Khamis, 12 Januari 2023

Antara Kepentingan Diri & Tanggungjawab

Setiap hari kita akan memikirkan apakah yang perlu kita laksanakan pada hari ini. Tugas dan tanggungjawab pekerjaan merupakan perkara utama bagi mereka yang masih bekerja. Sebaik saja kita bangun dari tidur kita akan bergegas bersiap untuk ke pejabat atau ke tempat kita menjalankan tugas pada hari itu. Adakalanya kita sampai tak sempat nak bersarapan di rumah. Bagi mereka yang mengguna kenderaan awam terpaksalah memastikan bahawa mereka sampai di terminal bas atau setesen Komuter tepat pada masanya. Jika tidak sudah tentu akan ketinggalan bas atau komuter. Maka dengan menaiki kenderaan awam yang berikutnya kita akan sampai lewat ke tempat kerja. Bagi yang memandu pula perlu memastikan agar tidak terlewat walau seminit pun kerana jika terlewat terpaksalah menempuh kesesakan di jalanraya. Ia juga akan menyebabkan kita sampai lewat ke tempat kerja. Sebenarnya apakah kepentingan dan tanggungjawab yang perlu kita utamakan setiap hari dalam hidup kita. Kebanyakan daripada kita mementingkan tanggungjawab kerja. Kita bimbang jika kita gagal melaksanakan tanggunjawab tugas kita di tempat kerja, kita akan dimarahi ataupun diambil tindakan oleh atasan kita. Kepentingan diri merupakan perkara pokok dalam hidup kita sehinggakan kita lupa akan tanggungjawab kita kepada Ilahi. Kita tidak sedikit pun rasa bersalah jika kita abaikan tanggungjawab kita sebagai hambaNya. Apatah lagi rasa takut dan bimbang akan musibah yang akan dijatuhkan kepada kita olehNya. Kita lebih takut kepada pegawai atasan kita kerana akibatnya akan dirasai serta merta. Akibat daripada mengabaikan tanggungjawab kepada Ilahi kita akan dibalas di akhirat kelak. Oleh kerana balasan itu tak berlaku serta merta maka kita tak nampak dan rasa keperitannya. 

Malah Allah SWT akan memberi kita ujian akibat daripada kelalaian kita terhadap tanggungjawab kita kepadaNya. Disinilah timbulnya apakah keutamaan kita dalam hidup ini. Adakah duniawi semata-mata tanpa disertakan bersama tanggungjawab akhirat, atau kedua-duanya diberi keutamaan yang sama berat. Malah keutamaan terhadap Ilahi perlu didahulukan. Allah SWT Maha Mengetahui dan Bijaksana. Jika kita sentiasa mengingati Nya sudah tentu segala urusan kita di dunia akan dipermudahkan. Kerja kita menjadi berkat dan dikira sebagai ibadah. Kita perlu ingat bahawa setiap kebaikan dan ketaatan menjalankan tugas kepadaNya akan dibalas berlipat kali ganda. Cuba bandingkan ketaatan kepada pegawai atasan tanpa ada ketaatan kepada Ilahi dengan ketaatan bersama, adakah kita akan mendapat ganjaran sebesar mana yang diberi oleh Allah SWT oleh atasan kita. Melaksanakan tugas dan tanggungjawab perlu dengan niat kerana Allah SWT dan bukan kerana pegawai atasan barulah ianya dianggap sebagai ibadah dan setiap ibadah itu akan ada ganjarannya dari Allah SWT. Allah SWT telah memberi kita masa sebanyak dua puluh empat jam. Cuba kita hitung berapa banyakkah masa yang kita peruntukan untuk Allah SWT. Secara purata masa untuk kita menjalankan tanggungjawab wajib harian, iaitu solat lima waktu hanya memerlukan sebanyak limabelas hingga dua puluh minit setiap waktu solat. Maka jumlah waktu yang perlu kita guna untuk melaksanakan tanggungjawab wajib kita kepada Allah SWT adalah sebanyak di antara tujuh puluh lima minit atau seratus minit. Ia itu satu jam suku atau satu jam empat puluh minit. Baki dua puluh dua jam lagi kita gunakan untuk kepentinga diri kita. Berat sangat ke untuk meluangkan masa sebanyak itu untuk melaksanakan tugas wajib kita kepada Allah SWT. Tugas yang begitu mudah dan tak menggunakan masa yang banyak itu sanggup kita abaikan demi mementingkan duniawi sedangkan modal kita untuk akhirat adalah ketakwaan kita kepada Ilahi. Solat lima waktu itu merupakan tiang Agama. Goyahnya tiang maka goyanglah agama kita.

Renungkanlah bertapa banyak tanggungjawab yang wajib ini telah kita abaikan kononya tak sempat nak lakukan kerana mengejar masa untuk menjalankan kerja-kerja duniawi yang hanya menguntungkan kehidupan di dunia saja tanpa ada apa-apa keuntungan untuk akhirat. Menjaga solat lima waktu bukanlah satu tugas yang berat. Lakukanlah dengan penuh keikhlasan dan keinsafan demi ketaatan kita kepada yang Maha Berkuasa. Insya Allah hidup kita akan diberkati dan segala kerja kita akan dipermudahkan. Marilah kita perbetulkan balik keutamaan kita.