Jumaat, 25 Mei 2018

HARAPAN BARU DALAM PENDIDIKAN NEGARA

Pak Ngah amat gembira hari ini setelah mendengar ucapan YB Menteri Pelajaran baru kita. Apa yang diperkatakan adalah selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ia itu setiap individu hendaklah diberi peluang untuk mendapat pendidikan mengikut kemampuan masing-masing. Sejak dari dulu lagi saya kerap mengutarakan agar Falsafah Pendidikan Kebangsaan dihayati dan dipenuhi sepenuhnya dengan memastikan agar semua pelajar diberi peluang sepenuhnya untuk mengembangkan potensi masing-masing ke tahap setinggi mungkin mengikut kemampuan masing-masing. Malangnya semua pihak yang bertanggungjawab dalam merealisasikan matlamat FPK telah mengabaikannya dengan memberi penumpuan yang lebih kepada pencapaian akademik semata-mata. Masing-masing mengejar keputusan cemerlang dari segi pencapaian jumlah 'A' dalam setiap peperiksaan yang diadakan. Pihak sekolah mula mengabaikan segala dasar yang telah diutarakan semata-mata hanya untuk mengejar status sekolah cemerlang dengan bilangan pelajar yang mendapat 'A' yang banyak. Pihak media juga memain peranan dalam kemelut ini. Berita mengenai sekolah-sekolah yang mendapat ramai pelajar 'A' disanjung dan diberi keutamaan dalam berita setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Maka anak-anak didik yang lemah dalam pelajaran berdasarkan norm peperiksaan kebangsaan akan diabaikan. Tak siapa pun yang ambil tahu akan nasib mereka. Malah mereka inilah yang dilabelkan sebagai penyebab keputusan sekolah itu tidak cemerlang. Setiap pelajar perlu diuji mengikut kemampuan mereka. Adalah tidak adil jika seorang pelajar yang lemah dikehendaki menjawab soalan-soalan yang sama taraf dengan pelajar-pelajar cerdas. mana mungkin seorang yang kakinya lemah diharapkan akan berlari sepantas mereka yang cergas. Ini tidak adil namanya.

Bercakap mengenai cemerlang, nak tanya sedikit lah, apakah yang dianggap cemerlang? Adakah sekolah yang dapat menghasilkan ramai pelajar 'A' itu dianggap cemerlang? Bagaimana pula sekolah yang tiada seorang pun pelajarnya mendapat 'A' tetapi peratus kelulusan adalah 90%? Adakah sekolah ini dikategorikan sebagai sekolah tak cemerlang sedangkan sekolah yang mendapat ramai pelajar 'A' peratus kelulusan nya hanya sekitar 60% sahaja?  Sekolah yang dikatakan cermelang itu terdapat seramai 40% pelajarnya yang gagal sedangkan sekolah yang tak cemerlang pula hanya 10% sahaja pelajarnya yang gagal. Fenomena ini mengakibatkan lambakan ulat buku di dalam masyarakat kita. Ulat-ulat buku ini hanya mempunyai tahap akademik yang tinggi tetapi jatidiri mereka adalah lemah. Mereka ini apabila tamat pengajian di pusat pengajian tinggi tidak mampu untuk menghadapi cabaran dunia pekerjaan. Ramai yang memilih kerja yang selesa dengan bertali leher dan bertugas di pejabat berhawa dingin. Maka berlakulah lambakan siswazah yang menanggur sedang jumlah pekerjaan adalah banyak untuk mereka ceburi. Malangnya mereka ini tak sanggup merendahkan diri untuk melakukan sebarang pekerjaan yang tidak setaraf dengan kelayakan akademik yang mereka ada. Malah Pak Ngah banyak bersua dengan individu yang mempunyai kelulusan Masters yang berjaya sebagai usahawan ataupun petani. Ijazah itu hanya sekeping kertas yang mengiktirafkan bahawa kita mempunyai ilmu yang tinggi. Ilmu sahaja tanpa keinginan dan jatidiri yang kuat tidak akan membawa kita ke mana-mana. Ramai pelajar-pelajar yang lemah dalam pelajaran juga berjaya sebagai usahawan dan petani. Kita sentiasa berpengan kepada sikap bahawa kerja yang kita nak galas itu perlulah setaraf dengan kelayakan akademik kita. Maka wujudlah pegawai-pegawai yang tak pandai menguruskan kerja masing-masing secara berkesan dan jaya. Sudah sampai masanya sistem pendidikan negara diubah supaya ianya benar-benar membina insan-insan yang mempunyai jatidiri yang kukuh dan berjiwa besar dalam menghadapi cabaran hidup. Pendidikan sepatutnya membantu anak-anak didik dalam persediaan mengahadapi dunia pekerjaan yang penuh dengan cabaran. Sama-samalah kita tunggu dan lihat perkembangan yang positif yang akan dibawa oleh YB Menteri kita nanti. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan