Khamis, 22 Oktober 2020

BENARKAH KITA?

Tahukah kita bahawa.... kita mempunyai banyak kelemahan. Kelemahan-kelemahan ini tidak disedari oleh kita bahawa ianya adalah satu kelemahan sebab pada diri kita itu adalah kita. Kita kerap berfikiran bahawa kitalah yang benar dalam apa jua keadaan. Apa saja yang kita kata, adalah yang terbaik bagi kita juga pada orang lain. Apa yang kita lakukan adalah juga yang terbaik bagi kita juga bagi orang lain. Tapi adakah kita pernah merasakan apa yang kita katakan atau lakukan itu telah melukakan hati orang lain. Untuk mengakui bahawa kita telah tersilap adalah sesuatu yang amat sukar bagi kita. Mengapa demikian? Oleh kerana kita semua mempunyai prinsip hidup masing-masing maka kita akan berpegang teguh dengan prinsip-prinsip itu. Mungkin pada diri kita tuturkata seperti " Ketepi lah, orang nak lalu ni" adalah biasa, sedangkan tuturkata sedemikian telah menyinggung perasaan orang lain. Berkata seperti ini, "Maaf ye, Boleh saya tumpang lalu?" bukanlah cara kita kerana pada kita orang itu tidak sepatutnya berada di situ dan menghalang laluan orang ramai. Ia memang benar ianya sedemikian, tapi pada orang itu dia berhak nak berdiri di mana saja kerana dia juga seperti kita merasakan dirinya itu benar. Maka siapakah yang bersikap benar? Adakah kita atau dia? 

Kita tidak tahu siapa kita sebenarnya. Adalah sukar untuk kita mempercayai diri kita sendiri jika kita tidak boleh menerima siapa diri kita sebenarnya. Apabila sesiapa saja yang membuat teguran terhadap percakapan atau perbuatan kita, sudah tentu kita akan terasa diri kita dicabar. Kita tak dapat menerimanya dengan hati yang terbuka sebab kita rasa diri kita itu benar. Cuba kita senaraikan segala percakapan kita dan perbuatan kita dalam sehari dan segala teguran yang dibuat oleh orang lain mengenainya. Lihat dengan hati yang terbuka dan buat penilaian sendiri. Adakah segala teguran itu benar? Perasaan menolak akan wujud kerana kita tak boleh menerima hakikat bahawa kita sebenarnya salah atau tak benar. Letakkan diri kira diluar kotak diri kita. Lihat semua itu dari perspektif orang lain. Apakah yang kita dapat lihat? Jangan buat sebarang perbandingan di antara diri kita dengan orang lain kerana perbandingan itu akan membutakan kita dari melihat diri kita sebenarnya. Ia bukanlah sebuah kanta yang akan membantu kita untuk membuat penilaian.

Sesuatu nasihat yang kita terima akan kita takrifkan sebagai sesuatu yang baik berdasarkan nilai-nilai individu yang memberi kita nasihat. Kerapkali ianya akan bertentangan dengan nilai-nilai diri kita. Sudah tentulah agak sukar untuk kita menerima nasihat-nasihat tersebut. Kita tidak akan bertindak mengikut nasihat tersebut kerana ianya bukanlah cara kita bertindak atau ianya bukanlah masa yang sesuai untuk kita bertindak. Jadi siapakah yang benar? Dia ataupun Kita? Jangan sesekali kita membuat sesuatu keputusan hanya kerana ingin memuaskan hati orang lain. Malah buatlah jika ianya memberi kita inspirasi untuk maju dan menjadi bertambah baik. Rasa puas itu merupakan suatu nikmat yang amat besar ertinya dalam hidup kita. Minda yang berfokus adalah ramuan yang sebenar-benarnya yang akan membuat kita rasa selamat dan memberi hasil yang memuaskan. Ia memerlukan semangat dan kekuatan seekor singa untuk kita berada dilandasan yang sebenarnya mengenai diri kita. Mengakui bahawa inilah diri kita yang sebenarnya adalah sesuatu yang amat berat dan hebat serta amat sukar untuk kita lakukan. Berusahalah untuk menuju ke arah kebenaran diri kita. Siapa kita sebenarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan