Selasa, 29 Mei 2018

YANG DIINGINKAN DAN AKIBATNYA

Setelah 20 hari berlalu selepas PRU14 perkembangan di dalam negara nampaknya masih lagi berkisar dalam usaha untuk mencari, membongkar dan menyelak segala mungkin untuk memburukkan kerajaan yang lalu. Setiap hari kita didedahkan dengan berbagai data dan maklumat mengenai salah laku pentadbiran lalu. Apa yang menarik perhatian Pak Ngah adalah Menteri Multimedia dan Komunikasi yang agak serius dalam melaksanakan tugas beliau. Beliau telah mengorak langkah untuk membugarkan RTM agar bergerak dengan lebih aggesif agar ianya diterima oleh rakyat dan meningkatkan jumlah penonton. Beliau juga nampaknya amat bersungguh-sungguh untuk menghapuskan semua akta yang berkaitan dengan penyiaran dan cetakan. Perjuangan untuk memberi kebebasan yang meluas kepada pengamal media amatlah disambut baik oleh semua rakyat. Walaubagaimanapun Pak Ngah agak bimbang tentang bagaimanakah rakyat akan menggunakan hak dan kebebasan berkenaan. Adakah rakyat kita sudah cukup matang untuk menyuarakan pendapat, pandangan dan kritikan secara beretika dan berhemah. Adakah sopan santun dan budaya berbicara secara baik akan menjadi amalan atau sebaliknya. Jika dilihat dari komen-komen yang ditularkan di kebanyakan media sosial rata-rata Pak Ngah lihat bahasa dan kata-kata yang digunakan amatlah memalukan. Ia membayangkan seolah-olah masyarakat kita mempunyai budaya maki hamun, sumpah seranah dan gelar-menggelar dengan nama-nama yang tidak manis dan sopan terhadap yang dituju. Malah ramai yang suka menularkan cerita-cerita dan gambar-gambar palsu. Salah seorang yang menjadi mangsa tindakan demikian adalah Menteri Pertahanan kita. Terpaksalah pak menteri membuat penafian. Budaya inilah yang amat membimbangkan Pak Ngah. Pak Ngah nampak seolah-olah rakyat kita kurang matang dalam membahas sesuatu isu yang dibicarakan. Ramai yang dipengaruhi oleh emosi dan bukannya akal fikiran yang waras. Bukanlah lebih baik jika apabila kita berbicara, berbicaralah dengan menggunakan akal fikiran yang waras serta pertimbangan yang adil terhadap sesuatu isu itu. Rakyat nampaknya lebih gemar menghukum daripada mencari kebenaran secara adil. Teringat Pak Ngah bagaimana yang dituduh telah dihakimi oleh orang ramai dengan rasa marah dan geram sehingga ada yang sanggup mencederakan pihak yang dituduh. Setelah disiasat dan dibicara rupanya tertuduh merupakan mangsa fitnah musuhnya. Nabi Yusuf  juga pernah menjadi mangsa fitnah kerana dituduh berlaku sumbang terhadap puteri Balqis. Nasi sudah menjadi bubur. Maruah tertuduh telah tercemar. Malah seluruh ahli keluarganya juga telah hilang maruah mereka. Orang ramai yang dulunya menghukum, mencaci dan menghina mangsa bergerak seperti tiada apa yang pernah berlaku. Bersikap seolah-olah tiada apa yang perlu dirasai bersalah. Seolah-olah tak ada apa pun yang berlaku. Inilah yang amat Pak Ngah bimbang. Bukannya Pak Ngah tak setuju dengan kebebasan itu. Pak Ngah amat gembira jika ianya menjadi kenyataan. Dengan kebebasan itu dapatlah kita sebagai rakyat menyuarakan ketidak puas hati kita dengan bebas dan telus tanpa rasa bimbang akan dikenakan sebarang tindakan undang-undang. Suarakanlah pandangan dan pendapat itu dengan berhemah dan sopan. Berikanlah cadangan penambahbaikan jika benar-benar inginkan keadaan menjadi bertambah baik, bukannya mengguna bahasa kesat dan caci mencaci. Ramai yang hanya pandai bantah atau komen tapi jarang sekali yang akan memberi maklumbalas atau jalan penyelesaian kepada masalah yang dibangkitkan. Ayuh kita ubah diri kita agar menjadi rakyat yang matang dan bijak berbicara serta menjaga kesopanan dan kesusilaan kita. Barulah kita disegani dan dihormati oleh kawan dan musuh. Bagi kita yang beragama Islam ingatlah bahawa Allah telah memberi amaran di dalam Surah Al Hujurat ayat 11 dan 12, Al Huzammah ayat 1, dan An Nisa' ayat 135. Bacalah ayat-ayat yang telah Pak Ngah nyatakan ini agar kita akan menjadi hambaNYA yang soleh. Allah waalam.

Jumaat, 25 Mei 2018

HARAPAN BARU DALAM PENDIDIKAN NEGARA

Pak Ngah amat gembira hari ini setelah mendengar ucapan YB Menteri Pelajaran baru kita. Apa yang diperkatakan adalah selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ia itu setiap individu hendaklah diberi peluang untuk mendapat pendidikan mengikut kemampuan masing-masing. Sejak dari dulu lagi saya kerap mengutarakan agar Falsafah Pendidikan Kebangsaan dihayati dan dipenuhi sepenuhnya dengan memastikan agar semua pelajar diberi peluang sepenuhnya untuk mengembangkan potensi masing-masing ke tahap setinggi mungkin mengikut kemampuan masing-masing. Malangnya semua pihak yang bertanggungjawab dalam merealisasikan matlamat FPK telah mengabaikannya dengan memberi penumpuan yang lebih kepada pencapaian akademik semata-mata. Masing-masing mengejar keputusan cemerlang dari segi pencapaian jumlah 'A' dalam setiap peperiksaan yang diadakan. Pihak sekolah mula mengabaikan segala dasar yang telah diutarakan semata-mata hanya untuk mengejar status sekolah cemerlang dengan bilangan pelajar yang mendapat 'A' yang banyak. Pihak media juga memain peranan dalam kemelut ini. Berita mengenai sekolah-sekolah yang mendapat ramai pelajar 'A' disanjung dan diberi keutamaan dalam berita setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Maka anak-anak didik yang lemah dalam pelajaran berdasarkan norm peperiksaan kebangsaan akan diabaikan. Tak siapa pun yang ambil tahu akan nasib mereka. Malah mereka inilah yang dilabelkan sebagai penyebab keputusan sekolah itu tidak cemerlang. Setiap pelajar perlu diuji mengikut kemampuan mereka. Adalah tidak adil jika seorang pelajar yang lemah dikehendaki menjawab soalan-soalan yang sama taraf dengan pelajar-pelajar cerdas. mana mungkin seorang yang kakinya lemah diharapkan akan berlari sepantas mereka yang cergas. Ini tidak adil namanya.

Bercakap mengenai cemerlang, nak tanya sedikit lah, apakah yang dianggap cemerlang? Adakah sekolah yang dapat menghasilkan ramai pelajar 'A' itu dianggap cemerlang? Bagaimana pula sekolah yang tiada seorang pun pelajarnya mendapat 'A' tetapi peratus kelulusan adalah 90%? Adakah sekolah ini dikategorikan sebagai sekolah tak cemerlang sedangkan sekolah yang mendapat ramai pelajar 'A' peratus kelulusan nya hanya sekitar 60% sahaja?  Sekolah yang dikatakan cermelang itu terdapat seramai 40% pelajarnya yang gagal sedangkan sekolah yang tak cemerlang pula hanya 10% sahaja pelajarnya yang gagal. Fenomena ini mengakibatkan lambakan ulat buku di dalam masyarakat kita. Ulat-ulat buku ini hanya mempunyai tahap akademik yang tinggi tetapi jatidiri mereka adalah lemah. Mereka ini apabila tamat pengajian di pusat pengajian tinggi tidak mampu untuk menghadapi cabaran dunia pekerjaan. Ramai yang memilih kerja yang selesa dengan bertali leher dan bertugas di pejabat berhawa dingin. Maka berlakulah lambakan siswazah yang menanggur sedang jumlah pekerjaan adalah banyak untuk mereka ceburi. Malangnya mereka ini tak sanggup merendahkan diri untuk melakukan sebarang pekerjaan yang tidak setaraf dengan kelayakan akademik yang mereka ada. Malah Pak Ngah banyak bersua dengan individu yang mempunyai kelulusan Masters yang berjaya sebagai usahawan ataupun petani. Ijazah itu hanya sekeping kertas yang mengiktirafkan bahawa kita mempunyai ilmu yang tinggi. Ilmu sahaja tanpa keinginan dan jatidiri yang kuat tidak akan membawa kita ke mana-mana. Ramai pelajar-pelajar yang lemah dalam pelajaran juga berjaya sebagai usahawan dan petani. Kita sentiasa berpengan kepada sikap bahawa kerja yang kita nak galas itu perlulah setaraf dengan kelayakan akademik kita. Maka wujudlah pegawai-pegawai yang tak pandai menguruskan kerja masing-masing secara berkesan dan jaya. Sudah sampai masanya sistem pendidikan negara diubah supaya ianya benar-benar membina insan-insan yang mempunyai jatidiri yang kukuh dan berjiwa besar dalam menghadapi cabaran hidup. Pendidikan sepatutnya membantu anak-anak didik dalam persediaan mengahadapi dunia pekerjaan yang penuh dengan cabaran. Sama-samalah kita tunggu dan lihat perkembangan yang positif yang akan dibawa oleh YB Menteri kita nanti. 

Rabu, 23 Mei 2018

Harapan Tinggal Harapan

PRU 14 telah berlalu 14 hari yang lalu. Apa yang saya lihat sehingga ke hari ini tidak ada agenda lain yang diperjuangkan. Hanya mengorek dan mencungkil kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan oleh kerajaan yang lalu. Nampak seolah-olah langsung tak ada kebaikan yang dilakukan untuk rakyat biasa. Pemimpin-pemimpin UMNO khasnya dijadikan buruan oleh pihak berkuasa sama ada PDRM maupun SPRM. Ia menunjukkan seolah-olah hanya pemimpin UMNO yang jahat. Hanya pemimpin UMNO yang korup. Bagaimana dengan lain-lain pemimpin dari MCA dan MIC ataupun dari PH? Senario hari ini menunjukkan seolah-olah mereka ini semuanya bersih dan baik. Jika benar hendak membersihkan kerajaan daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa, maka mulalah dengan memastikan semua pemimpin dalam kerajaan sekarang adalah bersih dari unsur-unsur rasuah dan salah guna kuasa. Janganlah hanya memburu kerajaan lama. Kita perlu memberi contoh kepada rakyat jelata bahawa kita ini bersih daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa. Barulah orang tak kata "KATA DULANG PAKU SEREPIH". Kita perlu buktikan dan tunjukkan kepada rakyat jelata bahawa kita ini bersih, jujur dan berwibawa. Saya percaya jika kerajaan baru sekarang menorak langkah untuk membersihkan anggota kabinet dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang dilantik adalah mereka yang benar-benar bersih barulah kita boleh rasa bangga bahawa kerajaan kita yang baru ini adalah yang terbaik.

Dulu janji macam-macam, sekarang terpaksa menjelaskan mengapa janji-janji itu tak dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya. Rakyat jelata sudah terlalu mengharap dengan janji-janji itu. Jangan pula janji hanya tinggal HARAPAN. Saya faham, apa yang nak dilaksanakakan memerlukan masa yang agak lama. Janganlah sesuka hati kita umum itu dan ini sedangkan kajian belum dilakukan dari segi kemampuan kewangan. Mansuhkan itu dan ini memang sedap dikatakan tapi hakikatnya ia amat sukar untuk dilakukan. Nak hapuskan TOL berapakah implikasi kewangannya kepada negara? Dengan bayaran pampasannya dan kehilangan hasilnya. Apakah akan terjadi kepada beribu pekerja-pekerja PLUS, ELITE, KESAS, SILK, dan banyak lagi konsesi lebuhraya. Ke manakah mereka ini akan dihantar untuk menyara hidup? Jangan jadi macam pembatalan kontrak Jambatan Bengkok antara JB dan Singapura. Pampasan berjuta ringgit terpaksa dibayar kepada syarikta pembinaannya. Hari itu kata TOL nak dihapuskan. Hari ini pula kenyataan yang dikeluarkan adalah "Jumlah kadar TOL akan dikaji semua" Aik!! Kata nak hapuskan ni nak kaji kadarnya pulak. Aneh! PTPTN pula tak perlu dibayar balik selagi pendapatan belum mencecah RM4K. Masalah sangat ke nak bayar balik PTPTN yang kadarnya hanya di antara RM50 hingga RM1XX. Kereta baru boleh beli. Baju, kasut dan seluar berjenama yang harganya mencerah ratusan ringgit mampu dibeli. Tak kan lah PINJAMAN PTPTN tak mampu bayar. Jika kita orang Islam kita sedia maklum bahawa hutang MESTI DILUNASKAN. Tak mampu lunaskan lah seberapa yang mampu, SEDIKIT-SEDIKIT LAMA-LAMA JADI BUKIT. Yang penting diri kita bersih daripada dosa berhutang.

In Sya Allah akan saya sambung lagi.
Selamat berpuasa dan Hentikan kerja-kerja negatif. Moga-moga Allah SWT akan terima semua amalan kita di bulan bertuah ini.

Ahad, 6 Mei 2018

DULU DAN SEKARANG

Pak Ngah nak kongsi sedikit maklumat yang dihantar oleh seorang sahabat untuk difikirkan bersama. Bukan nak menuduh atau mengata. Cuma nak buat perbandingan saja di antara zaman PM yang lalu dan zaman PM sekarang.

PTPTN
Dulu kadar faedahnya 4%
Sekarang kadar faedahnya 1%
Peminjam yang bayar secara consisten diberi potongan 10%. Bagi yang membayar balik sekaligus diberi potongan 20%

TOL
Dulu Tol naik setiap 3 tahun
Sekarang dah banyak TOL dihapuskan. Pembinaan Pan Borneo, KL - Kelantan melalui Merapoh dan Highway bertingkat Rawang adalah tanpa TOL

PENGAKUTAN AWAM
DuluTambang ERL naik 10% setiap 5 tahun
Sekarang diberi subsidi untuk tambang MRT dan Bas MRT

ISA
Dulu seramai 1200 orang ditahan dibawah ISA
Sekarang ISA dihapuskan

HUTANG NEGARA
Dulu 103%
Sekarang 54%

LEBUHRAYA PANTAI TIMUR
Dulu pembinaan diberhentikan apabila Kelantan dan Trengganu di bawah Pembangkang.
Sekarang pembinaan LPT diteruskan hingga ke Kelantan. Membina lebuhraya Kota Bahru - Kuala Krai.

CUKAI BARANGAN
Dulu SST sebanyak 5%, 10% dan 20%
Sekarang GST 6%

YURAN SEKOLAH
Dulu kena bayar yuran sekolah
Sekarang tiada yuran sekolah hingga ke sekolah menengah.

BANTUAN SEKOLAH
Dulu hanya KWAMP
Sekarang bantuan sebanyak RM100 setiap pelajar yang ibu bapa berpendapatan RM3000 ke bawah

BANTUAN BUKU TEKS
Dulu diberi kepada ibu bapa yang berpendapatan di bawah RM1500
Sekarang diberi kepada semua pelajar.

BR1M
Dulu TIADA
Sekarang ada RM2000 setahun

BAUCER BUKU SISWA
Dulu TIADA
Sekarang ADA RM200 seorang

KLINIK BERGERAK 1 MALAYSIA
Dulu TIADA
Sekarang ada bas dan bot

KLINIK 1MALAYSIA
Dulu TIADA
Sekarang ADA. Bayaran RM1

GAJI MINIMUM
Dulu TIADA
Sekarang ADA RM1000

BAKI SIMPANAN PETRONAS
Dulu RM30 billion
Sekarang RM128 billion

KENAIKAN PENCEN
Dulu TIADA
Sekarang ADA 2% setahun

RUMAH PENJAWAT AWAM
Dulu TIADA
Sekarang ADA PPA1M

RUMAH UNTUK RAKYAT
Dulu rumah PPRT
Sekarang rumah PPRT, SPNB (gaji bawah RM3000 ada tanah. Kerajaan subsidi RM25ribu), SPNB Plus (pendapatan lebih dari RM3000 dan ada tanah), dan PR1MA bagi pendapatan di bawah RM10 ribu.

TAJAAN MENUNAIKAN HAJI
Dulu TIADA
Sekarang ADA seramai 1000 orang ditaja secara percuma setiap tahun

BANTUAN MUSIM TENGKUJUH
Dulu TIADA
Sekarang RM600 untuk 3 bulan kepada seramai 440 ribu penoreh getah

SKIM ELAUN SARA HIDUP NELAYAN
Dulu TIADA
Sekarang ADA RM300 sebulan.

Sama-samalah kita hayati dan fikir-fikirkan.