Rabu, 21 Oktober 2020

Membina Peribadi Yang Unggul

Tingkahlaku yang baik, berbudi bahasa yang halus dan sopan serta berkelakuan baik adalah ciri-ciri serta sifat peribadi yang unggul yang amat diharapkan oleh semua ibu bapa. Adap dan etika itu mencerminkan keperibadian seseorang. Melalui adap dan etikalah kita dinilai oleh masyarakat. Mengamalkan adap dan etika yang betul mampu memberi impak yang positif dan tanggapan yang baik kepada orang lain tentang diri kita.

Terdapat beberapa faktor yang akan mempengaruhi adap dan etika seseorang itu. Pengalaman masa lalu, kejayaan dan kegagalan, penghinaan dan pujian serta cara orang lain bertindak balas terhadap kita akan mempengaruhi adap dan etika kita. Tindakan dan emosi kita adalah selari dengan sahsiah diri kita. Kita akan bertindak mengikut fikiran dan perasaan kita. Kita adalah kita. Maka kita perlu bertindak dengan pemikiran positif dan cara kita berfikir perlulah secara waras. Kerapkali kita bertindak mengikut perasaan dan persepsi yang telah terbina di dalam minda kita. Perasaan dan persepsi inilah yang akan mempengaruhi cara kita berinteraksi, berkomunikasi, melayan dan bergaul dengan masyarakat. Allah SWT dalam Surah Al Mulk:23 telah berfirman bahawasanya Allah lah yang mewujudkan kita dan memberi kita pendengaran dan penglihatan serta hati, tetapi sedikit yang kita syukuri. Di dalam ayat lain seperti dari Surah Al Balad : 8-9 dan Ar Rahman : 1-4 Allah telah berfirman mengenai mata, lidah dan bibir manusia. Kita telah dipesan supaya menjaga percakapan dan perbuatan kita. Kita diperintah supaya berkata benar dan berfikir sebelum berkata-kata. Rasulullah saw juga telah mengingatkan kita bahawa mereka yang mengucapkan perkataan yang dimurkai Allah SWT akan dicampak ke dalam neraka selama 70 musim dan orang yang mengucapkan perkataan yang disukai Allah SWT, akan diangkat ke Syurga Illiyin. (Hadith Riwayat Tirmizi).

Mengubah imej diri adalah satu tugas yang amat berat. Bukanlah senang untuk membuang sesuatu kebiasaan yang telah sebati dengan diri kita. Imej diri kita terbentuk melalui pengaruh persekitaran keluarga, didikan oleh ayah dan ibu, budaya serta amalan hidup yang diamalkan oleh keluarga dan pengaruh pergaulan dengan rakan sebaya. Konflik imej diri dengan perkara luaran juga memainkan peranan dalam proses mengubah imej diri. Kita akan menghadapi kegagalan jika  sekiranya berlaku konflik imej diri dengan perubahan. Jika sekiranya sesuatu perubahan yang ingin kita lakukan itu berdepan dengan sesuatu konflik dengan imej diri kita maka ia akan menjadi sukar untuk kita melakukan perubahan kepada imej diri kita. Gambaran hidup juga akan mempengaruhi sebarang keputusan yang akan diambil dalam usaha kita untuk mengubah imej diri kita. Malah kejayaan dan kegagalan ada kaitan dengan gambaran diri sendiri. Jika gambaran kita itu berbentuk negatif maka hasil perubahan yang kita ingin lakukan akan menjadi negatif. Kualiti batin dan jiwa kita juga memain peranan dalam usaha untuk membentuk imej diri yang unggul. Dalam proses penyelesaian masalah gambaran metal digunakan bagi mencari jalan yang sesuai dan paling berkesan untuk menyelesaikan masalah berkenaan. Kita kerap menggambarkan apakah yang akan kita lakukan dan apakah hasil yang akan kita perolehi dari proses perubahan yang hendak kita lalui. Gambaran mental yang dihasilkan dengan pengaruh nafsu serta naluri dan keinginan akan mendatangkan kekeciwaan apabila berlaku konflik dengan imej kita. Keberhasilan yang diharapkan tidak sebagaimana yang diharapkan atau digambarkan akan mengundang kekeciwaan. Maka keterbasan diri kita perlulah kita terima dengan hati yang terbuka. Kita kerap terikat dengan keterbatasan dan kemampuan kita. Menerima semua ini akan membuat kita lebih bersedia dan yakin untuk melakukan perubahan yang kita kehendaki.

Rasulullah saw telah banyak menunjukkan kepada kita ciri-ciri keperibadian yang amat tinggi nilainya kepada kita. Tahap kesabaran yang amat tinggi yang ada pada junjungan kita adalah sesuatu yang amat sukar bagi kita yang kerdil ini untuk menjadikan ia sebagai salah satu sifat peribadi yang unggul. Tingkah laku yang lemah lembut bila berbicara, menjadikan baginda amat disegani oleh kawan dan lawan. Sifat-sifat menyimpan dendam dan imarah perlu dibuang jika kita ingin mengubah imej kita kepada sesuatu yang tinggi nilainya dalam masyarakat. Sifat pemaaf juga merupakan satu sifat yang amat sukar bagi kita untuk terap ke dalam imej kita. Selagi ada dendam selagi itu tidak akan ada pemaafan. Apa perlunya kita berdendam? Apa yang telah berlalu dan berlaku tidak akan boleh kita ubah atau padamkan dari hidup kita. Apa yang dah berlaku sudah pun berlaku. Ia kekal sebagai satu titik hitam di dalam hidup kita. Walau apapun kita buat ia tidak akan berubah menjadi titik putih. Maka belajarlah untuk melupakan segala kesalahan orang terhadap kita dan maafkanlah mereka kerana sifat pemaaf itu adalah sesuatu yang amat disukai All SWT. Sedangkan Allah lagi MAHA PENGAMPUN inikan pula kita hambaNYA. Sebesar-besar dosa, kecuali SYIRIK, akan Allah ampunkan dan sebanyak mana dosa kita seperti buih-buih yang ada di laut juga Allah ampunkan jika kita memohon kepadaNYA dengan penuh keikhlasan dan keinsafan. Kita diajar untuk membalas kejahatan dengan kebaikan. Maka laksanakanlah. Ia bukannya sesuatu yang semudah mana yang diperkatakan. Itulah cabaran hidup kita dalam usaha untuk menjadikan imej kita Unggul. In Sya Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan