Khamis, 7 Mei 2020

Pendidkan Negara. Ke Mana Nak Dituju? Bhg 1


Ingin saya kongsi pandangan saya sebagai bekas guru yang dah bersara mengenai isu persekolahan anak-anak seluruh negara. Ramai yang memikirkan norma biasa iaitu ke sekolah, masuk kelas guru mengajar kemudian menduduki peperiksaan. Itu semua perkara biasa yang telah kita semua lalui sejak kecil hingga lah dewasa. Maka masing-masing pening memikirkan, apa nak jadi dengan anak-anak kita yang tak bersekolah ni? Sejak perlaksanaan PKP, dah hampir 2 bulan anak-anak tidak ke sekolah. Ibu bapa ada yang risau tentang pelajaran anak-anak mereka. Ada juga yang risau dan marah melihat anak-anak terpaksa buat kerja sekolah yang diberi oleh guru melalui media elektronik. Ramai juga yang memikirkan tentang para guru yang rehat aje kat rumah tak buat apa. Gaji dapat setiap bulan. Para guru pula memikirkan bagaimana nak habiskan silibus pengajaran? Masa dah banyak terbuang. Pak menteri dan pegawai-pegawai atasan di KPM pula memerahkan otak bagaimana nak atasi semua ini. 

Pada saya semua ini adalah berpunca dari sistem. Sistem pendidikan yang telah kita amalkan sejak merdeka lagi. Sistem yang diwarisi dari penjajah yang telah kita ubahsuai cara pelaksanaannya serba sedikit. Yang berubah hanyalah program-program baru, pendekatan baru dan arahan-arahan baru. Sistem tetap sama. Dari tadika ke sekolah rendah, dari darjah 1 hingga darjah 6, kemudian ke sekolah menengah, dari Tingkatan 1 hingga lah ke tingkatan 5. Itu laluan yang akan dilalui oleh anak-anak kita dari umur 6 tahun hinggalah ke umur 17 tahun. Maka sekarang laluan itu telah diputuskan dan diganggu oleh satu wabak yang amat merbahaya. Gangguan ini telah mengakibatkan para penggerak pendidikan Negara terbantut sejenak. Timbullah berbagai andaian dan persepsi dikalangan masyarakat serta ahli keluarga pendidikan. Sampai bila ya nak jadi begini? Bila sekolah nak dimulakan kembali? Ada yang bertanya tentang peperiksaan anak-anak mereka. Memang benar para guru dan KPM telah berusaha untuk mewujudkan satu kaedaah pengajaran dan pembelajaran untuk anak-anak didik mereka. Di sini adalah menjadi tanggungjawab para ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka mengikut jadual P&P yang telah ditetapkan. 

Nak tanya para guru, ke mana kita nak bawa anak-anak kita ni? Cuba kita fikirkan sistem yang boleh memberi munafaat yang maksimum kepada anak-anak untuk memasuki alam dewasa dan pekerjaan dengan lebih berjaya lagi. Mampukah kita menghasilkan satu masyarakat yang berilmu tinggi, berakhlak mulia, berdisiplin tinggi serta kental jati diri mereka. Jika dilihat hasil pendidikan negara sehingga kini, kita gagal untuk membentuk itu semua. Ramai rakyat kita rendah jati diri, kurang berdisiplin serta kurang berakhlak mulia. Lihat sahaja apa yang berlaku sekarang. Setiap hari kita boleh baca melalui media sosial mengenai ini. Hampir semua Negara yang dijajah oleh penjajah dari barat sedang mengamalkan system pendidikan warisan penjajah. Sama juga dengan Malaysia. Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta Dasar Pendidikan Negara telah disediakan dengan baik sekali. Cuba kita halusi kedua-dua perkara tersebut secara halus dan mendalam. Apakah jenis rakyat yang kita nak bentuk? Apakah jenis budaya bangsa yang kita nak bentuk? Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan mengamal berbilang agama serta budaya, masyarakat bagaimana rupakah yang kita nak wujudkan. Kita perlu memikirkan perkara ini secara mendalam kerana pendidikan merupakan alat dan proses yang amat penting dalam  pembentukan masyarakat Malaysia. Apakah identiti negara yang nak kita masyhurkan kepada dunia? Dah berjaya kah kita? Adakah masyarakat dunia dapat mengenali kita sebagai rakyat Malaysia? Maka sesuatu perlu dilakukan untuk memperkasakan system pendidikan negara kita. Adakah PPPM satu usaha yang akan berjaya?

Insya Allah akan saya sambung di dalam posting yang akan datang. Saya akan mengutarakan beberapa isu yang sedang merumitkan proses pendidikan kebangsaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan