Selasa, 17 November 2020

Tabiat - Buruk dan Baik

 Kita sebagai manusia mempunyai tabiat sama ada yang baik ataupun yang buruk. Bagaimanakah kita dapat menguruskan tabiat kita dengan baik. Perubahan perlu dilaksanakan untuk membina satu-satu tabiat yang baik. Sebelum itu kita juga perlu berusaha untuk membuang tabiat yang buruk. Perubahan itu memerlukan satu daya usaha yang bersungguh-sungguh kerana bukannya mudah untuk membuang atau menukar sesuatu tabiat yang sudah sebati dengan kita. Jika anda yakin anda boleh berubah dan anda menjadikan ia sebagai satu usaha yang bersungguh-sungguh, perubahan itu akan berlaku.

Membina satu tabiat yang baru amatlah sukar tetapi jika anda berjaya ianya amat berbaloi. Untuk membina satu tabiat baru yang baik anda perlu kenalpasti apakah motivasi anda. Anda juga perlu mewujudkan satu isyarat bahawa anda akan bergerak ke arah sesuatu yang baru. Anda perlu mengikuti perkembangan dan kemajuan perjalanan anda ke arah pembentukan satu tabiat yang baru. membuang satu tabiat yang lama dan buruk memerlukan satu daya usaha yang amat gigih. Ia bukanlah satu tugas yang mudah. Langkah-langkah tertentu perlu diambil untuk menukarkan dan menggantikan yang lama kepada yang baru. Tabiat lama sudah sebati dengan diri anda. Ketidakselesaan akan berlaku apabila ianya diganggu apatah lagi cuba dibuang terus dari diri anda. Ketagihan merokok atau minum kopi adalah satu contoh yang amat mudah. Berkata kepada diri kita bahawa kita akan berhenti merokok atau minum kopi amat mudah. Ye ke? Apabila tiba masa di mana pada kebiasaannya kita merokok atau minum kopi mampukah kita berkata bahawa kita nak minum air kosong. Perasaan ketagihan itu mula membuak sehinggakan kerap kali kita akan kalah dan mula merokok dan minum kopi kembali. Cuba anda senaraikan segala tabiat buruk anda dalam sehelai kertas. Tampalkan ia ke sebuah papan kenyataan di rumah anda. Letakkan matlamat untuk membuangnya dalam satu jangkamasa yang telah ditetapkan. Perhatikan perkembngan dan kemajuan anda dalam usaha anda itu. Setakat manakah kejayaan anda.

Langkah-langkah yang perlu anda lakukan adalah sebagaimana berikut:

  • Kenalpasti tabiat yang ingin dibina atau dibuang.
  • Tetapkan dan tentukan matlamat yang hendak dicapai.
  • Pertimbangankan motivasi yang ingin anda wujudkan. Ia merupakan penentu kejayaan atau kegagalan matlamat membina tabiat baru anda.
  • Senaraikan apakah faedah yang akan anda perolehi daripada tabiat baru ini dan bagaimana tabiat ini boleh mengubah gaya hidup anda.
  • Mulakan usaha anda itu secara sekala kecil dan berperingkat-peringkat agar anda akan dapat menjayakannya.
  • Kegairahan untuk berubah akan menjadi satu tekanan terhadap anda.
  • Kesabaran amat penting kerana proses pembinaan tabiat baru memakan masa yang agak lama dan panjang.
  • Wujudkan satu isyarat yang akan mengingatkan anda melakukan tabiat yang baru yang telah anda tetapkan.
  • Jadikan keadaan dan situasi harian sebagai aktiviti sokongan.
  • Ubahkan keadaan persekitaran kita kerana ia akan memudahkan kita untuk melaksanakan perubahan. Kenalpasti faktor-faktor penghalang dalam usaha kita untuk berubah.
  • Dapatkan sokongan orang lain yang rapat dengan kita sebagai pembantu yang akan memastikan usaha kita itu akan berjaya.
"The Golden Rule of Habit Change : You can't extinguish a bad habit but you can change it" dengan ertikata lain , anda tak mampu untuk menghapuskan sesuatu tabiat buruk, tapi anda boleh mengubahkannya menjadi sesuatu yang baik.

Bahan rujukan: How To Manage Your Habit, Mej(B) Mohammad Qayyum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan