Jumaat, 2 Oktober 2020

ANTARA BUDAYA KERJA DAN HASIL KERJA Bhg 2.

Dalam bahagian 1 kita telah melihat beberapa perkara yang berkaitan dengan budaya kerja masyarakat kita. Kini kita akan pula melihat bagaimana satu budaya kerja yang baik yang akan menghasilkan hasil kerja yang bermutu dan memberi kepuasan kepada pelanggan kita. Untuk mencapai tahap budaya kerja yang baik dan yang akan memuaskan semua orang bukanlah mudah. Ia bukan saja akan memuaskan pelanggan kita malah ia juga akan memuaskan hati pihak atasan kita. Ia juga akan menjadi organisasi kita satu organisasi yang dipuji, dihormati dan dipercayai. Perlakuan di dalam sesebuah organisasi itu akan menunjukkan budaya berkerja para ahlinya. Setiap organisasi mempunyai objektif dan matlamat masing-masing. Kita di suatu ketika dahulu dihidangkan dengan keperluan mewujudkan Misi, Objektif, Matlamat dan Piagam Pelanggan. Semua perkhidmatan kerajaan perlu mempunyai kesemua perkara tadi. Malah ada yang perlu dipamerkan kepada pelanggan agar pelanggan tahu misi, objektif, matlamat dan terpenting sekali 'Piagam Pelanggan'. Ia merupakan janji para penjawat di dalam organisasi berkenaan kepada pelanggan mereka. Mengapakah kita masih lagi mendengar rungutan dan aduan mengenai perkhidmatan yang diberi? Sudah tentulah ianya berkaitan dengan cara kerja atau 'Budaya Kerja'. Adalah didapati apa yang telah ditetapkan oleh dasar sesebuah organisasi itu tidak dihayati dan difahami dengan jelas dan sedalam-dalamnya oleh para penjawat di dalam organisasi berkenaan. Maka berlakulah cara kerja yang longgar serta lemah. Kerja dilaksanakan dengan sekadar ianya diselesaikan tanpa mementingkan mutu, tahap keberkesanannya dan kepuasan pelanggan. Di manakah kelemahan dan kepincangannya? Mari kita lihat beberapa contoh cara melaksanakan sesuatu kerja. Kita ada pilihan dalam melaksanakan kerja kita. Kita yang tentukan caranya, persembahannya, mutunya dan juga keberkesanannya serta hasil yang akan diperolehi.

Sebagai contoh, seorang tukang kebun dikehendaki menanam bunga dan pokok-pokok renek untuk mencantikkan lanskap tempat kerja beliau. Beliau boleh mengguna alat perkebunan dan mula menanam pokok-pokok berkenaan di mana-mana saja yang beliau rasa senang dan mudah. Ataupun beliau merancang dulu di mana nak tanam bunga-bunga dan pokok-pokok renek itu. Jika beliau mengambil mudah dengan cara kerjanya, ia akan jadi asalkan dah tanam dan siap sudahlah. Tiada langsung ciri-ciri susun atur yang menarik dan terbaik akan difikirkan. Pegawai yang bertanggungjawab pula tak ambil peduli langsung. Bagi beliau pula, yang penting kerja dah siap dan arahan dah dilaksanakan. Sudah tentulah hasilnya juga tidak menarik, kemas dan cantik. Setelah selesai kerja menanam bermula lah pula kerja-kerja penjagaan. Si tukang kebun akan mengeluarkan paip getah yang panjang dan akan menyiram pokok-pokok tersebut dengan memancutkan air secara rambang. Yang penting semuanya dah basah dan disiram. Setelah pokok-pokok berkenaan tumbuh membesar dan rumput serta tumbuhan semak di sekeliling pokok mula tumbuh dengan semak, ia tidak diambil peduli sehinggalah ada teguran atau arahan dari pegawai atasan barulah kerja-kerja pembersihan dilakukan. Itupun dilakukan secara ala kadar. Asalkan bersih dan tak nampak semak. Itulah dia cara kerja dan budaya kerja yang kerap diamalkan oleh kebanyakan pekerja. Mengapakah ia menjadi demikian rupa.  Sebagaimana yang telah Pak Ngah katakan ia ada kaitan dengan 'Hasil Kerja', 'Mutu Kerja' dan 'Penghayatan Tugas'. Maka hasilnya akan menjadi sedemikian rupa.

Apakah yang sepatutnya pekerja berkenaan buat untuk mendapatkan Hasil dan Mutu Kerja yang cemerlang? Terlebih dahulu beliau perlu menghayati tugas beliau itu dengan rasa penuh tanggungjawab. Apakah hasil yang hendak dicapai? Apakah mutu hasil yang nak dicapai? Adakah beliau rasa puas dan seronok dengan hasil kerja beliau? Beliau perlu rancang dahulu apakah jenis pokok yang nak ditanam, di manakah pokok itu hendak ditanam dan bagaimanakah susunaturnya? Lakarlarlah sedikit susunaturnya dan bincang bersama ketuanya mengenainya. Ketuanya pula perlu mengambil tahu dan perihatin dengan apa yang dipersembahkan. Bukannya tidak megambil endah atau peduli. Jika ketuanya bersama mengambil bahagian dalam tugas berkenaan, sudah tentu tukang kebun itu akan merasa bangga dan seronok. Setelah dipersetujui bersama barulah kerja-kerja menanam dimulakan mengikut susuatur yang telah diputuskan. Sudah tentunya hasil dan mutu kerjanya akan menjadi baik, kemas dan menarik. Malah mungkin akan mendapat pengiktirafan oleh pihak lain termasuk para pelanggan yang ke pejabat berkenaan. Apakah yang kita faham tentang apa yang telah Pak Ngah nyatakan di sini? Untuk mendapat yang terbaik, Budaya Kerja juga perlu terbaik. Penghayatan tugas menjadi kunci utama. Hasil dan Mutu yang terbaik menjadi matlamat utama. Mana mungkin sesuatu kerja yang dibuat sambil lewa serta sekadar 'melepaskan batok di tangga' akan membuahkan hasil yang cemerlang.

Berpeganglah kepada prinsip untuk menghasilkan yang terbaik, kemas, padu dan bermutu dalam melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan kepada kita. Barulah matlamat serta objektif organisasi akan tercapai secara cemerlang. Satu usaha untuk membugarkan dan meningkatkan budaya kerja perlu dilakukan di semua peringkat dalam Perkhidmatan Awam. Bermula dari peringkat Pengurusan hinggalah ke peringkat pelaksanaan 'Budaya Kerja' perlu diubah, diperbaiki dan dipertingkatkan. Bukan sekadar membuat pelancaran program atau projek untuk memperbaiki budaya kerja. Ia perlu dilaksanakan secara bersungguh-sungguh oleh semua jabatan dan kementerian. KPI sudah ditetapkan tapi apakah hasilnya? Adakah KPI itu sekadar dicapai saja. Bukankah sepatutnya KPI itu dikaji dan dipertingkatkan dari masa ke masa? KPI tak perlu diletak ke satu tahap yang sukar dicapai. Tetapkan dahulu secara berperingkat dari 'Mudah" dan beransur hingga menjadi 'Cemerlang'. Ramai yang rasa lega apabila KPI dicapai kerana pihak atasan akan rasa puas dan tidak akan dipersoalakn lagi. Tahun demi tahun KPI tu kekal begitu tanpa ada sebarang kajian keberkesananya. Tiada kajian untuk memperbaiki KPI tersebut agar dipertingkatkan ke tahap yang lebih baik dan bermutu. Para pejawat pula akan melaksanakan tugas dengan matlamat untuk mencapai KPI tanpa ada rasa tanggungjawab dan penghayatan. KPI dijadikan hanya sebagai satu perkara yang perlu dibuat begitu saja. Janji dah capai. Rasa puas hati ianya dah dicapai. Malah ada yang berasa lega ianya dah dicapai. Dimanakah penghayatannya? Ianya sama juga bila kita melaksanakan solat setiap waktu. Kerapkali kita laksanakan solat hanya sekadar melepaskan tanggungjawab agama. Tiada langsung penghayatan untuk mendapat keredoan Allah S.W.T. Solat itu tidak dijadikan satu tanggungjawab yang besar. Cara mengerjakan solat pun secara ala kadar saja. Pernahkah kita tanya pada diri kita "Adakah solat ku ini sempurna? Adakah ia diterima oleh Allah S.W.T.?" Rasanya tidak. Setelah selesai solat dan memberi salam kita bangun dan terus meninggalkan sejadah. Mungkin ada yang berzikir ringkas dan berdoa. Mungkin ada yang berwirid panjang dan berdoa sambil menitis air mata. Kita bagaimana ya? Sama-samalah kita tanya diri kita, "Bagaimana agaknya Budaya Kerja kita" Mudah-mudahan kita akan menjadi penjawat yang mempunyai tanggunjawab dan penghayatan kerja yang tinggi serta padu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan