Jumaat, 15 Mei 2020

Pendidikan Negara. Ke Mana Nak Dituju? Bhg. 4

Setelah melihat dan meneliti masalah-masalah yang dihadapi oelah beberapa buah negara Asia dalam pendidikan negara masing-masing, kita dapat merumuskan beberapa persamaan dan perbezaan. Cuba kita lihat apakah persamaan itu?

Persamaan:
  1. Tujuan utama pendidikan adalah untuk menyediakan para pelajar untuk memenuhi keperluan industri dan perdagangan tanpa mementingkan daya fikir kreatif dan inovassi dalam melaksanakan tugas. Tugas dilaksanakan melalui arahan yang diberi serta mematuhinya tanpa berfikir secara kreatif dan inovatif. Pihak industri kerap meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap graduan yang tak mampu untuk melkaukan tugas-tugas yang melibatkan penyelesian masalah (Problem Solving)
  2. Corak pembelajaran adalah secara menghafal (rote learning). Kecemerlangan gred dalam peperiksaan adalah matlamat utama untuk mendapat penarafan yang baik oleh OECD.
  3. Tiada ruang untuk para pelajar mengembangkan kemahuan dan naluri ingin tahu mereka. Guru tidak membantu mereka untuk mengembangkan dan meneroka kemahuan dan naluri ingin tahu pelajar.
  4. Perbezaan dalam tahap penerimaan pembelajaran dan pengajaran memungkinkan pelajar yang lemah ketinggalan dalam pelajaran mereka dan pelajar yang cerdas akan merasa bosan. Pengajaran kerapkali dilakukan dalam bentuk sehala, iaitu guru bersyarah dan pelajar menerima tanpa sebarang interaksi selain daripada sesi soal jawab.
  5. Pembahagian peruntukan kewangan oleh kerajaan adalah tidak menyeluruh dan adil. Kerapkali sekolah-sekolah di luar bandar tidak mendapat peruntukan yang mencukupi berbanding dengan sekolah-sekolah di bandar.
  6. Agihan guru terlatih dan berkualiti juga adalah salah satu kekurangan yang dihadapi di sekolah-sekolah luar bandar. bagi sekolah-sekolah bandar pula, sekolah-sekolah yang berprestai tinggi dalam akademik akan mendapat layanan yang lebih.
  7. Ketidakyakinan ibu bapa kepada sistem pendidikan negara telah mengakibatkan tumbuh dengan banyaknya sekolah-sekolah swasta.
  8. Budaya kelas tution juga telah menular dengan pesatnya atas permintaan ibu bapa yang ingin melihat anak mereka cemerlang dengan mendapat gred A dalam setiap peperiksaan yang diambil.
  9. Tekanan daripada masyarakat terutama sekali dari ibu bapa telah mengakibatkan guru-guru dan sekolah berlumba-lumba untuk menghasilkan pelajar yang mendapat gred A seramai mungkin.
  10. Tahap stress adalah tinggi di kalangan guru malah juga dikalangan pelajar. Terdapat kes-kes masalah tekanan jiwa dikesan di kalangan guru malah terdapat juga kes di mana pelajar bertindak membunuh diri kerana gagal untuk cemerlang dalam peperiksaan.
  11. Kelas terlalu sesak dengan seramai 30 hingga 40 orang di dalam satu kelas. Ini mengakibatkan P&P tidak dapat dilaksanakan secara berkesan.
  12. Sistem 'streaming' iaitu pengasingan pelajar mengikut gred pencapaian telah mewujudkan budaya bermegah dan rendah diri di kalangan pelajar serta guru.
  13. Terlalu banyak peperiksaan setara dilaksanakan sepanjang proses persekolahan pelajar bermula dari Tahun 1 hinggalah ke Tingkatan 4. Keputusan peperiksaan ini telah digunakan untuk menentukan taraf pelajar dalam pendidikan. Tiada satu program atau perancangan untuk membantu pelajar yang lemah secara khusus di setiap kelas. 
  14. Kepantasan internet tidak pantas dan kemudahan ICT amat berkurangan terutama sekali bagi sekolah-sekolah di luar bandar.
  15.  Beban kerja pelaporan (report writing paperwork) di kalangan guru amat banyak sehinggakan masa untuk memberi tumpuan yang banyak untuk P&P telah tergendala. Akibatnya data yang dikumpul melalui pelaporan berkenaan adalah tidak sahih dan tepat. Proses P&P para guru juga menjadi lemah dan kurang bermutu.
Kelemahan-kelemahan ini adalah apa yang telah diperolehi melalui bacaan daripada sumber-sumber rencana dan artikel di internet. Dalam penulisan yang akan datang kita akan lihat pula apakah kebaikan yang dilakukan oleh negara-negara berkenaan.

https://borgenproject.org/facts-about-education-in-thailand/
https://www.scmp.com/lifestyle/families/article/2111822/downsides-singapores-education-system-streaming-stress-and
 https://www.worldbank.org/en/country/indonesia/brief/improving-teaching-and-learning-in-indonesia
https://www.lowyinstitute.org/publications/beyond-access-making-indonesia-s-education-system-work
https://www.slideshare.net/jheallyorlanda/current-issues-on-philippine-education
https://theaseanpost.com/article/philippines-needs-improve-its-education-system

Rabu, 13 Mei 2020

Pendidikan Negara. Ke Mana Nak Dituju? Bhg 3

Dalam bahagian 3 ini kita akan lihat pula masalah pendidikan yang dialami oleh Filipina dan Indonesia.

Filipina: mengamalkan sistem pendidikan sebanyak 13 tahun. Iaitu Tadika, Pendidikan Rendah (6 Tahun), Menengah Rendah ( 4 tahun ) dan Menengah Atas ( 2 Tahun ).

  1.  Pengeluaran Siswa K12 yang dilancarkan pada tahun 2012 iaitu seramai 1.2 juta tidak dapat menenbusi pasaran kerja. Sebab utama yang dinyatakan adalah graduan mereka tidak menguasai kemahiran pemikiran kritikal dan inovasi.
  2. Pada 2017 Indeks Kompetitif Gobal bagi pendidikan rendah adalah ke 66 daripada 137 negara, 74 bagi pendidikan tinggi dan 113 daripada 127 negara dalam PISA.
  3. Bidang yang perlu dipertingkatkan adalah; gaji Guru, Rasuah di Jabatan Pendidikan, P&P melalui sistem menghafal kepada pengajaran secara reflektif iaitu dengan membenarkan pelajar bersoal-jawab secara interaktif, meneroka peluang dan senario serta berbahas secara berfokus.
  4. Kekurangan bilik darjah di mana bilangan pelajar yang terlalu ramai dalam sesuatu kelas. Kepantasan internet juga merupakan masalah yang amat penting dan perlu dipertingkatkan.
  5. Tuntutan masyarakat dan budaya yang menjadi amalan masa kini menjadi halangan untuk mewujudkan pelajar yang lebih kritis serta mampu menyeselaikan masalah. Pelajar juga perlu mampu menyesuaikan diri dengan menerima perubahan yang pesat masa kini serta kemahiran belajar yang akan digunakan dalam kehidupan harian.
  6. Sebanyak 99% sekolah di bawah Kementerian Pendidikan masih belum menerima pakej ICT yang dibekalkan oleh kerajaan.
  7. Kelewatan menyiapkan bangunan baru sekolah, Sebanyak 30% daripada bilik darjah yang masih belum dibina.
  8. Kehilangan bahan pendidikan dan bantu mengajar bernilai sebanyak P25.21 juta akibat daripada kelemahan dalam sektor pembekalan dan pengstoran. Gudang simpanan yang lusuh dan buruk telah mengakibatkan kerosakan alat-alat tersebut akibat daripada hujan atau banjir.
  9. Mengurangkan beban kerja pelaporan oleh para guru serta pertindihan data tanpa mengorbankan pelaporan.
  10.  Menangani masalah tekanan jiwa dan bunuh diri di kalangan guru.
  11. Kekuranagn kauselor terlatih yang ditempatkan di sekolah-sekolah.
Indonesia:
  1. 42% daripada pelajar Indonesai gagal mencapai tahap penguasaan minma yang ditetapkan oleh OECD dalam ilmu matematik, sains dan bacaan pada tahun 2015.
  2.  Indonesia telah berjaya memastikan semua rakyatnya mendapat pendidikan tetapi kualiti pendidikan adalah rendah dari segi mutu pengajaran oleh guru-guru dan tahap ketidakhadiran guru-guru adalah tinggi.
  3. Masalah utama adalah kekurangan mendapat akses kepada bahan yang berkualiti serta tenaga pengajar yang tidak bermutu. Kekurangan tenaga pengajar sacara umumnya berlaku di kawasan luar bandar.
  4. Bantuan Operasi Sekolah dan Program Indonesia Pintar adalah dua langkah untuk memperkasakan pendidikan di Indonesia.
  5. Tahap penguasaan kemahiran matematik, sains dan bahasa masih rendah mengikut taksiran OECD.
  6. Persekitaran pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah perlu dipertingkatkan kualitinya.
  7. Tahap kompetensi guru perlu dipertingkakan. Proses pengajaran dan pembelajaran juga amat perlu dipertingkatkan.
  8. Program-program pembangunan tahap pendidikan yang dibantu oleh Bank Dunia telah dilaksanakan sejak 2016 seperti ID-Teman, Kiat Guru dan PUAD generasi cerdas desa.
  9. Perlu berlaku peningkatan dalam lantikan dan latihan guru serta pengagihan mereka ke semua kawasan bandar dan luar bandar secara adil.
Bahan rujukan:
 https://www.worldbank.org/en/country/indonesia/brief/improving-teaching-and-learning-in-indonesia
https://www.lowyinstitute.org/publications/beyond-access-making-indonesia-s-education-system-work
https://www.slideshare.net/jheallyorlanda/current-issues-on-philippine-education
https://theaseanpost.com/article/philippines-needs-improve-its-education-system

Isnin, 11 Mei 2020

Pendidikan Negara. Ke Mana Nak Dituju? Bhg. 2

Di sini saya ingin membandingkan beberapa sistem pendidikan dari beberapa buah negara di seluruh dunia. Mungkin dari sini kita akan dapat beberapa isu yang mungkin ada kaitan dengan isu di negara kita. Kelemahan dan kegagalan yang dapat kita lihat boleh kita gunakan sebagai panduan dalam proses kita untuk memperbaiki sistem yang sedang kita amalkan sekarang.

Mari kita lihat dahulu masalah-masalah yang sedang dialami oleh negara-negara jiran kita seperti Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina.

Thailand:
  1. Kadar literasi adalah pada kadar 96.7%, tetapi mereka gagal untuk mempertingkatkan pencapaian dalam Ujian PISA. Thailand berada pada kedudukan 35 daripada 40 buah negara yang terlibat pada tahun 2014.
  2. Pada tahun 2015 kerajaan Thai telah memperuntukkan sebanyak 19.35% daripada Belanjawan Negara untuk pendidikan, tetapi masih gagal untuk melihat penambaikan secara kumulatif.
  3. Pembahagian peruntukan tidak dilaksanakan secara adil. Sekolah-sekolah yang mempunyai pelajar-pelajar yang berpotensi untuk berjaya diberi peruntukan lebih berbanding sekolah-sekolah kecil dan luar bandar.
  4. Kesan daripada ini, pelajar-pelajar di bandar lebih maju berbanding dengan mereka di luar bandar. Agihan guru-guru juga didapati tidak seimbang di antara sekolah-sekolah bandar dan luar bandar.
  5. Kurikulum yang digunakan adalah kurikulum yang telah digunapakai sejak 2001 dan telah diubahsuai pada 2008. Kurikulum ini berasakan industri dan kemahiran yang lama serta ketinggalan zaman. Ini akan mewujudkan satu generasi penganggur jika ia tidak digubal semula untuk disesuaikan dengan pembangunan pesat industri dan teknologi.
  6. Ketidakyakinan ibu bapa terutama sekali di kalangan mereka yang berada terhadap sistem pendidikan negara telah mewujudkan banyak sekolah swasta. 
Singapura:
  1. Negara ini memfokuskan sistem pendidikan mereka ke arah kecemerlangan dalam peperiksaan. Corak pembelajaran menghafal atau (rote learning) serta tekanan untuk berjaya telah memberi kesan ke atas kemahiran sosial, kesihatan dan kebahagian menyeluruh kepada para pelajar.
  2. Sistem pendidikan Singapura telah berjaya menghasilkan pelajar-pelajar yang mencapai kecemerlangan dalam ujian setara PISA dengan memperolehi kedudukan teratas. Malangnya pencapaian ini tidak menghasilkan rakyat yang mempunyai pemkiran kritikal malah hanya mewujudkan mereka yang hanya mampu menghafal dan membuat sesuatu mengikut hafalan mereka.
  3. Tahap stress amat tinggi sekali dikalangan pelajar kerana tekanan untuk cemerlang dalam pendidikan. Pembangunan sikap dan sosial tidak diberi keutamaan.Kadar berlakunya bunuh diri dikalangan pelajar amat ketara sekali. Pada 2017 seramai 27 kes bunuh diri telah dicatat di kalangan pelajar yang berumur antara 10 hingga 19 tahun. Pada bulan Mei 2015 seorang pelajar berumur 11 tahun telah terjun dari tingkat 17 sebuah flat kerana takut untuk menunjukkan keputusan peperiksaan satu subjek yang beliau gagal buat pertama kali. Tekanan ini datangnya dari kalangan ibu bapa yang tak mahu melihat anak-anak mencapai keputusan di bawah 90% dalam setiap subjek.
  4.  Budaya kelas tution melular dengan begitu pesat sekali sehinggakan ada ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke kelas tution berlainan guru sebanyak 11 kali seminggu untuk satu subjek.
  5. Kelemahan kemahiran moto dan berinteraksi secara baik sesama rakan sebaya amat ketara sekali. Ramai di antara pelajar tidak tahu bagaimana untuk mengatasi percanggahan pendapat secara baik, malah mereka hanya tahu bertengkar dan menjerit.
  6. Kelas yang sesak dan padat dengan seramai 30 - 40 pelajar adalah satu masalah utama. Pengasingan pelajar mengikut pencapaian ujian juga merupakan satu lagi masalah besar. Para pelajar diasingkan mengikut kategori Istimewa ( laluan pantas ke Universiti), Ekspres ( laluan terus ke Universiti atau Kolej ), Akademik Umum ( ke arah Politeknik ) dan Teknikal Umum ( ke arah kelayakan Pendidikan Tenikal ).
  7. Pelajar sekolah rendah perlu menduduki 2 peperiksaan. Pertama pada tahun 4 peperiksaan ini akan menentukan kursus yang akan diambil dalam bahasa Inggeris, Matematik, bahasa Ibunda dan Sains. Peperiksaan kedua pula diambil ketika di tahun 6 untuk menentukan aliran yang akan diikuti di sekolah menengah.
  8. Sistem ini telah mewujudkan masyarakat yang hanya mampu membuat sesuatu melalui hafalan dan gagal untuk melaksanakan sesuatu tugas yang memerlukan inovasi, kreativiti dan penyelesaian masalah.
Setakat ini dahulu dan akan disambung kelak dengan mengutarakan beberapa buah negara lagi. In Sya Allah.

Sumber rujukan:
 https://borgenproject.org/facts-about-education-in-thailand/
https://www.scmp.com/lifestyle/families/article/2111822/downsides-singapores-education-system-streaming-stress-and

Khamis, 7 Mei 2020

Pendidkan Negara. Ke Mana Nak Dituju? Bhg 1


Ingin saya kongsi pandangan saya sebagai bekas guru yang dah bersara mengenai isu persekolahan anak-anak seluruh negara. Ramai yang memikirkan norma biasa iaitu ke sekolah, masuk kelas guru mengajar kemudian menduduki peperiksaan. Itu semua perkara biasa yang telah kita semua lalui sejak kecil hingga lah dewasa. Maka masing-masing pening memikirkan, apa nak jadi dengan anak-anak kita yang tak bersekolah ni? Sejak perlaksanaan PKP, dah hampir 2 bulan anak-anak tidak ke sekolah. Ibu bapa ada yang risau tentang pelajaran anak-anak mereka. Ada juga yang risau dan marah melihat anak-anak terpaksa buat kerja sekolah yang diberi oleh guru melalui media elektronik. Ramai juga yang memikirkan tentang para guru yang rehat aje kat rumah tak buat apa. Gaji dapat setiap bulan. Para guru pula memikirkan bagaimana nak habiskan silibus pengajaran? Masa dah banyak terbuang. Pak menteri dan pegawai-pegawai atasan di KPM pula memerahkan otak bagaimana nak atasi semua ini. 

Pada saya semua ini adalah berpunca dari sistem. Sistem pendidikan yang telah kita amalkan sejak merdeka lagi. Sistem yang diwarisi dari penjajah yang telah kita ubahsuai cara pelaksanaannya serba sedikit. Yang berubah hanyalah program-program baru, pendekatan baru dan arahan-arahan baru. Sistem tetap sama. Dari tadika ke sekolah rendah, dari darjah 1 hingga darjah 6, kemudian ke sekolah menengah, dari Tingkatan 1 hingga lah ke tingkatan 5. Itu laluan yang akan dilalui oleh anak-anak kita dari umur 6 tahun hinggalah ke umur 17 tahun. Maka sekarang laluan itu telah diputuskan dan diganggu oleh satu wabak yang amat merbahaya. Gangguan ini telah mengakibatkan para penggerak pendidikan Negara terbantut sejenak. Timbullah berbagai andaian dan persepsi dikalangan masyarakat serta ahli keluarga pendidikan. Sampai bila ya nak jadi begini? Bila sekolah nak dimulakan kembali? Ada yang bertanya tentang peperiksaan anak-anak mereka. Memang benar para guru dan KPM telah berusaha untuk mewujudkan satu kaedaah pengajaran dan pembelajaran untuk anak-anak didik mereka. Di sini adalah menjadi tanggungjawab para ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka mengikut jadual P&P yang telah ditetapkan. 

Nak tanya para guru, ke mana kita nak bawa anak-anak kita ni? Cuba kita fikirkan sistem yang boleh memberi munafaat yang maksimum kepada anak-anak untuk memasuki alam dewasa dan pekerjaan dengan lebih berjaya lagi. Mampukah kita menghasilkan satu masyarakat yang berilmu tinggi, berakhlak mulia, berdisiplin tinggi serta kental jati diri mereka. Jika dilihat hasil pendidikan negara sehingga kini, kita gagal untuk membentuk itu semua. Ramai rakyat kita rendah jati diri, kurang berdisiplin serta kurang berakhlak mulia. Lihat sahaja apa yang berlaku sekarang. Setiap hari kita boleh baca melalui media sosial mengenai ini. Hampir semua Negara yang dijajah oleh penjajah dari barat sedang mengamalkan system pendidikan warisan penjajah. Sama juga dengan Malaysia. Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta Dasar Pendidikan Negara telah disediakan dengan baik sekali. Cuba kita halusi kedua-dua perkara tersebut secara halus dan mendalam. Apakah jenis rakyat yang kita nak bentuk? Apakah jenis budaya bangsa yang kita nak bentuk? Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan mengamal berbilang agama serta budaya, masyarakat bagaimana rupakah yang kita nak wujudkan. Kita perlu memikirkan perkara ini secara mendalam kerana pendidikan merupakan alat dan proses yang amat penting dalam  pembentukan masyarakat Malaysia. Apakah identiti negara yang nak kita masyhurkan kepada dunia? Dah berjaya kah kita? Adakah masyarakat dunia dapat mengenali kita sebagai rakyat Malaysia? Maka sesuatu perlu dilakukan untuk memperkasakan system pendidikan negara kita. Adakah PPPM satu usaha yang akan berjaya?

Insya Allah akan saya sambung di dalam posting yang akan datang. Saya akan mengutarakan beberapa isu yang sedang merumitkan proses pendidikan kebangsaan.