Khamis, 16 Mac 2017

Hebohnya. Keputusan Cemerlang Di Sana Sini



Keputusan peperkisaan SPM telah pun diumumkan. Seluruh media mula mengutarakan pelajar-pelajar dan sekolah-sekolah yang mendapat keputusan cemerlang. Sejak dari dulu lagi saya amat tidak setuju dengan trend tersebut. Adakah keputusan cemerlang itu boleh dijadikan kayu pengukur kecemerlangan sesebuah sekolah? Pengurus sekolah mula dipuji dan dipuja. Pelajar-pelajar yang cemerlang dipaparkan di muka depan akhbar. Hebuh sana sini mengenainya. Di kedai kopi, di pasar, di warung malah di pejabat perbualannya berfokus kepada keputusan cemerlang. Ibu Bapa mula bertanya tentang keputusan anak rakan, anak jiran serta anak saudara mara. "Anak awak dapat berapa A?", "Mata Pelajaran apa yang dapat A?", " Anak saya 9A." begitulah diantara dialog yang didengari di merata tempat. Pujian dilontarkan kepada Tuan Pengetua dan juga Ibu Bapa. Hebat, memang hebat sekolah tu, Tiap-tiap tahun cemerlang. Tak pula kedengaran atau terbaca di dalam akhbar-akhbar maupun paparan di media elektronik guru-guru yang terlibat secara langsung dengan calon-calon SPM. Tiada pula penghargaan serta ucapan terima kasih dilontarkan kepada mereka secara luas di media-media. Tiada juga terbaca kenyataan ibu bapa maupun pelajar-pelajar yang memuji usaha serta pengorbanan guru-guru mereka. "Anak saya memang rajin", " Saya hantar anak saya ke pusat tusyen", Kenyataan- kenyataan berikut adalah biasa setiap kali keputusan peperiksaan Awam diumumkan. Belum pernah kedengaran guru di temubual tentang kejayaan pelajar-pelajar mereka. Belum pernah kita dengar mengenai pelajar-pelajar yang lemah yang telah berjaya dipaparkan. Belum pernah kita tanya bagaimana pelajar yang lemah ini dibimbing oleh para guru sehingga berjaya lulus.

Tidak siapa pun yang tahu bertapa risau dan bimbangnya para guru yang mendidik anak-anak yang akan menduduki peperiksaan awam sama ada UPSR, PT3, SPM atau STPM. Tidak siapa pun yang tahun bertapa bersunguh-sungguhnya para guru ini berusaha untuk memberi bimbingan, didikan dan rangsangan kepada para pelajar agar berjaya. Para guru tidak pernah meletakkan fokus mereka kepada pencapaian jumlah A oleh setiap pelajar. Fokus para guru adalah untuk memastikan para pelajar mereka sekurang-kurangnya akan mendapat keputusan LULUS dalam semua pelajaran. Fokus utama mereka adalah seberapa ramai pelajar mereka akan berjaya. Mereka akan bersedih apabila terdapat pelajar mereka yang GAGAL. Malah pelajar yang gagal akan didekati dan diberi kata-kata semangat untuk tidak berputus asa. Kegagalan bukanlah kemusnahan hidup, malah ia adalah titik permulaan untuk melangkah ke hadapan untuk berjaya. Saya teringat kenyataan yang pernah saya baca dalam Sistem Pendidikan di Finland. Ia menyatakan bahawa pendidikan di Finland adalah untuk membekalkan pelajar mereka dengan kemahiran dan ilmu untuk berhadapan dengan masa depan dan hidup, bukan untuk mendapat keputusan cemerlang. Para guru ini sanggup korbankan masa dan tenaga demi memastikan seberapa ramai pelajar mereka akan berjaya.

Kita sepatutnya lebih menumpukan kepada kemahiran hidup (Living Skills) para pelajar kita. Apa gunanya hanya 7-8% pelajar kita berjaya mendapat keputusan cemerlang sedang mereka ini lemah dalam "Living Skills". Mampukah mereka yang cemerlang ini menjadi seorang manusia yang berjaya dalam hidup. Mampu untuk berhadapan dengan berbagai cabaran hidup. Mampu dan sanggup untuk menyesuaikan diri untuk hidup. Apa yang telah kita hasilkan adalah mereka yang mempunyai kelayakan yang tinggi tapi lemah jati diri sehinggakan sanggup menganggur sementara menunggu jawatan idaman mereka. " Tak kan saya nak kerja macam tu? Penat aje belajar sehingga ke Universiti" Itulah ungkapan yang kerap kita dengar diluahkan oleh para graduan kita. Teringat kata-kata Tok Mat, MB Negeri Sembilan bahawa:" Berada di universiti bukanlah untuk pandai tetapi adalah untuk menjadi bertambah matang". Beliau juga berkata, " Carilah peluang bukan tunggu peluang datang, baru boleh berjaya".

Sama-samalah kita renungkan. Ke mana kah nak kita salurkan anak-anak muda kita. Adakah hanya dengan berbangga di atas kejayaan mendapat banyak A. Tidakkah kita nak lihat anak-anak muda kita mampu untuk hidup dan berjaya di negara kita. Apa gunanya mempunyai segulung Ijazah Class Pertama sedangkan nak suap nasi ke mulut pun perlu bantuan orang. Entah lah. Apa nak jadi.

Rabu, 8 Mac 2017

Sejak Akhir-Akhir Ini......

Sejak akhir-akhir ini saya perhatikan ramai daripada kita telah mula menulis di dalam alam maya mengenai hal orang lain yang tak ada kaitan dengan diri kita maupun ahli keluarga kita. Bak kata pepatah Melayu " menjaga tepi kain orang" Saya tak nampak apa faedahnya berbuat demikian. Perbuatan tersebut tidak langsung mendatangkan faedah kepada kita, malah ia mendatangkan dosa. Dosa mengumpat, dosa mengata dan dosa mengeji serta menghina orang. Sedangkan telah nyata dan jelas bagi kita orang Islam bahawa semua perbuatan tersebut adalah haram dan berdosa. Nampaknya seolah-olah masyarakat Islam masa kini sudah tidak lagi mengamal dan menghayati ajaran Al Quran sepenuhnya. Malah nafsu lebih diutamakan daripada akal yang waras dan jiwa yang soleh. Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al Hujuraat, ayat 11 " Hai orang-orang beriman, Janganlah satu kaum mengejek kaum yang lain kerana boleh jadi yang diejek itu lebih baik dari yang mengejek dan tidak pula wanita-wanita mengejek-ngejek wanita-wanita yang lain, kerana boleh jadi wanita yang diejek itu lebih baik daripada wanita-wanita yang mengejek. Dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri. Dan jangan panggil dengan gelar-gelar yang buruk. Sebutan yang paling buruk sesudah iman adalah fasik. Barang siapa yang tidak bertaubat (sesudah mengejek itu), maka merekalah orang-orang yang zalim".

Tidakkah jelas dan nyata apa yang diperintahkan oleh All SWT kepada hamba-hambaNya. Susah sangat ke nak faham apa yang telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada kita. Tidakkah kita rasa takut akan azab dan seksaan yang akan kita tempuhi di akhirat kelak? Amat menyedihkan sekali apabila terdapat  mereka yang sama -sama sibuk terlibat dalam gejala ini adalah golongan yang dah berumur. Sepatutnya kita yang dah berumur inilah tempat anak-anak muda mendapat pedoman dan nasihat serta pengajaran untuk menjadi manusia yang baik dan taat dengan suruhan dan larang Allah SWT. Ini tidak, mereka ini juga sama-sama sibuk  kirim mengirim apa yang diterima melalui alam maya tanpa usul periksa kesahihannya. Mengapa perlu kita sibuk mengenai harta kekayaan orang lain? Mengapa perlu kita sibuk dengan cara seseorang itu berbelanja? Adakah perbuatan mereka itu melibatkan hidup kita?  Di dalam Surah Al Hujuraat, ayat 12 pula Allah telah berfirman maksudnya, "Hai orang-orang yang beriman! Jauhi kebanyakan prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa. Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain. Dan janglah sebahgian kamu mempergunjingkan sebahagian yang lain. Apakah salah seorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Tentu kamu tidak menyukainya. Bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha penerima taubat dan Maha Penyaytang".

Nampaknya orang-orang kita lebih suka melihat kita bersengketa sesama kita. Orang-orang kita lebih berminat melihat sesama kita musnah dan binasa dalam semua aspek kehidupan. Maka ramailah orang-orang kita yang musnah perniagaannya, hancur persahabatannya, gagal dalam usahanya untuk maju di dalam kerjayanya kerana apa? Kerana Hasad Dengki yang amat tebal dikalangan orang kita. Sudahlah, hentikanlah kerja-kerja kirim mengirim, hantar-menghantar apa-apa saja yang berkaitan keburukan orang lain. Hentikanlah sikap menyibuk tentang kehidupan orang lain. Jadikanlah ia sebagai pedoman untuk mnyelamatkan kita daripada terjerumus ke dalam hidup yang penuh dengan hasad dengki. iri hati dan busuk hati. Bersihkanlah diri kita dengan bertaubat sebagaimana yang telah diperintah oleh Allah SWT dalam ayat tersebut di atas.