Selasa, 22 Disember 2020

Bergerak Maju melalui Ketidaktentuan dan Kepastian -2

Peralihan adalah kunci kepada dimensi baru dalam hidup manusia. Desakan terhadap apa yang sepatutnya berlaku adalah penyebab kesakitan / keperitan dalam hidup. Kekurangan sikap perihatin  serta  kesedaran merupakan punca kegagalan. Ketidakpastian dan ketidaktentuan adalah kuasa besar yang akan memecah perisai tabii dan mendedahkan kita kepada pelbagai pilihan baru, penebusan dan pertumbuhan.  Perubahan adalah cara kita menemui diri kita yang hebat daripada apa yang kita sedari. Kita perlu ubah kelemahan, kekecewaan dan buangkan segala sifat negatif jika kita ingin menjadi lebih baik dari apa yang sedia ada.

Dalam menghadapi kesusahan dan cabaran, kita biasa merasai keadaan tidak tentu arah, kecewa, takut dan mengeluh tak kesudahan. Ketika berada dalam keadaan stress yang amat tinggi kita mula menyerahkan diri kita kepada Tuhan. Merayu dan memohon pertolongan, bantuan serta petunjuk untuk menghadapi segala kesusahan dan kerintangan. Cubaan untuk mengeluarkan diri dari keperitan akan membawa kita kepada keperitan yang lebih berat. Mencari penyelesaian kepada keperitan itu akan  membawa kita kepada berbagai andaian yang akan menyakitkan.

Mencari langkah seterusnya dalam penyelesaian tidak semestinya merupakan sesuatu tindakan yang besar. Perubahan boleh dilakukan dengan melepaskan tabii lama, menghadkan pemikiran dan kepercayaan kita adalah beberapa kemungkinan. Melangkah ke alam baru yang penuh dengan berbagai ketidaktentuan atau kepastian amatlah mencabar sekali. Berhadapan dengan keidaktentuan amatlah membimbangkan serta menakutkan. Perubahan yang nyata tidak akan berlaku melalui hafalan, kebangkitan, penyusunan semula kefahaman dan kebolehan kita semata-mata. Melakukan perubahan tidak bermakna ianya satu kegagalan tetapi ia bermaksud kita sedang meninggalkan yang lama untuk menuju ke arah yang baru. Kita mencuba yang baru serta memikir dengan pemikiran yang baru. Kita sedang menuju ke arah sesuatu destinasi yang masih belum jelas. Seolah-olahnya ia bukan hak kita. 

Perubahan mungkin sesuatu yang menakutkan tetapi jangan tertipu dengan bentuknya. Ia adalah sesuatu yang liar dan menguntungkan yang akan menghampiri kita. Adalah satu perkara biasa jika kita merasai bahawa kita tidak mengetahui apa yang sedang berlaku. Kita tak mampu mengawal kreativiti, pembaharuan dan evolusi dalam perubahan hidup kita. Apabila kita berhenti menyekat kemahuan kita, kita telah menamatkan apa yang tak dapat dijelaskan serta kebaikan yang sedang menunggu kita.

Kemahuan hati biasanya begini. Ia menentang logik. Dengan mengikut apa yang kita benar-benar ingini, ia akan membawa kita kepada kuasa rohani yang redikal. Jawapannya ada pada diri kita, tetapi kita tidak dapat melihat bagaimana ia boleh berlaku. Diri kita yang kerap mengikut gerak hati untuk mengetahui kebenaran juga tahu cara untuk mentafsirkan kebenaran itu kepada satu kenyataan atau realiti. Apabila kita tahu apa yang benar-benar kita mahu, barulah kita nampak arah yang hendak dituju. Ketidakpastian itu mampu membawa kita ke arah kejayaan dan kemajuan.

Jumaat, 11 Disember 2020

Bergerak Maju melalui Ketidakpastian

Perubahan mungkin sesuatu yang menakutkan tetapi jangan tertipu dengan bentuknya. Ia adalah sesuatu yang liar dan menguntungkan yang akan menghampiri kita. Adalah satu perkara biasa jika kita merasai bahawa kita tidak mengetahui apa yang sedang berlaku. Kita tak mampu mengawal kreativiti, pembaharuan dan evolusi dalam perubahan hidup kita. Apabila kita berhenti menyekat kemahuan kita, kita telah menamatkan apa yang tak dapat dijelaskan serta kebaikan yang sedang menunggu kita.

Kemahuan hati biasanya begini. Ia menentang logik. Dengan mengikut apa yang kita benar-benar ingini, ia akan membawa kita kepada kuasa rohani yang redikal. Jawapannya ada pada diri kita, tetapi kita tidak dapat melihat bagaimana ia boleh berlaku. Diri kita yang kerap mengikut gerak hati untuk mengetahui kebenaran juga tahu cara untuk mentafsirkan kebenaran itu kepada satu kenyataan atau realiti. Apabila kita tahu apa yang benar-benar kita mahu, barulah kita nampak arah yang hendak dituju. Ketidakpastian itu mampu membawa kita ke arah kejayaan dan kemajuan.

Ia bukanlah mengenai menyesuaikan penyelesaian kepada keadaan semasa, tetapi ia adalah langkah untuk mencari jawapan serta arah yang akan mengubah keadaan sedia ada. Apabila ketidakpastian menjadi satu keperitan, tarik nafas, berlaku baik kepada diri anda, letakkan satu kaki ke hadapan dan melangkah maju. Terus bergerak ke hadapan. Tentanglah segala kesimpulan yang buruk dan sikap mengalah, tetapi jangan menentang diri anda sendiri. Suara hati kita kerap mematikan keinginan dan kepentingan kita. Katakan kepada diri kita yang kita tidak akan dikalahkan atau digagalkan, malah kita akan terus mengharungi hidup kita sebagaimana yang kita mahu. Elakkan sikap menerima kekalahan dengan berpegang kepada kepercayaan bahawa kita akan gagal, kalah sebelum kita pernah mencuba atau melakukan sesuatu. Katakan kepada diri kita bahawa kita tidak akan dikalahkan atau digagalkan. Kita adalah diri kita. Kita tidak akan digagalkan oleh sesiapa pun. Kita dilahirkan untuk bangkit dan terus maju. Sikap negatif itu akan menghalang usaha kita untuk mendapat peluang untuk maju. Jadi buangkanlah sikap negatif itu sejauh-jauhnya.

Cinta yang Maha Esa kepada kita hambaNya tidak akan hilang. Alllah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Mempercayai bahawa cinta yang Maha Esa itu akan membangkitkan semangat dan jiwa kita untuk membangun dan menentang segala kegagalan dan kesukaran. Dalam perjalanan hidup kita destinasi itu tidak akan berubah tetapi persekitaran kita yang kerap dan berulangkali berubah. Jangan jadikan perubahan persekitaran punca kegagalan kita. Pasti ada satu jalan keluar bagi perkara berkenaan. Ingat, tiada titik pengakhiran dalam menuju ke arah penghidupan yang bermakna dan puas. Berdiam diri itu amat membosankan. Bangkitlah saudara-saudariku. Bergeraklah untuk memajukan diri, bangsa dan agama kita. Dekatkan diri kita kepada yang Maha Esa dengan berdoa tanpa henti agar diberi hidayah dan petunjuk untuk mencapai hidup yang lebih baik dan bermakna dunia akhirat. In Sya Allah.

Ahad, 6 Disember 2020

Hadiah dan Pemberian

Sabda Rasullullah : "Saling memberi hadiahlah , niscaya kalian akan slaing mencintai" Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW menganjurkan supaya kita saling memberi hadiah walaupun sedikit. Hadiah tidak dilihat dari nilai harganya tetapi lebih kepada pentingnya. Selalulah bermurah hati untuk menghadiahkan sesuatu kepada mereka di sekeliling kita kerana pemberian kita itu adalah ganjaran untuk dunia dan akhirat.

Hadiah yang terbaik untuk :-
  • Rasulullah - Selawat. Sudah kah kita berselawat kepada baginda hari ini?
  • Orang Tua - Berbakti. Banyak manakah telah kita berbakti kepada orang tua.
  • Suami - Kesetiaan. Jagalah kesetiaan kita terhadap suami tercinta.
  • Isteri - Penghargaan. Berilah penghargaan kepada isteri yang telah berkorban untuk kita dan anak-anak sepanjang hari.
  • Anak - Pendidikan. Berilah pendidikan dunia dan akhirat secukupnya untuk anak-anak kita.
  • Guru - Penghormatan. Hormatilah guru-guru kita yang telah mendidik kita sehingga menjadi manusia yang berguna.
  • Murid - Tauladan. Tunjuklah yang terbaik untuk mereka ikuti.
  • Orang yang tidak dikenali - Senyuman. Berilah senyuman kepada mereka sebagai sedekah agar kita dihormati.
  • Sahabat - Doa. Berdoalah kepada Ilahi untuk para sahabat kita agar sentiasa dipermudahkan hidup serta diampunkan segala dosa.
  • Musuh - Pemberian Maaf. Maafkanlah mereka di atas kesilapan mereka terhadap kita kerana memberi maaf itu labih mulia di sisi Allah swt.
  • Diri Sendiri - Kejujuran. Sentiasalah bersifat jujur kerana kejujuran itulah yang membuat kita dikasihi orang.
  • Kehidupan - Kasih Sayang. Berilah kasih sayang kepada semua di sekeliling kita. Kasih sayang akan melembutkan hati dan menguatkan silaturahim.
  • Kematian - Al Fatihah. Hadiahkanlah Al Fatihah setiap kali kita mendapat berita kematian. Masa kita akan tiba.
Adab dalam memberi hadiah.
  • Dilarang mengambil kembali hadiah yang telah diberikan kepada sesiapa melainkan dicurigai tentang status halal haramnya hadiah tersebut.
  • Dalam memberi hadiah utamakanlah ahli keluarga yang terdekat ia itu ayah ibu sebelah suami dan isteri, bapa saudara dari kedua belah pihak, adik beradik dan orang terdekat di hati kita.
  • Dilakukan dengan penuh keikhlasan kerana Allah SWT tanpa mengharapkan sebarang balasan dalam apa bentuk jua.
  • Tidak mengungkit apa yang telah diberi kerana ia akan menghapuskan pahala sedekah dan hadiah itu.
  • Tidak bersedih andaikata hadiah atau pemberian kita itu ditolak oleh orang.
Mudah-mudahan hadiah dan pemberian kita akan diberkati Allah SWT dan diberi ganjaran yang sewajarnya.

Ahad, 29 November 2020

Perkara Yang Menghalang Produktiviti dan Kecekapan

Produktiviti dan Kecekapan merupakan salah satu element yang amat penting dalam sesuatu organasasi. Kejayaan dan Kelancaran perjalanan organisasi itu bergantung kepada ciri-ciri yang akan membawa kepada pencapaian produktiviti dan kecekapan yang tinggi. Ingin saya utarakan beberapa kelemahan yang boleh membawa kepada jatuhnya produktiviti dan kecekapan. Di antara faktor-faktor yang berkaitan adalah :-

  • Menangguh-nangguhkan kerja. Sikap pekerja yang suka menangguhkan kerja yang sepatutnya disiapkan pada sesuatu masa akan mengakibatkan perlanjutan masa kerja itu siap. Jika ianya berterusan setiap hari maka akan berlaku pula lambakan kerja yang belum siap.
  • Melakukan berbagai tugas dalam satu masa. Apabila seseorang pekerja itu terpaksa melakukan berbagai tugas yang perlu disiapkan dalam satu masa, sudah tentulah hasil kerjanya akan bermutu rendah. Tiada fokus khusus bagi melaksanakan tugas-tugas tersebut. Sikap asalkan siap sudahlah akan diamalkan. Kualiti kerja diabaikan.
  • Pembaziran masa dan gangguan. Kerap berlaku di mana masa yang sepatutnya digunakan untuk menyiapkan kerja telah disalahgunakan untuk perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan tugas utama. Pembaziran masa kerap berlaku apabila terdapat gangguan daripada sama ada rakan setugas, ahli keluarga ataupun pihak pengurusan.
  • Terlalu teliti dan memberatkan ketepatan. Apabila seseorang petugas itu membuat kerjanya dan sikap yang terlalu teliti dalam setiap peringkat kerja serta terlalu memberatkan ketepatan hasil kerja akan mengakibatkan kelambatan menyiapkan tugas dan menambah kesan stress ke atas diri. Ketelitian dan ketepatan adalah penting, tetapi janganlah sampai tiada langsung ruang sedikit kelonggoran. Kelonggaran itu tidak seharusnya menjejaskan kualiti hasil.
  • Tidak menggagihkan kerja. Perkara ini kerap berlaku di kalangan pihak pengurusan pertengahan. Kerja-kerja kecil dan mudah sepatutnya boleh diturunkan kepada pekerja lain asalkan ia tidak akan menjejaskan kualiti hasil kerja. Terlalu berpegang kepada tugas sehinggakan perkara-perkara remeh pun nak dibuat sendiri akan mengakibatkan kecelaruan semasa melakukan tugas.
  • Terbeban dengan maklumat atau pilihan. Maklumat dan pilihan yang diberi untuk melaksakan sesuatu tugas itu terlalu rigid atau ketat sehinggakan tiada langsung ruang untuk pengubahsuaian. Melaksanakan tugas dalam keadaan tertekan tidak akan memberi hasil kerja yang cemerlang dan sudah tentu ia akan mengakibatkan mutu produktivi menjada rendah.
  • Kerap mengubah keputusan. Keputusan yang telah dibuat sebelum melaksanakan sesuatu tugas itu tidak sepatutnya diubah terlalu kerap. Sedikit perubahan tidak akan menjejaskan pelaksanaan tugas secara baik. Tetapi jika keputusan kerap diubah pada setiap peringkat kerja, sudah tentulah apa yang telah ditetapkan di dalam minda akan terganggu fokusnya.
  • Menunggu masa yang sesuai. Masa untuk melaksanakan tugas sepatutnya telah ditentukan terlebih awal lagi. Jika berlaku pengangguhan masa hanya kerana hendak menunggu masa yang sesuai untuk melaksanakan tugas tersebut sudah tentu ia akan mengakibatkan kegagalan dalam melaksanakan tugas itu seawal mungkin tanpa menggadaikan kualiti hasil.
  • Terlalu banyak masa untuk merancang. Perangcangan untuk melaksanakan sesuatu tugas itu perlu dibuat secara pantas dan kemas. Jika masa untuk membuat perancangan itu terlalu lama atau panjang ia akan mengakibat pembaziran. Akhirnya ia juga mungkin akan mengakibatkan kegagalan untuk melaksanakan tugas tersebut.
Demikianlah beberapa punca penghalang kepada produktiviti dan kecekapan yang kerap berlaku di sesuatu organisasi. Harap ianya dapat digunakan sebagai panduan untuk mengatasi masalah penghalang-penghalang tersebut. In Sya Allah.


Rabu, 25 November 2020

Yang Tak Sepatutnya Berlaku Di Pejabat

 Sebagai sambungan kepada tulisan saya pada minggu lalu mengenai TABIAT, kini saya nak nyatakan pula perkara-perkara yang tak sepatutnya berlaku ditempat kerja. Cuba kita lihat dan hayati perkara-perkara yang tak sepatutnya berlaku itu.

  • Suka mengadu ; Tak habis-habis dengan mengadu. Itu mengadu. Ini mengadu. Serba tak kena semuanya. Agaknya jika tak mengadu dalam sehari demam kot. Apakah tujuan dan matlamat kita mengadu? Nak apa sebenarnya? Tak boleh tengok orang lain senang ke atau tak boleh diberi tugasan yang lebih daripada biasa.
  • Membawang/Gosip : Ni lagi satu tabiat buruk yang biasa kita lihat di kebanyakan tempat kerja. Pasti ada sekumpulan manusia yang akan berkumpul dan mulalah siaran bertita semasa yang entah ia entah tidak. Siap dengan gaya tangan, badan dan memik muka lagi. Yang mendengar pula ternganga asyik. Tak pasal-pasal akhirat nanti terpaksa merangkak mencari orang yang diumpat untuk mohon ampun.
  • Menetang perubahan : Apabila ada aje perubahan peraturan kerja maka mulalah tarik muka masam tak setuju dan membantah. Berbagai alasan diberi kerana tak nak ikut arahan baru. Dah lah tu mula menghasut orang lain supaya sama-sama membuat bantahan. Ada pula tu yang ikut. Bila ditanya mengapa ikut, terkebil-kebil tak tahu apa nak jawab. Ini yang dikatakan ikut membabi buta. Bila pihak atasan ambil tindakan mulalah episod tunding menunding jari ke arah orang lain. Takut pula nak bertanggungjawab atas bantahan dia.
  • Mulut kotor dan berbohong : Ini yang paling parah. Ada pula yang tak tahu berbahasa. Setiap kali berkata, bahasa yang digunakan adalah tidak sopan dan tak beradab. Cakap jarang sekali perkara yang benar. Ada aje di selitnya serba sedikit pembohongan.
  • Mengambil kesempatan : Ini lagi satu perangai. Pantang nampak ada peluang terus masuk jarum untuk mendapat kepentingan untuk diri sendiri. Jika diberi tugas tertentu kita akan cari peluang untuk mendapat sesuatu. Mengguna peralatan pejabat dan kemudahan pejabat untuk kepentingan peribadi memang banyak berlaku. Ramai yang tak sedar bahawa mereka telah mengambil kesempatan.
  • Menikam belakang : Ketika bersemuka, baik segala kelakunya. Sebaliknya di belakang kita berbagai hasutan dan fitnah dilemparkan kepada kita. Adakalanya kita dijadikan mangsa menanggung kesalahan yang dibuat.
  • Ketepatan masa : Ketepatan masa adalah masalah utama hampir di semua pejabat. Masa hadir jarang yang lambat sebab dah ada sistem elektronik pendaftaran hadir kerja. Masalah yang kerapa berlaku adalah setelah dah daftar masuk kerja terus hilang kononya nak sarapan dulu. Sedangkan waktu mula bekerja adalah jam 8 pagi/9 pagi. Dah lah hilang untuk sarapan, balik ke pejabat untuk mula bertugas pula lambat. Banyak masa telah dibazirkan bersembang dan bersantai di cafe/warung.Yang pelik tu masa balik pula tak pernah lambat. Sentiasa tepat pada masanya.
  • Berjualan : Ramai juga dikalangan kakitangan wanita di kebanyakan pejabat yang berjualan di pejabat, Berkumpulah beberapa orang dimeja si polan yang mula menunjukkan katalog jualannya. Kerja yang sepatutnya disiapkan ditinggalkan. Penyalahgunaan masa pejabat seperti ini memang kerap berlaku.
  • Menyemak dan Bersepah : Terdapat juga beberapa orang pekerja pejabat yang sentiasa meninggalkan meja tempat kerja mereka bersepah dan semak. Kertas, fail, alatulis dan buku dibiarkan bersepah di atas meja. Langsung tiada rasa malu. Serabut mata memandangnya. Tak tahulah bagaimana agaknya keadaan di rumah. Entah lah.
In Sya Allah pada catatan yang akan datang saya akan kemukakan beberapa lagi perkara yang berkaitan dengan tabiat kita.

Selasa, 17 November 2020

Tabiat - Buruk dan Baik

 Kita sebagai manusia mempunyai tabiat sama ada yang baik ataupun yang buruk. Bagaimanakah kita dapat menguruskan tabiat kita dengan baik. Perubahan perlu dilaksanakan untuk membina satu-satu tabiat yang baik. Sebelum itu kita juga perlu berusaha untuk membuang tabiat yang buruk. Perubahan itu memerlukan satu daya usaha yang bersungguh-sungguh kerana bukannya mudah untuk membuang atau menukar sesuatu tabiat yang sudah sebati dengan kita. Jika anda yakin anda boleh berubah dan anda menjadikan ia sebagai satu usaha yang bersungguh-sungguh, perubahan itu akan berlaku.

Membina satu tabiat yang baru amatlah sukar tetapi jika anda berjaya ianya amat berbaloi. Untuk membina satu tabiat baru yang baik anda perlu kenalpasti apakah motivasi anda. Anda juga perlu mewujudkan satu isyarat bahawa anda akan bergerak ke arah sesuatu yang baru. Anda perlu mengikuti perkembangan dan kemajuan perjalanan anda ke arah pembentukan satu tabiat yang baru. membuang satu tabiat yang lama dan buruk memerlukan satu daya usaha yang amat gigih. Ia bukanlah satu tugas yang mudah. Langkah-langkah tertentu perlu diambil untuk menukarkan dan menggantikan yang lama kepada yang baru. Tabiat lama sudah sebati dengan diri anda. Ketidakselesaan akan berlaku apabila ianya diganggu apatah lagi cuba dibuang terus dari diri anda. Ketagihan merokok atau minum kopi adalah satu contoh yang amat mudah. Berkata kepada diri kita bahawa kita akan berhenti merokok atau minum kopi amat mudah. Ye ke? Apabila tiba masa di mana pada kebiasaannya kita merokok atau minum kopi mampukah kita berkata bahawa kita nak minum air kosong. Perasaan ketagihan itu mula membuak sehinggakan kerap kali kita akan kalah dan mula merokok dan minum kopi kembali. Cuba anda senaraikan segala tabiat buruk anda dalam sehelai kertas. Tampalkan ia ke sebuah papan kenyataan di rumah anda. Letakkan matlamat untuk membuangnya dalam satu jangkamasa yang telah ditetapkan. Perhatikan perkembngan dan kemajuan anda dalam usaha anda itu. Setakat manakah kejayaan anda.

Langkah-langkah yang perlu anda lakukan adalah sebagaimana berikut:

  • Kenalpasti tabiat yang ingin dibina atau dibuang.
  • Tetapkan dan tentukan matlamat yang hendak dicapai.
  • Pertimbangankan motivasi yang ingin anda wujudkan. Ia merupakan penentu kejayaan atau kegagalan matlamat membina tabiat baru anda.
  • Senaraikan apakah faedah yang akan anda perolehi daripada tabiat baru ini dan bagaimana tabiat ini boleh mengubah gaya hidup anda.
  • Mulakan usaha anda itu secara sekala kecil dan berperingkat-peringkat agar anda akan dapat menjayakannya.
  • Kegairahan untuk berubah akan menjadi satu tekanan terhadap anda.
  • Kesabaran amat penting kerana proses pembinaan tabiat baru memakan masa yang agak lama dan panjang.
  • Wujudkan satu isyarat yang akan mengingatkan anda melakukan tabiat yang baru yang telah anda tetapkan.
  • Jadikan keadaan dan situasi harian sebagai aktiviti sokongan.
  • Ubahkan keadaan persekitaran kita kerana ia akan memudahkan kita untuk melaksanakan perubahan. Kenalpasti faktor-faktor penghalang dalam usaha kita untuk berubah.
  • Dapatkan sokongan orang lain yang rapat dengan kita sebagai pembantu yang akan memastikan usaha kita itu akan berjaya.
"The Golden Rule of Habit Change : You can't extinguish a bad habit but you can change it" dengan ertikata lain , anda tak mampu untuk menghapuskan sesuatu tabiat buruk, tapi anda boleh mengubahkannya menjadi sesuatu yang baik.

Bahan rujukan: How To Manage Your Habit, Mej(B) Mohammad Qayyum.

Rabu, 11 November 2020

Di Antara Yang Diimpikan dan Yang Nyata - Alam Rumahtangga

Kebahagiaan adalah iadaman semua orang. Kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai satu ahap kebahagiaan yang kita kehendaki. Malah kita sanggup melakukan apa saja asalkan kebahagiaan yang diingini tercapai. Adakalanya kebahagiaan itu untuk diri sendiri. Adakalanya ia adalah untuk pasangan hidup dan keluarga kita. Kebahagiaan hidup bersama pasangan kita merupakan satu impian semua pasangan. Ia merupakan satu nikmat dan hadiah yang sangat tinggi nilainya kepada setiap pasangan. Untuk memastikan kebahagian itu dicapai dan kekal berpanjangan serta bertambah puas adalah satu tugas yang amat sukar. Ia memerlukan banyak kesabaran dan pengorbanan. Hubungan kasih sayang merupakan aspek utama dalam membina kebahagian bersama. Hubungan kasih sayang antara pasangan amat memberi kesan kepada kebahagiaan hidup kita. Adakah kebahagiaan itu akan diprolehi hanya dengan kasih sayang. Bayangan indah yang pernah kita angankan dahulu tidak semestinya akan terjadi. Harapan untuk menikmati alam romantik bersama suami atau isteri amat besar sekali.Apakah harapan kita setelah mendirikan rumahtangga? Adakah kita pasti kita akan capai segala apa yang kita impikan? 

Bagaimanakah sepasang suami isteri dapat mewujudkan kebahagiaan bersama. Berbagai peristiwa, dugaan, cabaran dan ujian yang terpaksa dilalui demi untuk menjaga keharmonian rumahtangga. Perasaan cinta dan angan-angan merupakan dua perkara yang amat berbeza sekali. Kita kerap mempunyai angan-angan untuk hidup bahagia bersama pasangan kita. Kita berangan-angan untuk membina sebuah rumahtangga yang begitu sempurna dan penuh dengan kasih sayang. Kerapkali apa yang kita angan-angan kan tidak menjadi sesuatu yang benar. Malah perasaan was-was pula yang timbul. Berbagai persoalan kita mula tanya menjelang hari pernikahan kita. Hakikatnya, apabila kita mula hidup sebagai suami isteri ianya amat berbeza sekali. Sebelum bernikah pasangan tak pernah pun berbincang tentang hidup rumah tangga mereka kerana pada masa itu masing-masing sedang dilamun perasaan cinta. Pernahkah kita berbincang mengenai rumah yang akan diduduki, jenis perabot yang nak dibeli, peralatan dapur, perabot bilik tidur dan hiasan dalaman rumah? Tidak, kita hanya sibuk dilamun cinta. Setelah bersama barulah mula episod rumahtangga yang sebenar. Segala tabiat yang selama bercinta tak pernah pun kita nampak pada diri masing-masing akan mula kita lihat. Inilah masanya kita perlu mula mengenali segala kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri masing-masing. Perlunya ada tolak ansur dalam semua perkara agar satu persefahaman akan terjalin barulah rumahtangga akan bahagia dan hidup harmonis. 

Pada satu ketika akan timbul suasana di mana kita mula merasakan sseolah-olah rasa kasih dan sayang kita dah berkurangan. Alam perkahwinan ini terbahagi kepada tiga fasa. Fasa pertama adalah fasa di mana pasangan sentiasa merasakan amat bahagia dan penuh dengan kasih sayang. Segala-galanya manis dan manja. Segala apa yang dilakukan akan dilakukan bersama. Fasa kedua pula adalah apabila tibanya sikecil ke alam rumahtangga kita. Pada ketika itu rasa kasih sayang akan menjadi bertambah erat di antara suami isteri. Sepanjang masa membesarkan anak tumpuan kepada diri masing-masing mula berkurangan. Banyak masa akan diberikan kepada anak yang sedang membesar. Jika tiada tanggungjawab bersama dalam menjaga dan membesarkan anak maka akan timbul rasa tak puas hati di antara pasangan. Anak itu adalah amanah Allah kepada pasangan suami isteri, maka sudah semestinya tanggunjawab menjaga dan membesar semestinya dipikul bersama. Bukanlah ianya dibebankan kepada sang isteri seorangan. Kasih sayang seorang ibu kepada anaknya amat tebal sekali sehinggakan kadangkala kasih sayang terhadap suami telah diabaikan secara tak disedari. Pengorbanan dari kedua-dua pihak amat penting ketika ini. Untuk mewujudkan rumahtangga yang bahagia dan harmoni ia amat penting. Pasangan perlu korbankan masa, tenaga dan wang ringgit demi kebahagian keluarga. Dalam Fasa ketiga pula adalah apabila semua anak-anak telah dewasa dan mempunyai hidup sendiri. Kini sudah tiba masanya kita akan hidup kembali berdua sebagaimana semasa kita mula-mula mendirikan rumahtangga. Dalam usia yang meningkat dan dengan kesihatan yang berkurangan, hidup pasangan ini akan menjadi lebih erat dan mesra. Ke mana saja dan apa saja yang nak dibuat akan dibuat bersama. Demikianlah kitaran hidup berumahtangga. Andaikata tiada kesefahaman dan tolak ansur di dalam atau di antara fasa-fasa tersebut, akan berlakulah konflik dalam rumahtangga yang berkemungkinan membawa mudarat kepada hubungan suami isteri.

Kesimpulannya, pasangan suami isteri perlu terima apa yang tersedia ada pada pasangan masing-masing. Di sinilah sikap bertolak ansur dan mengubahsuai pendirian dan prinsip hidup masing-masing perlu diamalkan. Ada yang berpendapat bahawa pernikahan itu adalah satu perjudian. Saya pula berpendapat bahawa pernikahan itu adalah satu pelaburan. Kita perlu bijak membuat pelaburan agar mendapat keuntungan yang amat besar nilainya, iaitu kebahagian dan keharmonian rumahtangga. Kita akan sentiasa berada dalam alam romantik bersama pasangan kita. Suasana bahagia dan harmoni ini akan menjadikan kita orang yang sihat dan cergas.In Sya Allah.


Selasa, 3 November 2020

Gaya Hidup Sihat

 Gaya hidup sihat adalah cara hidup baru yang perlu dijadikan satu budaya dan gaya hidup di kalangan masyarakat umum. Ia merupakan satu daripada bahagian hidup yang akan meningkatkan kesihatan dan gaya hidup optimum bagi kita. Kita ingin hidup sepenuhnya dengan kesihatan yang terbaik. Dijauhi daripada sebarang penyakit yang akan menjadikan kita lemah dan tak bermaya. Untuk mencapai ini, kita memerlukan tahap motivasi yang tinggi, pengetahuan yang luas, tabiat serta gaya yang baik dan juga inspirasi. Sebarang penyakit atau ketidakupayaan tidak datang secara tiba-tiba. Ia mengambil masa yang lama dan panjang untuk berlakuApabila kita mula mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit, gaya hidup kita mula berubah ke arah yang lebih merunsingkan dan malap.

Ilmu dan pengetahuan mengenai penyakit dan cara ia terjadi amat penting sekali. Tanpanya, kita akan berada dalam keadaan tidak tentu arah dan kegelapan mengenai penyakit yang sedang kita alami. Berbagai persoalan akan mula berlegar di dalam kepala kita. Adakah ianya satu penyakit yang parah? Adakah kita akan dapat disembuhkan? Adakah kita akan menemui maut akibat dari penyakit ini? Persoalan-persoalan tersebut sudah tentu akan mengakibatkan kita menjadi murung dan ketakutan. Sebarang potensi untuk mengidap sebarang penyakit boleh dihadapi dengan tenang, baik dan bersemangat kuat. Carilah ilmu dan pengetahuan mengenai penyakit yang sedang kita hidapi melalui pembacaan, kaunseling dengan para doktor pakar, maupun perbualan bersama mereka yang telah berjaya sembuh dari penyakit tersebut. Ubahlah gaya hidup dengan amalan pemakanan yang baik dan sihat, kerap melakukan senaman dan tidur secukupnya. Kita mungkin merasakan bahawa gaya hidup dan amalan pemakanan kita masa kini sudah cukup untuk kita menikmati hidup yang sihat. Pada hal kita kerap mengalami kekurangan tidur, yang menjadi punca lemahnya sistem imunisasi kita. Akibatnya kita mudah terdedah kepada masalah penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Secara ringkasnya amalan dan gaya hidup sihat boleh kita amalkan dengan mengubah amalan pemakanan kita kepada amalan pemakanan yang sihat. Beberapa perkara yang berkait rapat dengan amalan hidup sihat adalah:

Senaman:

  • lakukan senamrobik seberapa kerap yang boleh untuk selama antara 30 min hingga 90 min.
  • kerap berjalan kaki, sekurang-kurangnya 1 jam sehari.
  • latihan berat ( weight training ) 2 hingga 3 kali seminggu.
  • pengurusan stress ( 15 min sehari )
  • minum air kosong sebanyak 8 gelas sehari ( teh dan jus buah-buahan juga boleh )
  • tidur selama 7 hingga 8 jam sehari.
Kesihatan Minda:
  • berangan atau berkhayal merupakan satu aktiviti untuk menggerakkan sel-sel otak supaya aktif.
  • persahabatan yang mesra dan rapat akan mententeramkan jiwa.
  • gelak ketawa akan menghilangkan stress.
  • aktiviti kerohanian yang berkaitan dengan agama.
  • melapangkan masa untuk aktiviti luaran.
Makanan :
  • buah-buahan sebanyak 3 hingga 5 sajian sehari
  • sayuran 5 hingga 7 sajian sehari. Lebihkan sayuran hijau berdaun.
  • bijirin penuh (wholemeal) 5 hingga 7 sajian sehari. (Roti Penuh Mil)
  • protin haiwan. 1 hingga 2 sajian sehari. protin sayur 1 hingga 3 sajian sehari (soya,tofu dan tempe)
  • lemak sihat 1 hingga 2 sajian sehari (kekacang, minyak zaitun ekstra virgin dan avocado).
Makanan Tambahan :
  • kebanyakan orang terutama sekali golongan warga emas, perlu mengambil supplemen, vitamin, zat galian dan minyak ikan.
Bahan Perisa :
  • guna hanya kunyit, bawang putih, bawang merah, bawang besar, daun rosemary, parsley dan oregano. Elakkan daripada mengguna bahan perisa tiruan.

Contoh amalan pemakanan yang sihat adalah:

  • Buah-buahan : - sekeping sederhana/secawan/3 biji kurma/prun.
  • Sayuran:- ½ cawan sayuran yang dimasak / 1 cawan sayuran mentah
  • Bijirin :- 1 keping roti penuh mil / ½ cawan pasta.
  • Daging / Ikan :- 3 oz daging tanpa lemak, 1 ekor ikan sederhana  saisnya.
  • Protin Sayur:- 1 biji telur / 23 oz tof atau tempe.
  • Tenusu:- ½ cawan keju kotej / 8 oz yogurt rendah lemak.
  • Lemak:- 1 sudu besar minyak zaiton organic.
Perlu diingat bahawa terdapat beberapa jenis makanan yang akan memberi kebaikan dan munafaat kepada tubuh kita. Malah ada yang mampu menghidarikan kita daripada dijangkiti penyakit tertentu. Pilihlah makanan yang terbaik untuk diri kita dan perlu diingat tentang bertapa pentingnya senaman, tidur yang mencukupi dan kawalan stress yang baik. Mudah-mudahan kita akan dapat hidup dengan sihat dan bahagian.

Bahan rujukan: Superfoods Health Style, Steven G.Pratt, M.D., Kathy Mathews.

Khamis, 22 Oktober 2020

BENARKAH KITA?

Tahukah kita bahawa.... kita mempunyai banyak kelemahan. Kelemahan-kelemahan ini tidak disedari oleh kita bahawa ianya adalah satu kelemahan sebab pada diri kita itu adalah kita. Kita kerap berfikiran bahawa kitalah yang benar dalam apa jua keadaan. Apa saja yang kita kata, adalah yang terbaik bagi kita juga pada orang lain. Apa yang kita lakukan adalah juga yang terbaik bagi kita juga bagi orang lain. Tapi adakah kita pernah merasakan apa yang kita katakan atau lakukan itu telah melukakan hati orang lain. Untuk mengakui bahawa kita telah tersilap adalah sesuatu yang amat sukar bagi kita. Mengapa demikian? Oleh kerana kita semua mempunyai prinsip hidup masing-masing maka kita akan berpegang teguh dengan prinsip-prinsip itu. Mungkin pada diri kita tuturkata seperti " Ketepi lah, orang nak lalu ni" adalah biasa, sedangkan tuturkata sedemikian telah menyinggung perasaan orang lain. Berkata seperti ini, "Maaf ye, Boleh saya tumpang lalu?" bukanlah cara kita kerana pada kita orang itu tidak sepatutnya berada di situ dan menghalang laluan orang ramai. Ia memang benar ianya sedemikian, tapi pada orang itu dia berhak nak berdiri di mana saja kerana dia juga seperti kita merasakan dirinya itu benar. Maka siapakah yang bersikap benar? Adakah kita atau dia? 

Kita tidak tahu siapa kita sebenarnya. Adalah sukar untuk kita mempercayai diri kita sendiri jika kita tidak boleh menerima siapa diri kita sebenarnya. Apabila sesiapa saja yang membuat teguran terhadap percakapan atau perbuatan kita, sudah tentu kita akan terasa diri kita dicabar. Kita tak dapat menerimanya dengan hati yang terbuka sebab kita rasa diri kita itu benar. Cuba kita senaraikan segala percakapan kita dan perbuatan kita dalam sehari dan segala teguran yang dibuat oleh orang lain mengenainya. Lihat dengan hati yang terbuka dan buat penilaian sendiri. Adakah segala teguran itu benar? Perasaan menolak akan wujud kerana kita tak boleh menerima hakikat bahawa kita sebenarnya salah atau tak benar. Letakkan diri kira diluar kotak diri kita. Lihat semua itu dari perspektif orang lain. Apakah yang kita dapat lihat? Jangan buat sebarang perbandingan di antara diri kita dengan orang lain kerana perbandingan itu akan membutakan kita dari melihat diri kita sebenarnya. Ia bukanlah sebuah kanta yang akan membantu kita untuk membuat penilaian.

Sesuatu nasihat yang kita terima akan kita takrifkan sebagai sesuatu yang baik berdasarkan nilai-nilai individu yang memberi kita nasihat. Kerapkali ianya akan bertentangan dengan nilai-nilai diri kita. Sudah tentulah agak sukar untuk kita menerima nasihat-nasihat tersebut. Kita tidak akan bertindak mengikut nasihat tersebut kerana ianya bukanlah cara kita bertindak atau ianya bukanlah masa yang sesuai untuk kita bertindak. Jadi siapakah yang benar? Dia ataupun Kita? Jangan sesekali kita membuat sesuatu keputusan hanya kerana ingin memuaskan hati orang lain. Malah buatlah jika ianya memberi kita inspirasi untuk maju dan menjadi bertambah baik. Rasa puas itu merupakan suatu nikmat yang amat besar ertinya dalam hidup kita. Minda yang berfokus adalah ramuan yang sebenar-benarnya yang akan membuat kita rasa selamat dan memberi hasil yang memuaskan. Ia memerlukan semangat dan kekuatan seekor singa untuk kita berada dilandasan yang sebenarnya mengenai diri kita. Mengakui bahawa inilah diri kita yang sebenarnya adalah sesuatu yang amat berat dan hebat serta amat sukar untuk kita lakukan. Berusahalah untuk menuju ke arah kebenaran diri kita. Siapa kita sebenarnya.

Rabu, 21 Oktober 2020

Membina Peribadi Yang Unggul

Tingkahlaku yang baik, berbudi bahasa yang halus dan sopan serta berkelakuan baik adalah ciri-ciri serta sifat peribadi yang unggul yang amat diharapkan oleh semua ibu bapa. Adap dan etika itu mencerminkan keperibadian seseorang. Melalui adap dan etikalah kita dinilai oleh masyarakat. Mengamalkan adap dan etika yang betul mampu memberi impak yang positif dan tanggapan yang baik kepada orang lain tentang diri kita.

Terdapat beberapa faktor yang akan mempengaruhi adap dan etika seseorang itu. Pengalaman masa lalu, kejayaan dan kegagalan, penghinaan dan pujian serta cara orang lain bertindak balas terhadap kita akan mempengaruhi adap dan etika kita. Tindakan dan emosi kita adalah selari dengan sahsiah diri kita. Kita akan bertindak mengikut fikiran dan perasaan kita. Kita adalah kita. Maka kita perlu bertindak dengan pemikiran positif dan cara kita berfikir perlulah secara waras. Kerapkali kita bertindak mengikut perasaan dan persepsi yang telah terbina di dalam minda kita. Perasaan dan persepsi inilah yang akan mempengaruhi cara kita berinteraksi, berkomunikasi, melayan dan bergaul dengan masyarakat. Allah SWT dalam Surah Al Mulk:23 telah berfirman bahawasanya Allah lah yang mewujudkan kita dan memberi kita pendengaran dan penglihatan serta hati, tetapi sedikit yang kita syukuri. Di dalam ayat lain seperti dari Surah Al Balad : 8-9 dan Ar Rahman : 1-4 Allah telah berfirman mengenai mata, lidah dan bibir manusia. Kita telah dipesan supaya menjaga percakapan dan perbuatan kita. Kita diperintah supaya berkata benar dan berfikir sebelum berkata-kata. Rasulullah saw juga telah mengingatkan kita bahawa mereka yang mengucapkan perkataan yang dimurkai Allah SWT akan dicampak ke dalam neraka selama 70 musim dan orang yang mengucapkan perkataan yang disukai Allah SWT, akan diangkat ke Syurga Illiyin. (Hadith Riwayat Tirmizi).

Mengubah imej diri adalah satu tugas yang amat berat. Bukanlah senang untuk membuang sesuatu kebiasaan yang telah sebati dengan diri kita. Imej diri kita terbentuk melalui pengaruh persekitaran keluarga, didikan oleh ayah dan ibu, budaya serta amalan hidup yang diamalkan oleh keluarga dan pengaruh pergaulan dengan rakan sebaya. Konflik imej diri dengan perkara luaran juga memainkan peranan dalam proses mengubah imej diri. Kita akan menghadapi kegagalan jika  sekiranya berlaku konflik imej diri dengan perubahan. Jika sekiranya sesuatu perubahan yang ingin kita lakukan itu berdepan dengan sesuatu konflik dengan imej diri kita maka ia akan menjadi sukar untuk kita melakukan perubahan kepada imej diri kita. Gambaran hidup juga akan mempengaruhi sebarang keputusan yang akan diambil dalam usaha kita untuk mengubah imej diri kita. Malah kejayaan dan kegagalan ada kaitan dengan gambaran diri sendiri. Jika gambaran kita itu berbentuk negatif maka hasil perubahan yang kita ingin lakukan akan menjadi negatif. Kualiti batin dan jiwa kita juga memain peranan dalam usaha untuk membentuk imej diri yang unggul. Dalam proses penyelesaian masalah gambaran metal digunakan bagi mencari jalan yang sesuai dan paling berkesan untuk menyelesaikan masalah berkenaan. Kita kerap menggambarkan apakah yang akan kita lakukan dan apakah hasil yang akan kita perolehi dari proses perubahan yang hendak kita lalui. Gambaran mental yang dihasilkan dengan pengaruh nafsu serta naluri dan keinginan akan mendatangkan kekeciwaan apabila berlaku konflik dengan imej kita. Keberhasilan yang diharapkan tidak sebagaimana yang diharapkan atau digambarkan akan mengundang kekeciwaan. Maka keterbasan diri kita perlulah kita terima dengan hati yang terbuka. Kita kerap terikat dengan keterbatasan dan kemampuan kita. Menerima semua ini akan membuat kita lebih bersedia dan yakin untuk melakukan perubahan yang kita kehendaki.

Rasulullah saw telah banyak menunjukkan kepada kita ciri-ciri keperibadian yang amat tinggi nilainya kepada kita. Tahap kesabaran yang amat tinggi yang ada pada junjungan kita adalah sesuatu yang amat sukar bagi kita yang kerdil ini untuk menjadikan ia sebagai salah satu sifat peribadi yang unggul. Tingkah laku yang lemah lembut bila berbicara, menjadikan baginda amat disegani oleh kawan dan lawan. Sifat-sifat menyimpan dendam dan imarah perlu dibuang jika kita ingin mengubah imej kita kepada sesuatu yang tinggi nilainya dalam masyarakat. Sifat pemaaf juga merupakan satu sifat yang amat sukar bagi kita untuk terap ke dalam imej kita. Selagi ada dendam selagi itu tidak akan ada pemaafan. Apa perlunya kita berdendam? Apa yang telah berlalu dan berlaku tidak akan boleh kita ubah atau padamkan dari hidup kita. Apa yang dah berlaku sudah pun berlaku. Ia kekal sebagai satu titik hitam di dalam hidup kita. Walau apapun kita buat ia tidak akan berubah menjadi titik putih. Maka belajarlah untuk melupakan segala kesalahan orang terhadap kita dan maafkanlah mereka kerana sifat pemaaf itu adalah sesuatu yang amat disukai All SWT. Sedangkan Allah lagi MAHA PENGAMPUN inikan pula kita hambaNYA. Sebesar-besar dosa, kecuali SYIRIK, akan Allah ampunkan dan sebanyak mana dosa kita seperti buih-buih yang ada di laut juga Allah ampunkan jika kita memohon kepadaNYA dengan penuh keikhlasan dan keinsafan. Kita diajar untuk membalas kejahatan dengan kebaikan. Maka laksanakanlah. Ia bukannya sesuatu yang semudah mana yang diperkatakan. Itulah cabaran hidup kita dalam usaha untuk menjadikan imej kita Unggul. In Sya Allah.

Jumaat, 9 Oktober 2020

Penyelenggaran. Mengapa Diabaikan?

Penyelenggaraan merupakan satu tugas dan aktiviti yang kerap dilupakan oleh kebanyakan orang atau organisasi. Cuba kita lihat disekeliling kita. Kita kan dapati banyak kerosakan pada kemudahan awam, bangunan, jalanraya dan banyak lagi. Kadangkala Pak Ngah tertanya mengapa ia dibiarkan begitu sahaja? Jika dah berlaku kemalangan akibat daripada kerosakan di sesuatu tempat barulah usaha untuk menyelenggara dan memperbaiki dilakukan oleh pihak berwajib. Mari kita lihat beberapa contoh di mana penyelenggaraan diabaikan sehinggakan ianya boleh membahayakan orang ramai.

Jalanraya : 

Jalan kerap didapati berlubang atau rosak dan dibiarkan tanpa diperbaiki. Ini akan membahayakan pengguna jalanraya. Pernah berlaku di sebuah bandar di Johor di mana seorang penunggang motosikal telah terjatuh akibat termasuk ke dalam sebuah lubang di atas jalanraya. Mangsa telah meninggal dunia ditempat kejadian akibat dari kecederaan dibahagian leher. Keesokan harinya lubang tersebut telah ditutup dan ditarkan dengan baiknya. Kos penyelenggaraan tersebut adalah satu nyawa. 

Garisan tepi dan tengah jalan telah pudar atau hilang langsung. Perkara ini nampak enteng dan kecil sahaja. Bagi pemandu kenderaan ia merupakan satu keperluan yang amat penting terutama sekali ketika memandu di waktu malam apatah lagi jika hari hujan. Garisan putih tepi jalan itu merupakan panduan bagi pemandu apabila berselisih dengan kenderaan dari arah bertentangan apabila pandangan diganggu oleh sinaran lampu kenderaan dari arah depan. Apabila garis berkenaan tidak lagi kelihatan kemungkinan pemandu kenderaan akan terbabas ke bahu jalan akibat dari gangguan pandangan. Ini akan mengakibatkan berlakunya kemalangan.

Sejak akhir-akhir ini banyak jalan telah dibina "bump" untuk mengelak kenderaan dipandu laju melalui jalan berkenaan. Ia adalah satu langkah yang baik tapi malangnya ada ketika "bump" berkenaan telah hilang jalur-jalur kuning atau putih di atasnya. Ini akan mengakibatkan pemandu tidak perasan tentang kewujudan "bump" itu. Kenderaan yang dipandu laju merentasi "bump" tersebut sudah tentu akan melambung dan terhentak. Ini amat membahayakan.

Papan tanda jalan kerap dilindungi oleh sama ada tumbuhan, pokok-pokok atau binaan papan iklan. Papan tanda yang menunjukkan had laju telah dilindungi oleh dahan-dahan pokok di sebelahnya. Tanpa disedari pemandu akan memandu pada had laju yang melebihi had yang dipamerkan pada papan tanda itu. Jika berlaku sesuatu akibat dari memandu melebihi had laju yang dibenarkan siapakah yang akan dipersalahkan? Terdapat juga papan tanda jalan yang dah pudar tulisannya ataupun terlalu kotor sehinggakan pengguna jalanraya tidak dapat membacanya terutama sekali pada waktu malam atau hujan lebat. Ini juga akan membahayakan pengguna.

Jika penyelenggaran dilakukan secara berkala ke atas semua perkara di atas sudah tentu para pengguna jalanraya akan dilindungi dari berlakunya kemalangan.

Bangunan Kerajaan:

Kerapkali kita dapat lihat beberapa kemudahan yang ada pada bangunan kerajaan tidak dibuat penyelenggaran secara berkala. Kerosakan kepada benda-benda kecil dan asas kerapkali terlepas pandang daripada pihak berwajib. Kerosakan kepada railing tangga yang dah berkarat atau dah reput didapati dibiarkan sahaja. Apabila berlaku kemalangan di mana pengguna tercedera tangannya akibat dari karat besi atau serpihan kayu pemegang tangga, barulah nak dibuat penyelenggaraan. 

Tandas awam pejabat kerapkali didapati ada beberap kerosakan kecil yang sepatutnya diperbaiki secara segera. Alat pam tandas yang rosak dibiarkan sahaja. Penyelak pintu tandas yang rosak dibiarkan sahaja. Kepala paip tandas yang rosak juga dibiarkan saja. Jika ada tindakan yang diambil pun ianya hanyalah sekadar menampal poster untuk memaklumkan bahawa itu dan ini rosak ataupun benda yang rosak itu dibalut dengan plastik untuk mengelak orang ramai menggunakannya. Paip air yang meleleh tanpa henti juga kerap kali didapati dibiarkan saja. Cuba bayangkan berapa banyakkah pembaziran air telah berlaku. Lampu di bilik tandas yang dah terbakar kerapkali juga dibiarkan. Maka bergelaplah tandas tersebut.

Kerusi tempat menuggu di kaunter perkhidmatan yang dah patah kakinya atau tempat letak tangannya diabaikan. Kadangkala kerusi itu berada dalam keadaan senget atau bergoyang apabila diduduki orang. Pengguna hanya sekadar dapat mengeluh dan mengggeleng kepada saja. Agaknya jika dah berlaku ada pengguna yang jatuh akibat kerusi rosak tu barulah nak dibuat pembaikan. Itupun kerana takut disaman oleh mangsa.

Berikut adalah beberapa contoh yang dapat Pak Ngah ketengahkan untuk penilaian para pembaca. Banyak lagi contoh yang boleh Pak Ngah berikan. Pak Ngah yakin para pembaca juga ada contoh-contoh yang boleh dikongsikan di sini. Alasan yang kerap Pak Ngah dengar apabila ditanya mengapa tak dibuat penyelenggaraan adalah " Tak ada peruntukan" Jika ini benar maka pihak kerajaan perlu mewujudkan satu peruntukan khas penyelenggaraan buat semua pejabat awam dan kemudahan awam supaya tiada lagi sebab mengapa keadaan segala kemudahan dan pejabat awam berada dalam keadaan terbiar.

Jumaat, 2 Oktober 2020

ANTARA BUDAYA KERJA DAN HASIL KERJA Bhg 2.

Dalam bahagian 1 kita telah melihat beberapa perkara yang berkaitan dengan budaya kerja masyarakat kita. Kini kita akan pula melihat bagaimana satu budaya kerja yang baik yang akan menghasilkan hasil kerja yang bermutu dan memberi kepuasan kepada pelanggan kita. Untuk mencapai tahap budaya kerja yang baik dan yang akan memuaskan semua orang bukanlah mudah. Ia bukan saja akan memuaskan pelanggan kita malah ia juga akan memuaskan hati pihak atasan kita. Ia juga akan menjadi organisasi kita satu organisasi yang dipuji, dihormati dan dipercayai. Perlakuan di dalam sesebuah organisasi itu akan menunjukkan budaya berkerja para ahlinya. Setiap organisasi mempunyai objektif dan matlamat masing-masing. Kita di suatu ketika dahulu dihidangkan dengan keperluan mewujudkan Misi, Objektif, Matlamat dan Piagam Pelanggan. Semua perkhidmatan kerajaan perlu mempunyai kesemua perkara tadi. Malah ada yang perlu dipamerkan kepada pelanggan agar pelanggan tahu misi, objektif, matlamat dan terpenting sekali 'Piagam Pelanggan'. Ia merupakan janji para penjawat di dalam organisasi berkenaan kepada pelanggan mereka. Mengapakah kita masih lagi mendengar rungutan dan aduan mengenai perkhidmatan yang diberi? Sudah tentulah ianya berkaitan dengan cara kerja atau 'Budaya Kerja'. Adalah didapati apa yang telah ditetapkan oleh dasar sesebuah organisasi itu tidak dihayati dan difahami dengan jelas dan sedalam-dalamnya oleh para penjawat di dalam organisasi berkenaan. Maka berlakulah cara kerja yang longgar serta lemah. Kerja dilaksanakan dengan sekadar ianya diselesaikan tanpa mementingkan mutu, tahap keberkesanannya dan kepuasan pelanggan. Di manakah kelemahan dan kepincangannya? Mari kita lihat beberapa contoh cara melaksanakan sesuatu kerja. Kita ada pilihan dalam melaksanakan kerja kita. Kita yang tentukan caranya, persembahannya, mutunya dan juga keberkesanannya serta hasil yang akan diperolehi.

Sebagai contoh, seorang tukang kebun dikehendaki menanam bunga dan pokok-pokok renek untuk mencantikkan lanskap tempat kerja beliau. Beliau boleh mengguna alat perkebunan dan mula menanam pokok-pokok berkenaan di mana-mana saja yang beliau rasa senang dan mudah. Ataupun beliau merancang dulu di mana nak tanam bunga-bunga dan pokok-pokok renek itu. Jika beliau mengambil mudah dengan cara kerjanya, ia akan jadi asalkan dah tanam dan siap sudahlah. Tiada langsung ciri-ciri susun atur yang menarik dan terbaik akan difikirkan. Pegawai yang bertanggungjawab pula tak ambil peduli langsung. Bagi beliau pula, yang penting kerja dah siap dan arahan dah dilaksanakan. Sudah tentulah hasilnya juga tidak menarik, kemas dan cantik. Setelah selesai kerja menanam bermula lah pula kerja-kerja penjagaan. Si tukang kebun akan mengeluarkan paip getah yang panjang dan akan menyiram pokok-pokok tersebut dengan memancutkan air secara rambang. Yang penting semuanya dah basah dan disiram. Setelah pokok-pokok berkenaan tumbuh membesar dan rumput serta tumbuhan semak di sekeliling pokok mula tumbuh dengan semak, ia tidak diambil peduli sehinggalah ada teguran atau arahan dari pegawai atasan barulah kerja-kerja pembersihan dilakukan. Itupun dilakukan secara ala kadar. Asalkan bersih dan tak nampak semak. Itulah dia cara kerja dan budaya kerja yang kerap diamalkan oleh kebanyakan pekerja. Mengapakah ia menjadi demikian rupa.  Sebagaimana yang telah Pak Ngah katakan ia ada kaitan dengan 'Hasil Kerja', 'Mutu Kerja' dan 'Penghayatan Tugas'. Maka hasilnya akan menjadi sedemikian rupa.

Apakah yang sepatutnya pekerja berkenaan buat untuk mendapatkan Hasil dan Mutu Kerja yang cemerlang? Terlebih dahulu beliau perlu menghayati tugas beliau itu dengan rasa penuh tanggungjawab. Apakah hasil yang hendak dicapai? Apakah mutu hasil yang nak dicapai? Adakah beliau rasa puas dan seronok dengan hasil kerja beliau? Beliau perlu rancang dahulu apakah jenis pokok yang nak ditanam, di manakah pokok itu hendak ditanam dan bagaimanakah susunaturnya? Lakarlarlah sedikit susunaturnya dan bincang bersama ketuanya mengenainya. Ketuanya pula perlu mengambil tahu dan perihatin dengan apa yang dipersembahkan. Bukannya tidak megambil endah atau peduli. Jika ketuanya bersama mengambil bahagian dalam tugas berkenaan, sudah tentu tukang kebun itu akan merasa bangga dan seronok. Setelah dipersetujui bersama barulah kerja-kerja menanam dimulakan mengikut susuatur yang telah diputuskan. Sudah tentunya hasil dan mutu kerjanya akan menjadi baik, kemas dan menarik. Malah mungkin akan mendapat pengiktirafan oleh pihak lain termasuk para pelanggan yang ke pejabat berkenaan. Apakah yang kita faham tentang apa yang telah Pak Ngah nyatakan di sini? Untuk mendapat yang terbaik, Budaya Kerja juga perlu terbaik. Penghayatan tugas menjadi kunci utama. Hasil dan Mutu yang terbaik menjadi matlamat utama. Mana mungkin sesuatu kerja yang dibuat sambil lewa serta sekadar 'melepaskan batok di tangga' akan membuahkan hasil yang cemerlang.

Berpeganglah kepada prinsip untuk menghasilkan yang terbaik, kemas, padu dan bermutu dalam melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan kepada kita. Barulah matlamat serta objektif organisasi akan tercapai secara cemerlang. Satu usaha untuk membugarkan dan meningkatkan budaya kerja perlu dilakukan di semua peringkat dalam Perkhidmatan Awam. Bermula dari peringkat Pengurusan hinggalah ke peringkat pelaksanaan 'Budaya Kerja' perlu diubah, diperbaiki dan dipertingkatkan. Bukan sekadar membuat pelancaran program atau projek untuk memperbaiki budaya kerja. Ia perlu dilaksanakan secara bersungguh-sungguh oleh semua jabatan dan kementerian. KPI sudah ditetapkan tapi apakah hasilnya? Adakah KPI itu sekadar dicapai saja. Bukankah sepatutnya KPI itu dikaji dan dipertingkatkan dari masa ke masa? KPI tak perlu diletak ke satu tahap yang sukar dicapai. Tetapkan dahulu secara berperingkat dari 'Mudah" dan beransur hingga menjadi 'Cemerlang'. Ramai yang rasa lega apabila KPI dicapai kerana pihak atasan akan rasa puas dan tidak akan dipersoalakn lagi. Tahun demi tahun KPI tu kekal begitu tanpa ada sebarang kajian keberkesananya. Tiada kajian untuk memperbaiki KPI tersebut agar dipertingkatkan ke tahap yang lebih baik dan bermutu. Para pejawat pula akan melaksanakan tugas dengan matlamat untuk mencapai KPI tanpa ada rasa tanggungjawab dan penghayatan. KPI dijadikan hanya sebagai satu perkara yang perlu dibuat begitu saja. Janji dah capai. Rasa puas hati ianya dah dicapai. Malah ada yang berasa lega ianya dah dicapai. Dimanakah penghayatannya? Ianya sama juga bila kita melaksanakan solat setiap waktu. Kerapkali kita laksanakan solat hanya sekadar melepaskan tanggungjawab agama. Tiada langsung penghayatan untuk mendapat keredoan Allah S.W.T. Solat itu tidak dijadikan satu tanggungjawab yang besar. Cara mengerjakan solat pun secara ala kadar saja. Pernahkah kita tanya pada diri kita "Adakah solat ku ini sempurna? Adakah ia diterima oleh Allah S.W.T.?" Rasanya tidak. Setelah selesai solat dan memberi salam kita bangun dan terus meninggalkan sejadah. Mungkin ada yang berzikir ringkas dan berdoa. Mungkin ada yang berwirid panjang dan berdoa sambil menitis air mata. Kita bagaimana ya? Sama-samalah kita tanya diri kita, "Bagaimana agaknya Budaya Kerja kita" Mudah-mudahan kita akan menjadi penjawat yang mempunyai tanggunjawab dan penghayatan kerja yang tinggi serta padu.

Khamis, 24 September 2020

TATASUSILA DAN KESOPANAN, KE MANA PERGINYA?

Sebagai rakyat Malaysia kita dikehendaki melafazkan ikrar "RUKUN NEGARA". Setiap tahun apabila kita menyambut Hari Kebangsaan kita akan dapat mendengar lafaz ikrar tersebut dilafazkan semasa sambutan perayaan tersebut. Dataran Merdeka, Kuala Lumpur akan penuh sesak dengan orang ramai yang datang untuk menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan negara kita. Di sana lah berlakunya lafaz ikrar Rukun Negara oleh sekumpulan rakyat yang mewakili berbagai kaum dan peringkat. Malah majlis yang sama juga akan berlangsung  di setiap ibu negeri di seluruh negara. Apakah kesannya kepada rakyat jelata? Malah apa yang dapat kita lihat ianya hanyalah sebagai satu acara tahunan yang akan dihadiri dan dismabut beramai-ramai tanpa ada sebarang penghayatan kepada lafaz ikrar tersebut. Lima prinsip Rukun Negara itu adalah :

1. KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN

2. KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA

3. KELUHURAN PERLEMBAGAAN

4. KEDAULATAN UNDANG-UNDANG

5. KESOPANAN DAN KESUSILAAN

Cuba kita hayati lafaz tersebut: "MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:"

Lafaz tersebut menyatakan bahawa kita akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kita untuk mencapai cita-cita yang tercatat di dalam Rukun Negara. Sejauh manakah kita telah dan sedang melaksanakan kata-kata tersebut. Adakah kita telah menumpukan seluruh tenaga kita untuk mendukung dan mengamalkan kelima-lima prinsip tersebut?

Saya ingin berbicara sedikit mengenai prinsip kelima iaitu "KESOPANAN DAN KESUSILAAN". Prinsip ini berkait rapat dalam pembentukan bangsa. Kesopanan dan kesusilaan merupakan amalan yang perlu diamalkan oleh semua rakyat Malaysia. Sejak akhir-akhir ini, saya dapati prinsip ini telah dilupakan dan diabaikan oleh kebanyakan rakyat kita sehingga setiap hari kita dapat lihat, baca dan dengar tentang perlakuan yang melanggar tatasusila dan kesopanan. Peristiwa kebiadapan dalam ucapan, tuturkata dan tingkahlaku kerap berlaku seharian di mana sahaja. Media sosial dipenuhi dengan catatan-catatan yang berbentuk penghinaan, maki hamun serta bahasa-bahasa kesat. Para netizen dilihat sudah hilang tatacara berkomunikasi dengan sopan dan santun.

Saya ingin berkongsi beberapa peristiwa kebiadapan yang pernah saya alami sendiri. Peristiwa ini berlaku di kaunter bayaran di sebuah pasaraya. Saya telah memasuki kaunter ekspress kerana barangan yang dibeli hanya sedikit. Apabila saya mengeluarkan Kad Debit saya untuk membuat bayaran, juruwang tersebut telah berkata dengan nada yang agak kuat, "En, di sini kita tak terima bayaran melalui kad. Kita hanya terima tunai. Sana ada tulis (sambil menujuk ke arah notis di hadapan kaunter). Tarak baca ka!" sambil menunjuk muka masam. Saya mula meninggikan suara saya sambil menegur cara juruwang tersebut membuat teguran dengan menggunakan bahasa yang kurang sopan. Apatah lagi saya ni seorang yang lebih dewasa daripadanya. Penyelia yang berada berhampiran meminta juruwang tersebut meminta maaf kepada saya. Saya menjawab, "Saya tak perlu dia meminta maaf kepada saya. Dia biadap dan bersikap kasar terhadap pelanggan. Di mana budi bahasa dia semasa berkomunikasi dengan pelanggan? Tak bolehkah dia bertutur dengan lebih lebut dan sopan? Bukankah lebih baik jika dia cakap 'Maaf ye En. Di sini kami hanya menerima bayaran secara tunai. Kami dah paparkan notis di hadapan kaunter untuk makluman semua pelangan' dengan nada yang lembut dan sopan. Para pelanggan pun akan dapat menerimanya dengan baik. Malah saya akan meminta maaf kerana kecuaian saya tidak membaca notis yang dipaparkan.

Peristiwa kedua pula saya alami semasa saya nak memasuki sebuah pejabat. Ketika itu datang seseorang (rasanya salah seorang petugas di situ) memanggil saya dengan nada suara yang agak kuat."Hey! Hey! En nak ke mana tu!

"Nak ke dalam pejabat lah" jawab saya dengan agak sinis kerana kesal dengan cara beliau.

"Ha, scan dulu kat sini" kata beliau.

Bukankah lebih baik jika beliau bertutur begini, "Maaf ye En. En nak ke mana? (dengan sopan dan santun) Harap En dapat buat scanning dulu kat sini ye."

Percakapan dan gaya bahasa kita akan menunjukkan sifat kepribadian kita. Cara kita berkomunikasi dengan orang amat penting sekali dalam menjalankan tugas kita seharian. Jika kasar gayanya maka kasarlah rupa keperibadian kita. Sikap berlemah lembut serta bertutur secara sopan dan santun akan menampilkan diri kita sebagai seorang yang berbudi bahasa yang tinggi. Terhakisnya kesopanan dan kesusilaan di kalangan masyarakat kita berpunca dari mana agaknya? Ada pendapat menyalahkan media sosial. Ada juga yang menyalahkan sistem pendidikan negara. Pada pendapat saya media sosial memainkan peranan yang amat besar dalam pembentukan budaya bangsa. Jika apa yang dipaparkan dan dicetak adalah perkara yang baik ataupun buruk, ia akan menjadi ikutan para pengamalnya. Jadi pihak media perlu memperbaiki mutu persembahan, percetakan dan perbualan mereka. Juruhebah radio yang kerap mengguna bahasa-bahasa rojak akan mempengaruhi para pendengar dengan gaya bahasa mereka. Memang benar untuk menjadikan sesuatu rancangan itu menarik perlu ada sedikit kelonggaran tetapi janganlah sampai ia melampaui batas sehingga sepanjang siaran berlangsung tak ada ruang pun tutur bahasa yang baik dan sopan.

Berbicara dengan sopan di dalam media sosial sudah agak lenyap. Segala posting yang dimuat naik tidak lepas daripada penggunaan bahasa yang tidak sesuai. Malah kerap bahasa yang kesat serta tidak sopan digunakan. Malah jika kita lihat siaran langsung Sidang Parlimen, ada saja bahasa-bahasa yang tidak sopan digunakan. Adakalanya tingkah laku yang biadap juga dapat kita lihat. Siaran langsung ini dilihat oleh segenap lapisan rakyat. Adakah gaya bahasa dan tingkahlaku sedemikian yang nak kita tunjukkan kepada rakyat. Adakah itu yang kita nak rakyat kita iktu dan amal? Sebagai mantan pendidik, saya selalu tertanya-tanya adakah kami para pendidik telah gagal dalam mendidik anak-anak kita menjadi rakyat yang berbudi bahasa tinggi? Malah Falsafah pendidkan Kebangsaan telah dengan jelasnya menggariskan keperluan memberi penekanan kepada perkembangan Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek secara seimbang di kalangan anak-anak didik kami. Samalah kita fikirkan dan berusaha menjaga anak-anak kita agar mereka membesar dalam suasana yang harmonis, sopan dan berbudi bahasa tinggi. Hayatilah prinsip KESOPAN DAN KESUSILAAN dalam Rukun Negara kita, agar kita semua akan menjadi rakyat yang mempunyai sifat-sifat terpuji.

Jumaat, 17 Julai 2020

Antara Budaya Kerja dan Hasil Kerja Bhg. 1

Kali ini saya ingin berbicara sedikit mengenai budaya kerja dan hasil kerja. Budaya Kerja berkait rapat dengan Hasil Kerja. Budaya Kerja yang bagaimanakah yang akan menghasilkan Hasil Kerja yang bermutu dan baik. Jika kita lihat budaya kerja yang diamalkan oleh pekerja-pekerja swasta serta mereka yang bekerja sebagai penjawat awam, terdapat banyak perbezaan. Bagi pihak swasta terutama sekali dalam bidang pengeluaran dan pembikinan,  mereka memberi penekanan kepada kualiti hasil dan produk yang dihasilkan. Bagi mereka kerjayaan syarikat bergantung kepada kualiti barangan yang dihasilkan. Bagi mereka yang bertugas dalam bidang perkhidmatan pula akan menumpukan kepada perkhidmatan yang cekap, pantas dan memberi kepuasan pelanggan. Kegagalan untuk memberi yang terbaik akan mengakibatkan syarikat kehilangan kontrak bekalan ataupun perkhidmatan. Faktor-faktor tersebut merupakan satu tekanan ke atas para pekerja swasta. Bagaimanakah pihak swasta memberi ransangan kepada para pekerja mereka supaya memberi khidmat yang terbaik. Salah satu cara adalah memberi imbuhan dalam bentuk kewangan, kenaikan pangkat dan hadiah berbentuk pakej percutian. Ini banyak diamalkan oleh syarikat-syarikat dari Korea atau Jepun. Mereka meransang pekerja suapaya sayangkan dan bangga dengan syarikat. Pandangan dan pendapat para pekerja dalam usaha untuk memajukan lagi syarikat diberi perhatian oleh pihak atasan. Perkara yang berkaitan dengan sektor produksi sudah tentu akan lebih difahami oleh para pekerja yang terlibat secara terus dalam kerja-kerja produksi. Inovasi yang dikemukakan oleh para pekerja sudah tentulah yang melibatkan proses kerja yang akan dipermudahkan dan dipercepatkan serta menjimatkan masa. Ini akan menjimatkan kos operasi syarikat. Pekerja yang cadangannya digunapakai oleh syarikat akan diberi penghargaan dan ganjaran.

Apa pula keadaannya dalam sektor perkhidmatan awam? Kita kerap dapat mendengar rungutan dan aduan daripada orang awam mengenai perkhidmatan sektor awam. Apakah bezanya budaya kerja pihak perkhidmatan awam dengan pihak swasta? Antara rungutan yang kerap kita dengar adalah dari segi layanan, masa menunggu, tahap perkhidmatan, sikap pegawai semasa berurusan dengan orang awam serta tuturkata dan cara berbicara. Apakah kelamahan yang ada sehinggakan sektor awam sentiasa dikritik dan dicemuh oleh orang ramai. Aduan dan rungutan yang kerap diutarakan adalah berkaitan dengan para petugas di kaunter jabatan. Layanan yang diberi semasa berurusan di kaunter, tuturkata serta bahasa yang digunakan dan bersikap sombong. Ada petugas yang langsung tak pandang muka pelanggan mereka semasa bercakap dengan pelanggan. Cara mengutarakan pertanyaan juga agak keras seolah-olah pelanggan sedang disoal siasat seperti OKT. Sebagai contoh, "Ni salah ni! Kenapa tak isi borang ni dengan betul?" bukan kah lebih mesra jika disebut " Maaf ye En. Bahagian ini perlu diperbetulkan. Yang ini sepatutnya diisi begini." Kerap kali terdapat arahan untuk mengisi borang pun tidak jelas dan kadangkala bercanggah. Arahan untuk mengisi sesuatu bahagian kadangkala diberi pilihan "atau". Tapi pihak pegawai pula bertegas nak satu saja pilihan tersebut. Bukan kah lebih baik jika pilihan itu dihapuskan dan terus minta yang satu itu sahaja. Adakalanya pelanggan dah menunggu hampir satu jam sebelum nombor giliran dipanggil. Apabila berada dikaunter, setelah disemak borang permohonan secara lalu dan didapati ada yang tak lengkap, maka kata-kata yang dikeluarkan adalah agak kasar. Jika pelanggan bernasib baik mendapat pegawai yang berbudi bahasa tak lah terasa marah dan kesal.

Contoh di atas adalah salah satu senario yang kerap berlaku di jabatan kerajaan. Rasanya semua penjawat awam perlu melalui kursus cara memberi layanan di kaunter. Tidak dinafikan memang ada para pelanggan yang cerewet, berlagak dan kasar bila berbicara. Walau bagaimanapun kita yang berhidmat dikaunter perlu banyak sabar, lembut tuturkata serta berbudi bahasa yang tinggi. Kekerasan perlu dihadapi dengan kelembutan dan tuturkata yang baik serta sopan. Perbezaan cara layanan di antara pihak swasta dan sekotor awam amat ketara sekali. Budaya kerja pihak swasta perlu dicontohi dan diamalkan oleh para pegawai perkhidmatan awam. Jika kita inginkan sektor perkhidmatan awam kita dipuji dan dihormati masyarakat, maka kita perlu ubah budaya kerja kita. Pengurusan masa juga amat lemah di kalangan segelintir penjawat awam. Masa bertugas bermula jam 8 pagi, tapi digunakan untuk sarapan pagi. Jam 9 pagi baru nak masuk pejabat. Malah mengikut Arahan Perkhidmatan perkara yang berkaitan dengan mutu perkhidmatan tak sepatutnya berlaku jika ianya dipatuhi. Di mana silapnya? Kawalan dan pemantauan serta tindakan oleh pihak pengurusan adalah lemah. Pada saya jika semua pihak bekerja mengikut peraturan dan arahan, mutu perkhidmatan akan menjadi baik. Setiap pegawai perlu mempunyai kemahiran dalam urus tadbir, perancangan, pengurusan masa dan pengurusan krisis atau penyelesaian masalah. Bak kata perpatah Cina, " Jin Ri Shi, Jin Ri Bi " yang bermaksud "Kerja hari ini perlu disiap hari ini" Orang tua kita juga pernah berkata "Kerja bertangguh tak menjadi" Ingin melaksanakan berbagai tugas dalam satu masa juga akan mengakibatkan hasil kerja yang tak bermutu atau juga mungkin kegagalan. "Rome was not build in one day".Banyak berbicara tanpa bergerak melaksanakan tugas tidak akan memberi sebarang hasil. Akhir sekali, carilah kenikmatan di dalam kerja yang kita lakukan. Cintailah tugas dan tanggungjawab kita jika kita nak rasa gembira dan puas dengan pekerjaan kita.


Jumaat, 15 Mei 2020

Pendidikan Negara. Ke Mana Nak Dituju? Bhg. 4

Setelah melihat dan meneliti masalah-masalah yang dihadapi oelah beberapa buah negara Asia dalam pendidikan negara masing-masing, kita dapat merumuskan beberapa persamaan dan perbezaan. Cuba kita lihat apakah persamaan itu?

Persamaan:
  1. Tujuan utama pendidikan adalah untuk menyediakan para pelajar untuk memenuhi keperluan industri dan perdagangan tanpa mementingkan daya fikir kreatif dan inovassi dalam melaksanakan tugas. Tugas dilaksanakan melalui arahan yang diberi serta mematuhinya tanpa berfikir secara kreatif dan inovatif. Pihak industri kerap meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap graduan yang tak mampu untuk melkaukan tugas-tugas yang melibatkan penyelesian masalah (Problem Solving)
  2. Corak pembelajaran adalah secara menghafal (rote learning). Kecemerlangan gred dalam peperiksaan adalah matlamat utama untuk mendapat penarafan yang baik oleh OECD.
  3. Tiada ruang untuk para pelajar mengembangkan kemahuan dan naluri ingin tahu mereka. Guru tidak membantu mereka untuk mengembangkan dan meneroka kemahuan dan naluri ingin tahu pelajar.
  4. Perbezaan dalam tahap penerimaan pembelajaran dan pengajaran memungkinkan pelajar yang lemah ketinggalan dalam pelajaran mereka dan pelajar yang cerdas akan merasa bosan. Pengajaran kerapkali dilakukan dalam bentuk sehala, iaitu guru bersyarah dan pelajar menerima tanpa sebarang interaksi selain daripada sesi soal jawab.
  5. Pembahagian peruntukan kewangan oleh kerajaan adalah tidak menyeluruh dan adil. Kerapkali sekolah-sekolah di luar bandar tidak mendapat peruntukan yang mencukupi berbanding dengan sekolah-sekolah di bandar.
  6. Agihan guru terlatih dan berkualiti juga adalah salah satu kekurangan yang dihadapi di sekolah-sekolah luar bandar. bagi sekolah-sekolah bandar pula, sekolah-sekolah yang berprestai tinggi dalam akademik akan mendapat layanan yang lebih.
  7. Ketidakyakinan ibu bapa kepada sistem pendidikan negara telah mengakibatkan tumbuh dengan banyaknya sekolah-sekolah swasta.
  8. Budaya kelas tution juga telah menular dengan pesatnya atas permintaan ibu bapa yang ingin melihat anak mereka cemerlang dengan mendapat gred A dalam setiap peperiksaan yang diambil.
  9. Tekanan daripada masyarakat terutama sekali dari ibu bapa telah mengakibatkan guru-guru dan sekolah berlumba-lumba untuk menghasilkan pelajar yang mendapat gred A seramai mungkin.
  10. Tahap stress adalah tinggi di kalangan guru malah juga dikalangan pelajar. Terdapat kes-kes masalah tekanan jiwa dikesan di kalangan guru malah terdapat juga kes di mana pelajar bertindak membunuh diri kerana gagal untuk cemerlang dalam peperiksaan.
  11. Kelas terlalu sesak dengan seramai 30 hingga 40 orang di dalam satu kelas. Ini mengakibatkan P&P tidak dapat dilaksanakan secara berkesan.
  12. Sistem 'streaming' iaitu pengasingan pelajar mengikut gred pencapaian telah mewujudkan budaya bermegah dan rendah diri di kalangan pelajar serta guru.
  13. Terlalu banyak peperiksaan setara dilaksanakan sepanjang proses persekolahan pelajar bermula dari Tahun 1 hinggalah ke Tingkatan 4. Keputusan peperiksaan ini telah digunakan untuk menentukan taraf pelajar dalam pendidikan. Tiada satu program atau perancangan untuk membantu pelajar yang lemah secara khusus di setiap kelas. 
  14. Kepantasan internet tidak pantas dan kemudahan ICT amat berkurangan terutama sekali bagi sekolah-sekolah di luar bandar.
  15.  Beban kerja pelaporan (report writing paperwork) di kalangan guru amat banyak sehinggakan masa untuk memberi tumpuan yang banyak untuk P&P telah tergendala. Akibatnya data yang dikumpul melalui pelaporan berkenaan adalah tidak sahih dan tepat. Proses P&P para guru juga menjadi lemah dan kurang bermutu.
Kelemahan-kelemahan ini adalah apa yang telah diperolehi melalui bacaan daripada sumber-sumber rencana dan artikel di internet. Dalam penulisan yang akan datang kita akan lihat pula apakah kebaikan yang dilakukan oleh negara-negara berkenaan.

https://borgenproject.org/facts-about-education-in-thailand/
https://www.scmp.com/lifestyle/families/article/2111822/downsides-singapores-education-system-streaming-stress-and
 https://www.worldbank.org/en/country/indonesia/brief/improving-teaching-and-learning-in-indonesia
https://www.lowyinstitute.org/publications/beyond-access-making-indonesia-s-education-system-work
https://www.slideshare.net/jheallyorlanda/current-issues-on-philippine-education
https://theaseanpost.com/article/philippines-needs-improve-its-education-system

Rabu, 13 Mei 2020

Pendidikan Negara. Ke Mana Nak Dituju? Bhg 3

Dalam bahagian 3 ini kita akan lihat pula masalah pendidikan yang dialami oleh Filipina dan Indonesia.

Filipina: mengamalkan sistem pendidikan sebanyak 13 tahun. Iaitu Tadika, Pendidikan Rendah (6 Tahun), Menengah Rendah ( 4 tahun ) dan Menengah Atas ( 2 Tahun ).

  1.  Pengeluaran Siswa K12 yang dilancarkan pada tahun 2012 iaitu seramai 1.2 juta tidak dapat menenbusi pasaran kerja. Sebab utama yang dinyatakan adalah graduan mereka tidak menguasai kemahiran pemikiran kritikal dan inovasi.
  2. Pada 2017 Indeks Kompetitif Gobal bagi pendidikan rendah adalah ke 66 daripada 137 negara, 74 bagi pendidikan tinggi dan 113 daripada 127 negara dalam PISA.
  3. Bidang yang perlu dipertingkatkan adalah; gaji Guru, Rasuah di Jabatan Pendidikan, P&P melalui sistem menghafal kepada pengajaran secara reflektif iaitu dengan membenarkan pelajar bersoal-jawab secara interaktif, meneroka peluang dan senario serta berbahas secara berfokus.
  4. Kekurangan bilik darjah di mana bilangan pelajar yang terlalu ramai dalam sesuatu kelas. Kepantasan internet juga merupakan masalah yang amat penting dan perlu dipertingkatkan.
  5. Tuntutan masyarakat dan budaya yang menjadi amalan masa kini menjadi halangan untuk mewujudkan pelajar yang lebih kritis serta mampu menyeselaikan masalah. Pelajar juga perlu mampu menyesuaikan diri dengan menerima perubahan yang pesat masa kini serta kemahiran belajar yang akan digunakan dalam kehidupan harian.
  6. Sebanyak 99% sekolah di bawah Kementerian Pendidikan masih belum menerima pakej ICT yang dibekalkan oleh kerajaan.
  7. Kelewatan menyiapkan bangunan baru sekolah, Sebanyak 30% daripada bilik darjah yang masih belum dibina.
  8. Kehilangan bahan pendidikan dan bantu mengajar bernilai sebanyak P25.21 juta akibat daripada kelemahan dalam sektor pembekalan dan pengstoran. Gudang simpanan yang lusuh dan buruk telah mengakibatkan kerosakan alat-alat tersebut akibat daripada hujan atau banjir.
  9. Mengurangkan beban kerja pelaporan oleh para guru serta pertindihan data tanpa mengorbankan pelaporan.
  10.  Menangani masalah tekanan jiwa dan bunuh diri di kalangan guru.
  11. Kekuranagn kauselor terlatih yang ditempatkan di sekolah-sekolah.
Indonesia:
  1. 42% daripada pelajar Indonesai gagal mencapai tahap penguasaan minma yang ditetapkan oleh OECD dalam ilmu matematik, sains dan bacaan pada tahun 2015.
  2.  Indonesia telah berjaya memastikan semua rakyatnya mendapat pendidikan tetapi kualiti pendidikan adalah rendah dari segi mutu pengajaran oleh guru-guru dan tahap ketidakhadiran guru-guru adalah tinggi.
  3. Masalah utama adalah kekurangan mendapat akses kepada bahan yang berkualiti serta tenaga pengajar yang tidak bermutu. Kekurangan tenaga pengajar sacara umumnya berlaku di kawasan luar bandar.
  4. Bantuan Operasi Sekolah dan Program Indonesia Pintar adalah dua langkah untuk memperkasakan pendidikan di Indonesia.
  5. Tahap penguasaan kemahiran matematik, sains dan bahasa masih rendah mengikut taksiran OECD.
  6. Persekitaran pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah perlu dipertingkatkan kualitinya.
  7. Tahap kompetensi guru perlu dipertingkakan. Proses pengajaran dan pembelajaran juga amat perlu dipertingkatkan.
  8. Program-program pembangunan tahap pendidikan yang dibantu oleh Bank Dunia telah dilaksanakan sejak 2016 seperti ID-Teman, Kiat Guru dan PUAD generasi cerdas desa.
  9. Perlu berlaku peningkatan dalam lantikan dan latihan guru serta pengagihan mereka ke semua kawasan bandar dan luar bandar secara adil.
Bahan rujukan:
 https://www.worldbank.org/en/country/indonesia/brief/improving-teaching-and-learning-in-indonesia
https://www.lowyinstitute.org/publications/beyond-access-making-indonesia-s-education-system-work
https://www.slideshare.net/jheallyorlanda/current-issues-on-philippine-education
https://theaseanpost.com/article/philippines-needs-improve-its-education-system

Isnin, 11 Mei 2020

Pendidikan Negara. Ke Mana Nak Dituju? Bhg. 2

Di sini saya ingin membandingkan beberapa sistem pendidikan dari beberapa buah negara di seluruh dunia. Mungkin dari sini kita akan dapat beberapa isu yang mungkin ada kaitan dengan isu di negara kita. Kelemahan dan kegagalan yang dapat kita lihat boleh kita gunakan sebagai panduan dalam proses kita untuk memperbaiki sistem yang sedang kita amalkan sekarang.

Mari kita lihat dahulu masalah-masalah yang sedang dialami oleh negara-negara jiran kita seperti Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina.

Thailand:
  1. Kadar literasi adalah pada kadar 96.7%, tetapi mereka gagal untuk mempertingkatkan pencapaian dalam Ujian PISA. Thailand berada pada kedudukan 35 daripada 40 buah negara yang terlibat pada tahun 2014.
  2. Pada tahun 2015 kerajaan Thai telah memperuntukkan sebanyak 19.35% daripada Belanjawan Negara untuk pendidikan, tetapi masih gagal untuk melihat penambaikan secara kumulatif.
  3. Pembahagian peruntukan tidak dilaksanakan secara adil. Sekolah-sekolah yang mempunyai pelajar-pelajar yang berpotensi untuk berjaya diberi peruntukan lebih berbanding sekolah-sekolah kecil dan luar bandar.
  4. Kesan daripada ini, pelajar-pelajar di bandar lebih maju berbanding dengan mereka di luar bandar. Agihan guru-guru juga didapati tidak seimbang di antara sekolah-sekolah bandar dan luar bandar.
  5. Kurikulum yang digunakan adalah kurikulum yang telah digunapakai sejak 2001 dan telah diubahsuai pada 2008. Kurikulum ini berasakan industri dan kemahiran yang lama serta ketinggalan zaman. Ini akan mewujudkan satu generasi penganggur jika ia tidak digubal semula untuk disesuaikan dengan pembangunan pesat industri dan teknologi.
  6. Ketidakyakinan ibu bapa terutama sekali di kalangan mereka yang berada terhadap sistem pendidikan negara telah mewujudkan banyak sekolah swasta. 
Singapura:
  1. Negara ini memfokuskan sistem pendidikan mereka ke arah kecemerlangan dalam peperiksaan. Corak pembelajaran menghafal atau (rote learning) serta tekanan untuk berjaya telah memberi kesan ke atas kemahiran sosial, kesihatan dan kebahagian menyeluruh kepada para pelajar.
  2. Sistem pendidikan Singapura telah berjaya menghasilkan pelajar-pelajar yang mencapai kecemerlangan dalam ujian setara PISA dengan memperolehi kedudukan teratas. Malangnya pencapaian ini tidak menghasilkan rakyat yang mempunyai pemkiran kritikal malah hanya mewujudkan mereka yang hanya mampu menghafal dan membuat sesuatu mengikut hafalan mereka.
  3. Tahap stress amat tinggi sekali dikalangan pelajar kerana tekanan untuk cemerlang dalam pendidikan. Pembangunan sikap dan sosial tidak diberi keutamaan.Kadar berlakunya bunuh diri dikalangan pelajar amat ketara sekali. Pada 2017 seramai 27 kes bunuh diri telah dicatat di kalangan pelajar yang berumur antara 10 hingga 19 tahun. Pada bulan Mei 2015 seorang pelajar berumur 11 tahun telah terjun dari tingkat 17 sebuah flat kerana takut untuk menunjukkan keputusan peperiksaan satu subjek yang beliau gagal buat pertama kali. Tekanan ini datangnya dari kalangan ibu bapa yang tak mahu melihat anak-anak mencapai keputusan di bawah 90% dalam setiap subjek.
  4.  Budaya kelas tution melular dengan begitu pesat sekali sehinggakan ada ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke kelas tution berlainan guru sebanyak 11 kali seminggu untuk satu subjek.
  5. Kelemahan kemahiran moto dan berinteraksi secara baik sesama rakan sebaya amat ketara sekali. Ramai di antara pelajar tidak tahu bagaimana untuk mengatasi percanggahan pendapat secara baik, malah mereka hanya tahu bertengkar dan menjerit.
  6. Kelas yang sesak dan padat dengan seramai 30 - 40 pelajar adalah satu masalah utama. Pengasingan pelajar mengikut pencapaian ujian juga merupakan satu lagi masalah besar. Para pelajar diasingkan mengikut kategori Istimewa ( laluan pantas ke Universiti), Ekspres ( laluan terus ke Universiti atau Kolej ), Akademik Umum ( ke arah Politeknik ) dan Teknikal Umum ( ke arah kelayakan Pendidikan Tenikal ).
  7. Pelajar sekolah rendah perlu menduduki 2 peperiksaan. Pertama pada tahun 4 peperiksaan ini akan menentukan kursus yang akan diambil dalam bahasa Inggeris, Matematik, bahasa Ibunda dan Sains. Peperiksaan kedua pula diambil ketika di tahun 6 untuk menentukan aliran yang akan diikuti di sekolah menengah.
  8. Sistem ini telah mewujudkan masyarakat yang hanya mampu membuat sesuatu melalui hafalan dan gagal untuk melaksanakan sesuatu tugas yang memerlukan inovasi, kreativiti dan penyelesaian masalah.
Setakat ini dahulu dan akan disambung kelak dengan mengutarakan beberapa buah negara lagi. In Sya Allah.

Sumber rujukan:
 https://borgenproject.org/facts-about-education-in-thailand/
https://www.scmp.com/lifestyle/families/article/2111822/downsides-singapores-education-system-streaming-stress-and

Khamis, 7 Mei 2020

Pendidkan Negara. Ke Mana Nak Dituju? Bhg 1


Ingin saya kongsi pandangan saya sebagai bekas guru yang dah bersara mengenai isu persekolahan anak-anak seluruh negara. Ramai yang memikirkan norma biasa iaitu ke sekolah, masuk kelas guru mengajar kemudian menduduki peperiksaan. Itu semua perkara biasa yang telah kita semua lalui sejak kecil hingga lah dewasa. Maka masing-masing pening memikirkan, apa nak jadi dengan anak-anak kita yang tak bersekolah ni? Sejak perlaksanaan PKP, dah hampir 2 bulan anak-anak tidak ke sekolah. Ibu bapa ada yang risau tentang pelajaran anak-anak mereka. Ada juga yang risau dan marah melihat anak-anak terpaksa buat kerja sekolah yang diberi oleh guru melalui media elektronik. Ramai juga yang memikirkan tentang para guru yang rehat aje kat rumah tak buat apa. Gaji dapat setiap bulan. Para guru pula memikirkan bagaimana nak habiskan silibus pengajaran? Masa dah banyak terbuang. Pak menteri dan pegawai-pegawai atasan di KPM pula memerahkan otak bagaimana nak atasi semua ini. 

Pada saya semua ini adalah berpunca dari sistem. Sistem pendidikan yang telah kita amalkan sejak merdeka lagi. Sistem yang diwarisi dari penjajah yang telah kita ubahsuai cara pelaksanaannya serba sedikit. Yang berubah hanyalah program-program baru, pendekatan baru dan arahan-arahan baru. Sistem tetap sama. Dari tadika ke sekolah rendah, dari darjah 1 hingga darjah 6, kemudian ke sekolah menengah, dari Tingkatan 1 hingga lah ke tingkatan 5. Itu laluan yang akan dilalui oleh anak-anak kita dari umur 6 tahun hinggalah ke umur 17 tahun. Maka sekarang laluan itu telah diputuskan dan diganggu oleh satu wabak yang amat merbahaya. Gangguan ini telah mengakibatkan para penggerak pendidikan Negara terbantut sejenak. Timbullah berbagai andaian dan persepsi dikalangan masyarakat serta ahli keluarga pendidikan. Sampai bila ya nak jadi begini? Bila sekolah nak dimulakan kembali? Ada yang bertanya tentang peperiksaan anak-anak mereka. Memang benar para guru dan KPM telah berusaha untuk mewujudkan satu kaedaah pengajaran dan pembelajaran untuk anak-anak didik mereka. Di sini adalah menjadi tanggungjawab para ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka mengikut jadual P&P yang telah ditetapkan. 

Nak tanya para guru, ke mana kita nak bawa anak-anak kita ni? Cuba kita fikirkan sistem yang boleh memberi munafaat yang maksimum kepada anak-anak untuk memasuki alam dewasa dan pekerjaan dengan lebih berjaya lagi. Mampukah kita menghasilkan satu masyarakat yang berilmu tinggi, berakhlak mulia, berdisiplin tinggi serta kental jati diri mereka. Jika dilihat hasil pendidikan negara sehingga kini, kita gagal untuk membentuk itu semua. Ramai rakyat kita rendah jati diri, kurang berdisiplin serta kurang berakhlak mulia. Lihat sahaja apa yang berlaku sekarang. Setiap hari kita boleh baca melalui media sosial mengenai ini. Hampir semua Negara yang dijajah oleh penjajah dari barat sedang mengamalkan system pendidikan warisan penjajah. Sama juga dengan Malaysia. Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta Dasar Pendidikan Negara telah disediakan dengan baik sekali. Cuba kita halusi kedua-dua perkara tersebut secara halus dan mendalam. Apakah jenis rakyat yang kita nak bentuk? Apakah jenis budaya bangsa yang kita nak bentuk? Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan mengamal berbilang agama serta budaya, masyarakat bagaimana rupakah yang kita nak wujudkan. Kita perlu memikirkan perkara ini secara mendalam kerana pendidikan merupakan alat dan proses yang amat penting dalam  pembentukan masyarakat Malaysia. Apakah identiti negara yang nak kita masyhurkan kepada dunia? Dah berjaya kah kita? Adakah masyarakat dunia dapat mengenali kita sebagai rakyat Malaysia? Maka sesuatu perlu dilakukan untuk memperkasakan system pendidikan negara kita. Adakah PPPM satu usaha yang akan berjaya?

Insya Allah akan saya sambung di dalam posting yang akan datang. Saya akan mengutarakan beberapa isu yang sedang merumitkan proses pendidikan kebangsaan.