Khamis, 24 Jun 2021

Harapan dan Kenyataan, Satu Kelohan Rakyat

Angin pilihanraya sudah mula meniup di seluruh negara. Ramai yang dah mula membuat percaturan siapa yang nak jadi calon dan siapa pula yang nak digugurkan. Rakyat pun dah mula membuat pelbagai penilian terhadap wakil rakyat masing-masing. Para wakil rakyat pula dah mula sibuk ke sana ke mari menunjuk muka kepada rakyat. Rakyat pula berada dalam kebingunan. Siapa lah yang akan mereka pilih untuk menjadi wakil rakyat mereka kelak. Adakah calon-calon yang akan dipertaruhkan oleh parti-parti politik yang bertanding itu sama seperti dulu? Adakah mereka itu muka baru? Adakah mereka itu orang muda? Semua itu bukanlah kritiria yang dipandang oleh rakyat. Rakyat bukan lagi seperti dahulu. Zaman sekarang segala maklumat dan berita adalah mudah diperolehi oleh rakyat melalui media sosial dan elektronik. Apa saja yang dikatakan oleh wakil rakyat akan disemak dan dicari kesahihannya melaui media. Rakyat tidak mudah lagi digula-gulakan melalui ucapan dan kenyataan bertulis. Rakyat kita sudah mula lebih perihatin dan cerdik dalam membuat penilaian. Calon yang akan ditentukan oleh sesebuiah parti politik itu perlulah mempunyai keperibadian yang tinggi.

Rakyat akan rasa amat gembira jika wakil rakyat mereka sentiasa perihatin dengan masalah mereka. Keperihatinan itu akan memberi semangat kepada rakyat untuk rajin berusaha untuk mengatasi kesulitan mereka dengan sokongan wakil rakyat mereka. Sokongan moral tu merupakan sesuatu yang lebih utama daripada bantuan kewangan. Jika wakil rakyat bersama-sama rakyat dalam usaha untuk mencari dana bagi menyelesaikan masalah rakyat, sudah tentu rakyat akan terus berusaha dengan lebih gigih lagi dalam usaha untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Berapa ramaikah wakil rakyat yang kerapa turun padang bersama rakyat untuk mendapat maklumbalas tentang kesulitan mereka. Berapa ramai pula wakil rakyat yang hanya rajin turun sekadar untuk mendapat populariti. Akhirnya apa yang disampaikan oleh rakyat hanya disimpan dalam tong sampah. Wakil rakyat yang baik dan ikhlas dalam menjalankan tugas adalah mereka yang kenal dan tahu semua permasalahan rakyat di kawasan mereka. Kenal siapa kah yang amat memerlukan bantuan serta akan berusaha untuk menyelesaikan masalah rakyat kawasan beliau sebaik mungkin. Tidak semua perkara dapat diselesaikan dengan cepat ataupun dengan sekali gus. Ia memerlukan usaha yang berterusan dari semua pihak iaitu rakyat dan wakil rakyat. Usahasama ini penting. Rakyat tak kan nak berpeluk tubuh menunggu wakil rakyat menyelesaikan masalah mereka. Mana mungkin orang lain yang dipertanggungjawab sepenuhnya untuk menyelesai masalah kita. Habis kita buat apa? Sekadar merungut dan tengok sahaja kah?

Wakil rakyat merupakan booster kepada semangat rakyat untuk berusaha dalam mengatasi masalah mereka. Wakil rakyat merupakan pemudah cara dalam kegiatan menyelesaikan masalah rakyat. Malang sekali, perkara ini hanya menjadi satu impian dan harapan kosong kepada rakyat. Amat kecil sekali bilangan wakil rakyat yang sedemikian. Malah amat sukar nak cari wakil rakyat yang begitu perihatin dengan masalah rakyat dan sentiasa mencari jalan untuk membantu rakyat. Tanggungjaweab bersama "collective resposibility" itu amat penting sekali. Dengan adanya tanggungjawab bersama rakyat di sesuatu kawasan sudah tentu banyak masalah akan dapat diselesaikan. Di sesuatu kawasan DUN itu rakyatnya adalah dari kalangan mereka yang dari berbagai lapisan. Ada yang kaya raya, yang sederhana dan juga yang miskin. Setiap anggota masyarakat ini ada peranan mereka masing-masing dalam menyelesaikan masalah umum. Kebersihan kawasan, longkang, kerosakan kemudahan awam seperti jalanraya, balai raya, pasar dan banyak lagi dapat diatasai dan dijaga dengan baik jika ada tanggungjawab bersama rakyat dan wakil rakyat. Berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Rakyat tak boleh melepaskan tangan bulat-bulat kepada wakil rakyat dan pihak berkuasa. Pihak berkuasa pula tak boleh menggunakan kuasa mengikut sesuka hati dan selera. Tindakan yang diambil perlu adil dan saksama berlandaskan undang-undang dan peraturan. Bukannya ikut undang-undang dan peraturan sendiri ikut sedap rasa. Tiada pilih kasih atau pilih bulu dalam melaksanakan tugas. Barulah kita akan dihormati dan disegani oleh rakyat.

Sikap sopan santun dalam berbicara dan menjalankan tugas itu penting. Itulah sikap dan sifat seorang wakil rakyat yang amat diharapkan oleh rakyat. Sentiasa merendahkan diri dan sedar bahawa kita berada dijawatan itu adalah atas ikhsan rakyat. Hentikanlah berlagak dan bersikap sobong apabila berhadapan dengan rakyat. Gelaran YB itu bermaksud "Yang Berkhidmat" bukannya "Yang Berhormat". Kita adalah wakil kepada rakyat di dalam DUN. Kita bukanlah raja atau ketua kepada rakyat. Suara rakyat itu adalah suara yang kita bawa ke dalam DUN. Maka laksanakanlah tugas dan tanggungjawab kita itu dengan penuh keikhlasan, kejujuran dan dengan penuh tanggungjawab. Bersamalah dengan rakyat untuk mendapat maklumat keperluan rakyat untuk dibawa ke sidang DUN agar satu penyelasaian dapat dihasilkan. Harapan rakyat amat tinggi sekali. Rakyat tak meminta yang berlebihan. Rakyat hanya mahu apa yang sepatutnya sahaja. Jika itu pun tak mampun untuk dilaksanakan, maka sebagai wakil rakyat anda gagal.