Rabu, 1 Mac 2023

MELAYU BANGSAKU

 Melayu adalah teras negara Malaysia. Apa yang membimbangkan adalah terdapat ramai diantara kita yang telah alpa, lupa dan keliru dalam memahami makna diri (jatidiri) bangsa. Akibat dari kelemahan itu, berlaku kekacauan dalam cara berfikir ketika merencana perjalanan hidup bangsa serta dalam penentuan keputusan dalam perlaksanaan sesuatu sehingga ia mengakibatkan terjadinya huru hara, kelam kabut serta kusut. 

Isu ketuanan Melayu, keunggulan Melayu dan mertabat Melayu terus diperkatakan, diperdebatkan, dipolimikkan dan dipolitikkan. Jika dikaji dari segi sejarah, keunggulan Melayu sebagai satu bangsa besar atau mahawangsa di rantau kepulauan Melayu tidak dapat dinafikan dan dipertikaikan. Dari zaman ke zaman berlaku pertumbuhan dan perkembangan tamadun bangsa Melayu yang kini diwarisi oleh bangsa Melayu sezaman. Titik tolak perjuangan bangsa Melayu bermula dari abad ke dua puluh. Bangkitnya semangat nationalisme hingga menjadi semangat dalam perjuangan kemerdekaan. 

Gerakan perjuangan bangsa Melayu bukannya akibat daripada faktor kedatangan kuasa barat. Perjuangan ini juga bukanlah sekadar satu perjuangan yang berpangkalkan kepada pembebasan berpolitik. Asas pembentukan tamadun bangsa Melayu bermula sejak terbentuknya kerajaan Melayu tertua iaitu kerajaan Campa. Ia berkembang kepada kerajaan Langkasuka yang bertapak di Segenting Kra,  kerajaan Seriwijaya yang bertapak di Sumatera dan kerajaan Majapahit yang bertapak di tanah Jawa. Seriwijaya merupakan asas pembentukan tamadun Melayu. Ia menguasai lautan sekitar Selat Melaka dan Selatan Thai. Pemerintahnya yang utuh di mana bahasa Melayu menjadi bahasa pentadbiran, perdagangan dan bahasa ilmu. 

Salah satu tamadun lama yang mempengaruhi tamadun Melayu sebelum Islam adalah tamadun India. Terdapat banyak pengaruh bahasa Sanskrit dalam bahasa Melayu. Dari sini kita dapat lihat kemajuan bangsa dan negara dalam bidang ekonomi, harus disertai kemajuan keperibadian bangsa. Ketika itu wujud struktur pentadbiran berpusat serta memiliki pelbagai sumber untuk memenuhi keperluan perdagangan melalui kuasa Maritim. Maka wujudlah pusat perlabuhan terulung dan pusat pengedaran serta pembekalan terbesar di Asia Tenggara. 

Selepas ini timbul pula gelombang kedua dalam perkembangan sejarah bangsa Melayu. Perkembangan kedua ini adalah berpaksikan kepada kerajaan Melayu dalam bentuk sistem Kesulatan Melayu.