Rabu, 8 Mac 2017

Sejak Akhir-Akhir Ini......

Sejak akhir-akhir ini saya perhatikan ramai daripada kita telah mula menulis di dalam alam maya mengenai hal orang lain yang tak ada kaitan dengan diri kita maupun ahli keluarga kita. Bak kata pepatah Melayu " menjaga tepi kain orang" Saya tak nampak apa faedahnya berbuat demikian. Perbuatan tersebut tidak langsung mendatangkan faedah kepada kita, malah ia mendatangkan dosa. Dosa mengumpat, dosa mengata dan dosa mengeji serta menghina orang. Sedangkan telah nyata dan jelas bagi kita orang Islam bahawa semua perbuatan tersebut adalah haram dan berdosa. Nampaknya seolah-olah masyarakat Islam masa kini sudah tidak lagi mengamal dan menghayati ajaran Al Quran sepenuhnya. Malah nafsu lebih diutamakan daripada akal yang waras dan jiwa yang soleh. Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al Hujuraat, ayat 11 " Hai orang-orang beriman, Janganlah satu kaum mengejek kaum yang lain kerana boleh jadi yang diejek itu lebih baik dari yang mengejek dan tidak pula wanita-wanita mengejek-ngejek wanita-wanita yang lain, kerana boleh jadi wanita yang diejek itu lebih baik daripada wanita-wanita yang mengejek. Dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri. Dan jangan panggil dengan gelar-gelar yang buruk. Sebutan yang paling buruk sesudah iman adalah fasik. Barang siapa yang tidak bertaubat (sesudah mengejek itu), maka merekalah orang-orang yang zalim".

Tidakkah jelas dan nyata apa yang diperintahkan oleh All SWT kepada hamba-hambaNya. Susah sangat ke nak faham apa yang telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada kita. Tidakkah kita rasa takut akan azab dan seksaan yang akan kita tempuhi di akhirat kelak? Amat menyedihkan sekali apabila terdapat  mereka yang sama -sama sibuk terlibat dalam gejala ini adalah golongan yang dah berumur. Sepatutnya kita yang dah berumur inilah tempat anak-anak muda mendapat pedoman dan nasihat serta pengajaran untuk menjadi manusia yang baik dan taat dengan suruhan dan larang Allah SWT. Ini tidak, mereka ini juga sama-sama sibuk  kirim mengirim apa yang diterima melalui alam maya tanpa usul periksa kesahihannya. Mengapa perlu kita sibuk mengenai harta kekayaan orang lain? Mengapa perlu kita sibuk dengan cara seseorang itu berbelanja? Adakah perbuatan mereka itu melibatkan hidup kita?  Di dalam Surah Al Hujuraat, ayat 12 pula Allah telah berfirman maksudnya, "Hai orang-orang yang beriman! Jauhi kebanyakan prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa. Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain. Dan janglah sebahgian kamu mempergunjingkan sebahagian yang lain. Apakah salah seorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Tentu kamu tidak menyukainya. Bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha penerima taubat dan Maha Penyaytang".

Nampaknya orang-orang kita lebih suka melihat kita bersengketa sesama kita. Orang-orang kita lebih berminat melihat sesama kita musnah dan binasa dalam semua aspek kehidupan. Maka ramailah orang-orang kita yang musnah perniagaannya, hancur persahabatannya, gagal dalam usahanya untuk maju di dalam kerjayanya kerana apa? Kerana Hasad Dengki yang amat tebal dikalangan orang kita. Sudahlah, hentikanlah kerja-kerja kirim mengirim, hantar-menghantar apa-apa saja yang berkaitan keburukan orang lain. Hentikanlah sikap menyibuk tentang kehidupan orang lain. Jadikanlah ia sebagai pedoman untuk mnyelamatkan kita daripada terjerumus ke dalam hidup yang penuh dengan hasad dengki. iri hati dan busuk hati. Bersihkanlah diri kita dengan bertaubat sebagaimana yang telah diperintah oleh Allah SWT dalam ayat tersebut di atas.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan