Rabu, 11 November 2020

Di Antara Yang Diimpikan dan Yang Nyata - Alam Rumahtangga

Kebahagiaan adalah iadaman semua orang. Kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai satu ahap kebahagiaan yang kita kehendaki. Malah kita sanggup melakukan apa saja asalkan kebahagiaan yang diingini tercapai. Adakalanya kebahagiaan itu untuk diri sendiri. Adakalanya ia adalah untuk pasangan hidup dan keluarga kita. Kebahagiaan hidup bersama pasangan kita merupakan satu impian semua pasangan. Ia merupakan satu nikmat dan hadiah yang sangat tinggi nilainya kepada setiap pasangan. Untuk memastikan kebahagian itu dicapai dan kekal berpanjangan serta bertambah puas adalah satu tugas yang amat sukar. Ia memerlukan banyak kesabaran dan pengorbanan. Hubungan kasih sayang merupakan aspek utama dalam membina kebahagian bersama. Hubungan kasih sayang antara pasangan amat memberi kesan kepada kebahagiaan hidup kita. Adakah kebahagiaan itu akan diprolehi hanya dengan kasih sayang. Bayangan indah yang pernah kita angankan dahulu tidak semestinya akan terjadi. Harapan untuk menikmati alam romantik bersama suami atau isteri amat besar sekali.Apakah harapan kita setelah mendirikan rumahtangga? Adakah kita pasti kita akan capai segala apa yang kita impikan? 

Bagaimanakah sepasang suami isteri dapat mewujudkan kebahagiaan bersama. Berbagai peristiwa, dugaan, cabaran dan ujian yang terpaksa dilalui demi untuk menjaga keharmonian rumahtangga. Perasaan cinta dan angan-angan merupakan dua perkara yang amat berbeza sekali. Kita kerap mempunyai angan-angan untuk hidup bahagia bersama pasangan kita. Kita berangan-angan untuk membina sebuah rumahtangga yang begitu sempurna dan penuh dengan kasih sayang. Kerapkali apa yang kita angan-angan kan tidak menjadi sesuatu yang benar. Malah perasaan was-was pula yang timbul. Berbagai persoalan kita mula tanya menjelang hari pernikahan kita. Hakikatnya, apabila kita mula hidup sebagai suami isteri ianya amat berbeza sekali. Sebelum bernikah pasangan tak pernah pun berbincang tentang hidup rumah tangga mereka kerana pada masa itu masing-masing sedang dilamun perasaan cinta. Pernahkah kita berbincang mengenai rumah yang akan diduduki, jenis perabot yang nak dibeli, peralatan dapur, perabot bilik tidur dan hiasan dalaman rumah? Tidak, kita hanya sibuk dilamun cinta. Setelah bersama barulah mula episod rumahtangga yang sebenar. Segala tabiat yang selama bercinta tak pernah pun kita nampak pada diri masing-masing akan mula kita lihat. Inilah masanya kita perlu mula mengenali segala kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri masing-masing. Perlunya ada tolak ansur dalam semua perkara agar satu persefahaman akan terjalin barulah rumahtangga akan bahagia dan hidup harmonis. 

Pada satu ketika akan timbul suasana di mana kita mula merasakan sseolah-olah rasa kasih dan sayang kita dah berkurangan. Alam perkahwinan ini terbahagi kepada tiga fasa. Fasa pertama adalah fasa di mana pasangan sentiasa merasakan amat bahagia dan penuh dengan kasih sayang. Segala-galanya manis dan manja. Segala apa yang dilakukan akan dilakukan bersama. Fasa kedua pula adalah apabila tibanya sikecil ke alam rumahtangga kita. Pada ketika itu rasa kasih sayang akan menjadi bertambah erat di antara suami isteri. Sepanjang masa membesarkan anak tumpuan kepada diri masing-masing mula berkurangan. Banyak masa akan diberikan kepada anak yang sedang membesar. Jika tiada tanggungjawab bersama dalam menjaga dan membesarkan anak maka akan timbul rasa tak puas hati di antara pasangan. Anak itu adalah amanah Allah kepada pasangan suami isteri, maka sudah semestinya tanggunjawab menjaga dan membesar semestinya dipikul bersama. Bukanlah ianya dibebankan kepada sang isteri seorangan. Kasih sayang seorang ibu kepada anaknya amat tebal sekali sehinggakan kadangkala kasih sayang terhadap suami telah diabaikan secara tak disedari. Pengorbanan dari kedua-dua pihak amat penting ketika ini. Untuk mewujudkan rumahtangga yang bahagia dan harmoni ia amat penting. Pasangan perlu korbankan masa, tenaga dan wang ringgit demi kebahagian keluarga. Dalam Fasa ketiga pula adalah apabila semua anak-anak telah dewasa dan mempunyai hidup sendiri. Kini sudah tiba masanya kita akan hidup kembali berdua sebagaimana semasa kita mula-mula mendirikan rumahtangga. Dalam usia yang meningkat dan dengan kesihatan yang berkurangan, hidup pasangan ini akan menjadi lebih erat dan mesra. Ke mana saja dan apa saja yang nak dibuat akan dibuat bersama. Demikianlah kitaran hidup berumahtangga. Andaikata tiada kesefahaman dan tolak ansur di dalam atau di antara fasa-fasa tersebut, akan berlakulah konflik dalam rumahtangga yang berkemungkinan membawa mudarat kepada hubungan suami isteri.

Kesimpulannya, pasangan suami isteri perlu terima apa yang tersedia ada pada pasangan masing-masing. Di sinilah sikap bertolak ansur dan mengubahsuai pendirian dan prinsip hidup masing-masing perlu diamalkan. Ada yang berpendapat bahawa pernikahan itu adalah satu perjudian. Saya pula berpendapat bahawa pernikahan itu adalah satu pelaburan. Kita perlu bijak membuat pelaburan agar mendapat keuntungan yang amat besar nilainya, iaitu kebahagian dan keharmonian rumahtangga. Kita akan sentiasa berada dalam alam romantik bersama pasangan kita. Suasana bahagia dan harmoni ini akan menjadikan kita orang yang sihat dan cergas.In Sya Allah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan