Isnin, 22 Mac 2021

Di Antara Kenyataan dan Kebenaran

Melihat keadaan dan suasana negara sekarang dengan cabaran dan kekangan yang begitu berat sekali menangani wabak C19 yang sedang melanda sejak sekian lama dengan keadaan ekonomi yang merosot, serta keadaan kerajaan yang begitu lemah, saya terpanggil untuk berbicara sedikit mengenainya. Apakah kenyataan dan kebenaran dalam perkara ini. Antara kenyataan yang telah kita semua sedia maklum bahawa wabak C19 itu adalah benar. Penularannya yang begitu hebat adalah benar. Langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak kerajaan juga adalah benar. Malah berbagai usaha telah diambil oleh kerajaan untuk menghapuskan wabak yang sedang melanda ini.

Walau bagaimanapun apakah kenyataan-kenyataan lain yang mungkin ramai diantara kita sudah sedia maklum tetapi ianya hanya sekadar luahan hati masing-masing secara peribadi ataupun dikalangan sahabat handai dan keluarga sahaja. Malah kita sebagai rakyat marhaen hanya sekadar mampu mengharungi hidup ini dengan apa yang ada dan termampu. Saya terbayang keadaan mereka yang kehilangan pekerjaan. Terpaksa berusaha berbagai cara untuk memenuhi keperluan hidup seharian. Maka ada yang mula bejinak-jinak dengan berniaga sama ada secara online ataupun berdagang dibibir jalan secara kecil-kecilan. Itu adalah kenyataannya. Kebenarannya pula mereka ini sering mendapat gangguan dan halangan oleh peraturan dan undang-undang. Mereka kerap dihalang oleh pihak berwajib daripada menjalankan perniagaan ditepi jalan. Kita sering membaca berita mengenai mereka yang diambil tindakan oleh pihak berwajib sehingga berlaku pergaduhan diantara peniaga dan penguatkuasa. Kebenrannya adalah tindakan yang diambil tidak menyeluruh, malah ianya bersifat terpilih. Rakyat yang tersepit akur dengan peraturan tapi tidakkah boleh dalam keadaan yang begitu getir sekali untuk mencari sesuap nasi kelonggaran diberi kepada mereka ini. Bantulah mereka dengan memberi kelonggaran asalkan mereka menjaga keselamatan pengguna jalanraya dan kebersihan sekitar. Ini boleh dilakukan sebagai langkah sementara untuk membantu rakyat yang telah kehilangan punca pendapatan. Rakyat amat berterima kasih ke atas semua bantuan perihatin yang telah diberikan kepada mereka, tetapi sampai bilakah bantuan itu akan disalurkan? Adakah semua yang benar-benar layak mendapat bantuan tersebut? Berapa lamakah bantuan yang diberi itu boleh mencukupi keperluan hidup asasi mereka. Keadaan darurat telah pun diistiharkan. Tidakkah boleh diberi kebenaran dan kelonggaran kepada para peniaga kecil yang sedang bertungkus lumus untuk memastikan mereka mampu meneruskan hidup dengan seadanya. Metreka tidak meminta untuk hidup mewah. Mereka hanya mahu hidup secukupnya untuk menyuap nasi setidak-tidaknya tiga kali sehari. Mereka tidak meminta untuk mendapat lauk ayam atau ikan yang mewah. Cukup sekadar sebiji telur dan sedikit sayur. Kita harus sedar bahawa disekeliling kita terdapat ramai yang hidup sedemikian rupa. Bak kata perpatah "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang". 

Kebenarannya adalah ramai yang hidup tersepit akibat dari kehilangan punca pendapatan. Ramai yang masih sedang berhempas pulas untuk menyelesaikan tanggungan yang terpaksa dihadapi akibat daripada kehilangan punca pendapatan. Ada yang terpaksa pulang ke rumah ibu bapa di kampung kerana telah kehilangan rumah akibat daripada kegagalan membayar tunggakan hutang bank. Jika dahulunya mereka berkereta, sekarang mungkin hanya bermotor ataupun berbasikal malah mungkin berjalan kaki sahaja. Ramai anak-anak kita yang tidak bersekolah walaupun ada kelas dikendalikan secara online. Bayangkan keluarga yang telah kehilangan punca pendapatan yang mempunyai lima orang anak bersekolah. mana mungkin mereka mampu menyediakan peranti elektronik untuk kesemua anak mereka itu. Malah mana mungkin mereka mampu membayar kos internet yang diperlukan untuk mengikuti kelas secara online. Mereka ini telah tidak dapat mengikuti pelajaran sejak sekolah ditutup setahun yang lalu. Sama-samalah kita yang mungkin ada sedikit kemampuan berkongsi sedikit untuk meringankan beban yang sedang dialami oleh mereka ini. Bantulah mereka sama ada melalui sumbangan wang kepada badan-badan kebajikan yang sedang aktif menghulurkan bantuan.