Jumaat, 9 Oktober 2020

Penyelenggaran. Mengapa Diabaikan?

Penyelenggaraan merupakan satu tugas dan aktiviti yang kerap dilupakan oleh kebanyakan orang atau organisasi. Cuba kita lihat disekeliling kita. Kita kan dapati banyak kerosakan pada kemudahan awam, bangunan, jalanraya dan banyak lagi. Kadangkala Pak Ngah tertanya mengapa ia dibiarkan begitu sahaja? Jika dah berlaku kemalangan akibat daripada kerosakan di sesuatu tempat barulah usaha untuk menyelenggara dan memperbaiki dilakukan oleh pihak berwajib. Mari kita lihat beberapa contoh di mana penyelenggaraan diabaikan sehinggakan ianya boleh membahayakan orang ramai.

Jalanraya : 

Jalan kerap didapati berlubang atau rosak dan dibiarkan tanpa diperbaiki. Ini akan membahayakan pengguna jalanraya. Pernah berlaku di sebuah bandar di Johor di mana seorang penunggang motosikal telah terjatuh akibat termasuk ke dalam sebuah lubang di atas jalanraya. Mangsa telah meninggal dunia ditempat kejadian akibat dari kecederaan dibahagian leher. Keesokan harinya lubang tersebut telah ditutup dan ditarkan dengan baiknya. Kos penyelenggaraan tersebut adalah satu nyawa. 

Garisan tepi dan tengah jalan telah pudar atau hilang langsung. Perkara ini nampak enteng dan kecil sahaja. Bagi pemandu kenderaan ia merupakan satu keperluan yang amat penting terutama sekali ketika memandu di waktu malam apatah lagi jika hari hujan. Garisan putih tepi jalan itu merupakan panduan bagi pemandu apabila berselisih dengan kenderaan dari arah bertentangan apabila pandangan diganggu oleh sinaran lampu kenderaan dari arah depan. Apabila garis berkenaan tidak lagi kelihatan kemungkinan pemandu kenderaan akan terbabas ke bahu jalan akibat dari gangguan pandangan. Ini akan mengakibatkan berlakunya kemalangan.

Sejak akhir-akhir ini banyak jalan telah dibina "bump" untuk mengelak kenderaan dipandu laju melalui jalan berkenaan. Ia adalah satu langkah yang baik tapi malangnya ada ketika "bump" berkenaan telah hilang jalur-jalur kuning atau putih di atasnya. Ini akan mengakibatkan pemandu tidak perasan tentang kewujudan "bump" itu. Kenderaan yang dipandu laju merentasi "bump" tersebut sudah tentu akan melambung dan terhentak. Ini amat membahayakan.

Papan tanda jalan kerap dilindungi oleh sama ada tumbuhan, pokok-pokok atau binaan papan iklan. Papan tanda yang menunjukkan had laju telah dilindungi oleh dahan-dahan pokok di sebelahnya. Tanpa disedari pemandu akan memandu pada had laju yang melebihi had yang dipamerkan pada papan tanda itu. Jika berlaku sesuatu akibat dari memandu melebihi had laju yang dibenarkan siapakah yang akan dipersalahkan? Terdapat juga papan tanda jalan yang dah pudar tulisannya ataupun terlalu kotor sehinggakan pengguna jalanraya tidak dapat membacanya terutama sekali pada waktu malam atau hujan lebat. Ini juga akan membahayakan pengguna.

Jika penyelenggaran dilakukan secara berkala ke atas semua perkara di atas sudah tentu para pengguna jalanraya akan dilindungi dari berlakunya kemalangan.

Bangunan Kerajaan:

Kerapkali kita dapat lihat beberapa kemudahan yang ada pada bangunan kerajaan tidak dibuat penyelenggaran secara berkala. Kerosakan kepada benda-benda kecil dan asas kerapkali terlepas pandang daripada pihak berwajib. Kerosakan kepada railing tangga yang dah berkarat atau dah reput didapati dibiarkan sahaja. Apabila berlaku kemalangan di mana pengguna tercedera tangannya akibat dari karat besi atau serpihan kayu pemegang tangga, barulah nak dibuat penyelenggaraan. 

Tandas awam pejabat kerapkali didapati ada beberap kerosakan kecil yang sepatutnya diperbaiki secara segera. Alat pam tandas yang rosak dibiarkan sahaja. Penyelak pintu tandas yang rosak dibiarkan sahaja. Kepala paip tandas yang rosak juga dibiarkan saja. Jika ada tindakan yang diambil pun ianya hanyalah sekadar menampal poster untuk memaklumkan bahawa itu dan ini rosak ataupun benda yang rosak itu dibalut dengan plastik untuk mengelak orang ramai menggunakannya. Paip air yang meleleh tanpa henti juga kerap kali didapati dibiarkan saja. Cuba bayangkan berapa banyakkah pembaziran air telah berlaku. Lampu di bilik tandas yang dah terbakar kerapkali juga dibiarkan. Maka bergelaplah tandas tersebut.

Kerusi tempat menuggu di kaunter perkhidmatan yang dah patah kakinya atau tempat letak tangannya diabaikan. Kadangkala kerusi itu berada dalam keadaan senget atau bergoyang apabila diduduki orang. Pengguna hanya sekadar dapat mengeluh dan mengggeleng kepada saja. Agaknya jika dah berlaku ada pengguna yang jatuh akibat kerusi rosak tu barulah nak dibuat pembaikan. Itupun kerana takut disaman oleh mangsa.

Berikut adalah beberapa contoh yang dapat Pak Ngah ketengahkan untuk penilaian para pembaca. Banyak lagi contoh yang boleh Pak Ngah berikan. Pak Ngah yakin para pembaca juga ada contoh-contoh yang boleh dikongsikan di sini. Alasan yang kerap Pak Ngah dengar apabila ditanya mengapa tak dibuat penyelenggaraan adalah " Tak ada peruntukan" Jika ini benar maka pihak kerajaan perlu mewujudkan satu peruntukan khas penyelenggaraan buat semua pejabat awam dan kemudahan awam supaya tiada lagi sebab mengapa keadaan segala kemudahan dan pejabat awam berada dalam keadaan terbiar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan