Khamis, 31 Disember 2009

Dalam Kenangan Isteri Yang Tercinta



Dalam kenangan isteri yang tercinta Hajah Mazidah Mohd Yatim yang telah kembali ke rahmatullah pada 19 Disember 2009 bersamaan 2 Muharam 1430 jam 7.38 pagi bertempat di rumah kesayangan kami di Slim Village, Perak. Allahyarhamah telah pergi dalam keadaan yang amat baik dan sempurna. Semua ahli keluarga berada di sisi Allahyarhamah sepanjang malam sehingga beliau menghembus nafasnya yang terakhir. Saya amat merindui nya. Tidak akan ada sesiapa yang dapat mengganti tempat Allahyarhamah. Beliau merupakan satu insan yang teristimewa. Insan yang amat, penyabar, murah hati, kuat bersedekah, rajin, cekal dan amat penyayang dan pengasih. Sehinggakan semasa Allahyarhamah berada dalam keadaan lemah, sambil menitis air mata beliau masih sempat mengatakan kepada saya,"Ram, I am dying. I risau pasal you. Siapa nak jaga you. I kesian kat you, Ram".Bayangkan bertapa Allahyarham mengambil berat akan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Saya telah mengorban seluruh tenaga saya untuk menjaga dan membuat Allahyarhamah selesa dan gembira sepanjang masa. Selagi ALLAH memberi saya kesihatan dan kekuatan, malah selagi saya boleh merangkak, akan saya jaga isteri kesayangan saya itu. Itu janji saya kepada Allahyarhamah sejak beliau disahkan mengidap ketumbuhan di dalam otak pada Oktober 2008 hinggalah ke akhir hayatnya. Pemergian nya membuat saya menjadi amat lemah sekali. Ke mana saja saya pergi dan apa saja yang saya buat, saya akan teringatkan Allahyarhamah sebab kami tak pernah berpisah dalam semua urusan. Saya dan anak-anak berdoa agar Allahyarhamah akan diampunkan segala dosanya dan ditempatkan bersama para syuhadah di tempat yang mulai di sisi ALLAH SWT. AMIN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan