatkan kos operasi syarikat. Pekerja yang cadangannya digunapakai oleh syarikat akan diberi penghargaan dan ganjaran.

Apa pula keadaannya dalam sektor perkhidmatan awam? Kita kerap dapat mendengar rungutan dan aduan daripada orang awam mengenai perkhidmatan sektor awam. Apakah bezanya budaya kerja pihak perkhidmatan awam dengan pihak swasta? Antara rungutan yang kerap kita dengar adalah dari segi layanan, masa menunggu, tahap perkhidmatan, sikap pegawai semasa berurusan dengan orang awam serta tuturkata dan cara berbicara. Apakah kelamahan yang ada sehinggakan sektor awam sentiasa dikritik dan dicemuh oleh orang ramai. Aduan dan rungutan yang kerap diutarakan adalah berkaitan dengan para petugas di kaunter jabatan. Layanan yang diberi semasa berurusan di kaunter, tuturkata serta bahasa yang digunakan dan bersikap sombong. Ada petugas yang langsung tak pandang muka pelanggan mereka semasa bercakap dengan pelanggan. Cara mengutarakan pertanyaan juga agak keras seolah-olah pelanggan sedang disoal siasat seperti OKT. Sebagai contoh, "Ni salah ni! Kenapa tak isi borang ni dengan betul?" bukan kah lebih mesra jika disebut " Maaf ye En. Bahagian ini perlu diperbetulkan. Yang ini sepatutnya diisi begini." Kerap kali terdapat arahan untuk mengisi borang pun tidak jelas dan kadangkala bercanggah. Arahan untuk mengisi sesuatu bahagian kadangkala diberi pilihan "atau". Tapi pihak pegawai pula bertegas nak satu saja pilihan tersebut. Bukan kah lebih baik jika pilihan itu dihapuskan dan terus minta yang satu itu sahaja. Adakalanya pelanggan dah menunggu hampir satu jam sebelum nombor giliran dipanggil. Apabila berada dikaunter, setelah disemak borang permohonan secara lalu dan didapati ada yang tak lengkap, maka kata-kata yang dikeluarkan adalah agak kasar. Jika pelanggan bernasib baik mendapat pegawai yang berbudi bahasa tak lah terasa marah dan kesal.

Contoh di atas adalah salah satu senario yang kerap berlaku di jabatan kerajaan. Rasanya semua penjawat awam perlu melalui kursus cara memberi layanan di kaunter. Tidak dinafikan memang ada para pelanggan yang cerewet, berlagak dan kasar bila berbicara. Walau bagaimanapun kita yang berhidmat dikaunter perlu banyak sabar, lembut tuturkata serta berbudi bahasa yang tinggi. Kekerasan perlu dihadapi dengan kelembutan dan tuturkata yang baik serta sopan. Perbezaan cara layanan di antara pihak swasta dan sekotor awam amat ketara sekali. Budaya kerja pihak swasta perlu dicontohi dan diamalkan oleh para pegawai perkhidmatan awam. Jika kita inginkan sektor perkhidmatan awam kita dipuji dan dihormati masyarakat, maka kita perlu ubah budaya kerja kita. Pengurusan masa juga amat lemah di kalangan segelintir penjawat awam. Masa bertugas bermula jam 8 pagi, tapi digunakan untuk sarapan pagi. Jam 9 pagi baru nak masuk pejabat. Malah mengikut Arahan Perkhidmatan perkara yang berkaitan dengan mutu perkhidmatan tak sepatutnya berlaku jika ianya dipatuhi. Di mana silapnya? Kawalan dan pemantauan serta tindakan oleh pihak pengurusan adalah lemah. Pada saya jika semua pihak bekerja mengikut peraturan dan arahan, mutu perkhidmatan akan menjadi baik. Setiap pegawai perlu mempunyai kemahiran dalam urus tadbir, perancangan, pengurusan masa dan pengurusan krisis atau penyelesaian masalah. Bak kata perpatah Cina, " Jin Ri Shi, Jin Ri Bi " yang bermaksud "Kerja hari ini perlu disiap hari ini" Orang tua kita juga pernah berkata "Kerja bertangguh tak menjadi" Ingin melaksanakan berbagai tugas dalam satu masa juga akan mengakibatkan hasil kerja yang tak bermutu atau juga mungkin kegagalan. "Rome was not build in one day".Banyak berbicara tanpa bergerak melaksanakan tugas tidak akan memberi sebarang hasil. Akhir sekali, carilah kenikmatan di dalam kerja yang kita lakukan. Cintailah tugas dan tanggungjawab kita jika kita nak rasa gembira dan puas dengan pekerjaan kita.