Khamis, 24 September 2020

TATASUSILA DAN KESOPANAN, KE MANA PERGINYA?

Sebagai rakyat Malaysia kita dikehendaki melafazkan ikrar "RUKUN NEGARA". Setiap tahun apabila kita menyambut Hari Kebangsaan kita akan dapat mendengar lafaz ikrar tersebut dilafazkan semasa sambutan perayaan tersebut. Dataran Merdeka, Kuala Lumpur akan penuh sesak dengan orang ramai yang datang untuk menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan negara kita. Di sana lah berlakunya lafaz ikrar Rukun Negara oleh sekumpulan rakyat yang mewakili berbagai kaum dan peringkat. Malah majlis yang sama juga akan berlangsung  di setiap ibu negeri di seluruh negara. Apakah kesannya kepada rakyat jelata? Malah apa yang dapat kita lihat ianya hanyalah sebagai satu acara tahunan yang akan dihadiri dan dismabut beramai-ramai tanpa ada sebarang penghayatan kepada lafaz ikrar tersebut. Lima prinsip Rukun Negara itu adalah :

1. KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN

2. KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA

3. KELUHURAN PERLEMBAGAAN

4. KEDAULATAN UNDANG-UNDANG

5. KESOPANAN DAN KESUSILAAN

Cuba kita hayati lafaz tersebut: "MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:"

Lafaz tersebut menyatakan bahawa kita akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kita untuk mencapai cita-cita yang tercatat di dalam Rukun Negara. Sejauh manakah kita telah dan sedang melaksanakan kata-kata tersebut. Adakah kita telah menumpukan seluruh tenaga kita untuk mendukung dan mengamalkan kelima-lima prinsip tersebut?

Saya ingin berbicara sedikit mengenai prinsip kelima iaitu "KESOPANAN DAN KESUSILAAN". Prinsip ini berkait rapat dalam pembentukan bangsa. Kesopanan dan kesusilaan merupakan amalan yang perlu diamalkan oleh semua rakyat Malaysia. Sejak akhir-akhir ini, saya dapati prinsip ini telah dilupakan dan diabaikan oleh kebanyakan rakyat kita sehingga setiap hari kita dapat lihat, baca dan dengar tentang perlakuan yang melanggar tatasusila dan kesopanan. Peristiwa kebiadapan dalam ucapan, tuturkata dan tingkahlaku kerap berlaku seharian di mana sahaja. Media sosial dipenuhi dengan catatan-catatan yang berbentuk penghinaan, maki hamun serta bahasa-bahasa kesat. Para netizen dilihat sudah hilang tatacara berkomunikasi dengan sopan dan santun.

Saya ingin berkongsi beberapa peristiwa kebiadapan yang pernah saya alami sendiri. Peristiwa ini berlaku di kaunter bayaran di sebuah pasaraya. Saya telah memasuki kaunter ekspress kerana barangan yang dibeli hanya sedikit. Apabila saya mengeluarkan Kad Debit saya untuk membuat bayaran, juruwang tersebut telah berkata dengan nada yang agak kuat, "En, di sini kita tak terima bayaran melalui kad. Kita hanya terima tunai. Sana ada tulis (sambil menujuk ke arah notis di hadapan kaunter). Tarak baca ka!" sambil menunjuk muka masam. Saya mula meninggikan suara saya sambil menegur cara juruwang tersebut membuat teguran dengan menggunakan bahasa yang kurang sopan. Apatah lagi saya ni seorang yang lebih dewasa daripadanya. Penyelia yang berada berhampiran meminta juruwang tersebut meminta maaf kepada saya. Saya menjawab, "Saya tak perlu dia meminta maaf kepada saya. Dia biadap dan bersikap kasar terhadap pelanggan. Di mana budi bahasa dia semasa berkomunikasi dengan pelanggan? Tak bolehkah dia bertutur dengan lebih lebut dan sopan? Bukankah lebih baik jika dia cakap 'Maaf ye En. Di sini kami hanya menerima bayaran secara tunai. Kami dah paparkan notis di hadapan kaunter untuk makluman semua pelangan' dengan nada yang lembut dan sopan. Para pelanggan pun akan dapat menerimanya dengan baik. Malah saya akan meminta maaf kerana kecuaian saya tidak membaca notis yang dipaparkan.

Peristiwa kedua pula saya alami semasa saya nak memasuki sebuah pejabat. Ketika itu datang seseorang (rasanya salah seorang petugas di situ) memanggil saya dengan nada suara yang agak kuat."Hey! Hey! En nak ke mana tu!

"Nak ke dalam pejabat lah" jawab saya dengan agak sinis kerana kesal dengan cara beliau.

"Ha, scan dulu kat sini" kata beliau.

Bukankah lebih baik jika beliau bertutur begini, "Maaf ye En. En nak ke mana? (dengan sopan dan santun) Harap En dapat buat scanning dulu kat sini ye."

Percakapan dan gaya bahasa kita akan menunjukkan sifat kepribadian kita. Cara kita berkomunikasi dengan orang amat penting sekali dalam menjalankan tugas kita seharian. Jika kasar gayanya maka kasarlah rupa keperibadian kita. Sikap berlemah lembut serta bertutur secara sopan dan santun akan menampilkan diri kita sebagai seorang yang berbudi bahasa yang tinggi. Terhakisnya kesopanan dan kesusilaan di kalangan masyarakat kita berpunca dari mana agaknya? Ada pendapat menyalahkan media sosial. Ada juga yang menyalahkan sistem pendidikan negara. Pada pendapat saya media sosial memainkan peranan yang amat besar dalam pembentukan budaya bangsa. Jika apa yang dipaparkan dan dicetak adalah perkara yang baik ataupun buruk, ia akan menjadi ikutan para pengamalnya. Jadi pihak media perlu memperbaiki mutu persembahan, percetakan dan perbualan mereka. Juruhebah radio yang kerap mengguna bahasa-bahasa rojak akan mempengaruhi para pendengar dengan gaya bahasa mereka. Memang benar untuk menjadikan sesuatu rancangan itu menarik perlu ada sedikit kelonggaran tetapi janganlah sampai ia melampaui batas sehingga sepanjang siaran berlangsung tak ada ruang pun tutur bahasa yang baik dan sopan.

Berbicara dengan sopan di dalam media sosial sudah agak lenyap. Segala posting yang dimuat naik tidak lepas daripada penggunaan bahasa yang tidak sesuai. Malah kerap bahasa yang kesat serta tidak sopan digunakan. Malah jika kita lihat siaran langsung Sidang Parlimen, ada saja bahasa-bahasa yang tidak sopan digunakan. Adakalanya tingkah laku yang biadap juga dapat kita lihat. Siaran langsung ini dilihat oleh segenap lapisan rakyat. Adakah gaya bahasa dan tingkahlaku sedemikian yang nak kita tunjukkan kepada rakyat. Adakah itu yang kita nak rakyat kita iktu dan amal? Sebagai mantan pendidik, saya selalu tertanya-tanya adakah kami para pendidik telah gagal dalam mendidik anak-anak kita menjadi rakyat yang berbudi bahasa tinggi? Malah Falsafah pendidkan Kebangsaan telah dengan jelasnya menggariskan keperluan memberi penekanan kepada perkembangan Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek secara seimbang di kalangan anak-anak didik kami. Samalah kita fikirkan dan berusaha menjaga anak-anak kita agar mereka membesar dalam suasana yang harmonis, sopan dan berbudi bahasa tinggi. Hayatilah prinsip KESOPAN DAN KESUSILAAN dalam Rukun Negara kita, agar kita semua akan menjadi rakyat yang mempunyai sifat-sifat terpuji.