Jumaat, 22 Julai 2022

Falsafah Pendidikan Negara - Satu Harapan atau Satu Kegagalan

Sistem pendidikan negara kini sudah menjadi satu isu yang telah merisaukan ramai di antara kita. Masyarakat mula keliru dengan perjalanan pendidikan di negara kita. Pak Menteri telah mengutarakan pelbagai program dan pendekatan untuk menaikkan lagi tahap pendidikan negara kita. Setiap kali pihak Kementerian Pendidikan menerima seorang menteri baru, akan ada berbagai program dan rancangan baru yang diutarakan oleh pak menteri. Mereka yang menguruskan dan menjalankan segala program dan rancangan yang ada  terutama sekali para guru menjadi keliru, bosan dan kepenatan. Belum lagi selesai sesuatu program atau rancangan tanpa melihat apakah hasilnya dari segi kejayaan atau kegagalan sudah muncul pula program yang baru. Ramai para guru menyuarakan keluhan mereka mengenai berbagai beban tugas yang berkaitan dengan program dan rancangan berkenaan. Ada yang keliru tentang arah tuju dan objektif setiap program atau rancangan yang kerapakali didapati bertindan kehendak dan matlamatnya.

Ramai di kalangan masyarakat tidak tahu pun apa itu Dasar Pelajaran Negara dan Falsafah Pendidikan Negara. Mungkin nama dasar dan falsafah mereka pernah dengar tapi apakah inti patinya tiada yang mengetahuinya secara total. Falsafah Pendidikan Negara telah digubal dengan begitu kemas dan lengkap untuk mencapai matlamat mewujudkan rakyat negara yang baik dan bermutu. Pernyataan yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Negara adalah:' Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang  berilmu pengetahun, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara".

Jika dilihat dengan teliti, kita dapat merumuskan bahawa falsafah ini memberi penekanan kepada perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu ke arah melahirkan insan yang baik. Ia berpaksikan kepada kepercayaan, keyakinan serta kepatuhan kepada Tuhan seterusnya melahirkan insan yang berpegang teguh kepada agama. Kewujudan insan yang baik akan mewujudkan warganegara yang baik. Ciri-ciri insan yang baik yang ingin diwujudkan adalah mereka yang percaya dan patuh kepada Tuhan, berilmu pengetahun, berakhlak mulia, bertanggungjawab kepada diri sendiri, masyarakat, agama dan negara, berbakti dan memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara serta memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu.

Apakah sistem pendidikan negara kita yang telah dilaksanakan sejak tahun 1974 berdasarkan syor dan cadangan dari Laporan Jawatankuasa Kabinet ini telah berjaya sebagaimana yang dikehendaki oleh Falsafah Pendidikan Negara? Jika jawpannya adalah "gagal", maka apakah punca kegagalan tersebut. Adakah puncanya telah diketahui dan langkah-langkah memperbaikinya telah dilaksanakan. Melihat daripada sikap, tutur kata dan budi bicara serta budaya hidup harian rakyat kita, agak jelas sekali sistem pendidikan kita telah gagal dalam mewujudkan warganegara yang baik. Untuk memahami lebih mendalam lagi tentang Falsafah Pendidikan Negara akan saya perincikan satu persatu di tulisan yang akan datang. Insya Allah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan