Selasa, 29 Mei 2018

YANG DIINGINKAN DAN AKIBATNYA

Setelah 20 hari berlalu selepas PRU14 perkembangan di dalam negara nampaknya masih lagi berkisar dalam usaha untuk mencari, membongkar dan menyelak segala mungkin untuk memburukkan kerajaan yang lalu. Setiap hari kita didedahkan dengan berbagai data dan maklumat mengenai salah laku pentadbiran lalu. Apa yang menarik perhatian Pak Ngah adalah Menteri Multimedia dan Komunikasi yang agak serius dalam melaksanakan tugas beliau. Beliau telah mengorak langkah untuk membugarkan RTM agar bergerak dengan lebih aggesif agar ianya diterima oleh rakyat dan meningkatkan jumlah penonton. Beliau juga nampaknya amat bersungguh-sungguh untuk menghapuskan semua akta yang berkaitan dengan penyiaran dan cetakan. Perjuangan untuk memberi kebebasan yang meluas kepada pengamal media amatlah disambut baik oleh semua rakyat. Walaubagaimanapun Pak Ngah agak bimbang tentang bagaimanakah rakyat akan menggunakan hak dan kebebasan berkenaan. Adakah rakyat kita sudah cukup matang untuk menyuarakan pendapat, pandangan dan kritikan secara beretika dan berhemah. Adakah sopan santun dan budaya berbicara secara baik akan menjadi amalan atau sebaliknya. Jika dilihat dari komen-komen yang ditularkan di kebanyakan media sosial rata-rata Pak Ngah lihat bahasa dan kata-kata yang digunakan amatlah memalukan. Ia membayangkan seolah-olah masyarakat kita mempunyai budaya maki hamun, sumpah seranah dan gelar-menggelar dengan nama-nama yang tidak manis dan sopan terhadap yang dituju. Malah ramai yang suka menularkan cerita-cerita dan gambar-gambar palsu. Salah seorang yang menjadi mangsa tindakan demikian adalah Menteri Pertahanan kita. Terpaksalah pak menteri membuat penafian. Budaya inilah yang amat membimbangkan Pak Ngah. Pak Ngah nampak seolah-olah rakyat kita kurang matang dalam membahas sesuatu isu yang dibicarakan. Ramai yang dipengaruhi oleh emosi dan bukannya akal fikiran yang waras. Bukanlah lebih baik jika apabila kita berbicara, berbicaralah dengan menggunakan akal fikiran yang waras serta pertimbangan yang adil terhadap sesuatu isu itu. Rakyat nampaknya lebih gemar menghukum daripada mencari kebenaran secara adil. Teringat Pak Ngah bagaimana yang dituduh telah dihakimi oleh orang ramai dengan rasa marah dan geram sehingga ada yang sanggup mencederakan pihak yang dituduh. Setelah disiasat dan dibicara rupanya tertuduh merupakan mangsa fitnah musuhnya. Nabi Yusuf  juga pernah menjadi mangsa fitnah kerana dituduh berlaku sumbang terhadap puteri Balqis. Nasi sudah menjadi bubur. Maruah tertuduh telah tercemar. Malah seluruh ahli keluarganya juga telah hilang maruah mereka. Orang ramai yang dulunya menghukum, mencaci dan menghina mangsa bergerak seperti tiada apa yang pernah berlaku. Bersikap seolah-olah tiada apa yang perlu dirasai bersalah. Seolah-olah tak ada apa pun yang berlaku. Inilah yang amat Pak Ngah bimbang. Bukannya Pak Ngah tak setuju dengan kebebasan itu. Pak Ngah amat gembira jika ianya menjadi kenyataan. Dengan kebebasan itu dapatlah kita sebagai rakyat menyuarakan ketidak puas hati kita dengan bebas dan telus tanpa rasa bimbang akan dikenakan sebarang tindakan undang-undang. Suarakanlah pandangan dan pendapat itu dengan berhemah dan sopan. Berikanlah cadangan penambahbaikan jika benar-benar inginkan keadaan menjadi bertambah baik, bukannya mengguna bahasa kesat dan caci mencaci. Ramai yang hanya pandai bantah atau komen tapi jarang sekali yang akan memberi maklumbalas atau jalan penyelesaian kepada masalah yang dibangkitkan. Ayuh kita ubah diri kita agar menjadi rakyat yang matang dan bijak berbicara serta menjaga kesopanan dan kesusilaan kita. Barulah kita disegani dan dihormati oleh kawan dan musuh. Bagi kita yang beragama Islam ingatlah bahawa Allah telah memberi amaran di dalam Surah Al Hujurat ayat 11 dan 12, Al Huzammah ayat 1, dan An Nisa' ayat 135. Bacalah ayat-ayat yang telah Pak Ngah nyatakan ini agar kita akan menjadi hambaNYA yang soleh. Allah waalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan