Ahad, 25 April 2021

Pembentukan Negara Bangsa

 Keadaan politik negara nampaknya dalam keadaan tidak menentu. Masing-masing parti politik sedang sibuk dengan usaha masing-masing untuk kembali berkuasa. Malangnya ada yang sanggup melakukan apa saja untuk mendapat sokongan rakyat. Ramai yang lupa bahawa rakyat sudah mula matang dalam berpolitik, bukan macam 30 tahun yang lalu. Rakyat dahagakan perubahan dan kemajuan dalam hidup. Rakyat nak hidup dalam keadaan serba mencukupi, aman dan bahagia. Tak kiralah sama ada mereka itu Malayu, Cina, India dan lain-lain etnik. Semuanya mahu hidup yang nyaman. Rakyat bukan dahagakan kemewahan tapi kecukupan dalam hidup. Tak kiralah siapa yang memerintah beberapa perkara utama perlu dipatuhi dan dipegang sebagai perjuangan parti untuk bangsa , agama dan negara.

PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Berapa ramaikah rakyat kita tahu tentang apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan? Apa yang rakyat tahu hanyalah beberapa perkara asas yang kerap diperkatakan oleh orang-orang politik. Perincian tentang apa yang diketahui juga tidak ada dalam pengetahuan rakyat. Rakyat dimomokkan dengan hak-hak mereka sehinggakan terdapat beberapa perkara yang tak sepatutnya berlaku telah berlaku. Hak kebebasan bersuara telah digunakan secara tanpa batas dan tatasusila sehinggakan Raja-raja dihina, Agama dihina, Pemimpin di hina malah kaum juga dihina atas dasar hak bersuara. Hak berkumpul juga telah disalah gunakan, sedang ramai rakyat tak tahu bahawa di dalam Perlembagaa Persekutuan terdapat fasa yang megawal dan menyekat beberapa tindakan dalam hak berkumpul atau berhimpun. Ini tidak diketahui oleh rakyat. Apabila pihak berkuasa bertindak berdasarkan sekatan berkenaan pihak yang berkepentingan akan membuat tuduhan perlanggaran hak individu. Sudah sampai masanya pendidikan Perlembagaan Persekutuan mula di ajar di peringkat sekolah menengah atas dan di pusat-pusat pengajian tinggi agar rakyat masa depan adalah rakyat yang mamtap pengetahuan mereka dalam Perlembagaan Persekutuan.

RUKUN NEGARA

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN

Rakyat kita sepatutnya mempunyai pegangan agama. Tidak sepatutnya ada rakyat kita yang tidak mempunyai pegangan apa-apa agama. Jika ada bermakna mereka tidak mematuhi rukun ini. Mereka ini tidak layak dipanggil rakyat negara ini. Setiap negara di dunia mempunyai sesuatu rukun yang dipegang oleh rakyat mereka. Indonesia dengan Pancasila nya, Amerika Syarikat dengan 5 rukun negara mereka serta banyak lagi negara di dunia mempunyai rukun negara masing masing. Sekali lagi perkara ini dikaitkan dengan hak dan kebebasan beragama. Jadi jika mereka tak nak menganuti apa-apa agama itu adalah hak kebebasan manusia. Sekali lagi hak kebebasan manusia digunakan untuk menghalalkan cara.

KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA

Rakyat dikehendaki mentaati Raja dan Negara. Maka tidak sepatunya berlaku di mana rakyat bebas menghina dan memperbodohkan Raja-raja. Malangnya inilah yang kerap berlaku di kalangan anak-anak muda yang berpegang kepada fahaman sosialis. Mereka mahukan sistem Raja dihapuskan dengan berbagai alasan dan logik yang amat mudah mempengaruhi rakyat. Buta sejarah adalah salah satu punca berlakunya perkara ini. Rakyat juga perlu setia kepada negara waima di mana mereka berada. Rakyat sepatutnya bangga sebagai rakyat negara. Malangnya terdapat beberapa individu yang sama ada bermastautin atau bekerja di luar negara yang kerap memburuk-burukkan negara sendiri. Keburukan negara orang di mana mereka berada mereka tak nampak. Mereka juga tak sedar mereka adalah rakyat negara yang mereka telah burukkan. Tidakkah mereka sedar bahawa perbuatan mereka itu adalah seperti meludah di langit atau menepuk air di dulang akhirnya muka sendiri yang terperecik.

KELUHURAN PERLEMBAGAAN

Perlembagaan sesebuah negara adalah undang-undang utama dan tertinggi di negara. Keagungan, kemuliaan dan kebesaran perlembagaan negara perlu dijaga dan dipertahankan oleh semua rakyat. Mana mungkin rakyat akan menjaga keagungan, kemuliaan dan kebesaran perlembagaan negara jika rakyat tidak tahu dan faham tentang apa yang terkandung di dalam perlembagaan. Rakyat perlu mendidik diri mereka mengenai perlembagaan negara secara penuh dan kefahaman yang dalam. Barulah kita akan bertindak berlandaskan perlembagaan negara.

KEDAULATAN UNDANG-UNDANG

Undang-undang diwujudkan untuk memperkemaskan lagi pentadbiran negara. Undang-undang digubal agar apa saja yang kita buat atau amal adalah terkawal perbuatan dan kelakuannya. Jika tidak ada undang-undang rakyat akan bertindak mengikut sesuka hati mereka. Kebebasan menyeluruh atau "total" tidak mungkin dapat diamalkan di mana-mana negara sekali pun. Masyarakat akan menjadi kelam kabut dan huru hara tanpa undang-undang. Maka kedaulatan undang-undang negara perlu dipelihara dan dijaga agar rakyat menjadi berdisiplin. Apabila undang-undang tidak dihormati dan dilanggar maka akan berlaku kesan-kesan buruk atau negatif terhadap masyarakat secara keseluruhan.

KESOPANAN DAN KESUSILAAN

Kesopanan dan kesusilaan adalah perkara utama dalam pembentukan masyarakat yang mempunyai budi bahasa dan kesopanan yang tinggi lagi mulia. Jika ia tidak dihayati dan diamalkan oleh rakyat, maka akan wujud masyarakat yang hilang sikap kesopanan dan kesusilaan. Sikap buruk ini boleh kita lihat di dalam kebanyakan komen atau posting di dalam media sosial. Komen dan kata-kata tidak sopan dan melampau kerap dipaparkan oleh sebahagian rakyat kita. Di manakah sikap sopan tatasusila kita? Adakah kita ingin menjadi rakyat yang dikatakan bongkak. kasar berbahasa dan biadap?

Perkara-perkara utama yang telah saya sebutkan di atas perlu dipegang dan dihayati oleh mereka yang ingin menjadi pemerintah yang akan disanjungi dan dihormati oleh rakyat. Sama-samalah kita tunggu dan lihat adakah semua ini akan menjadi satu kenyataan disuatu masa nanti. Insya Allah.