Rabu, 18 Januari 2012

Gelaran Oh Gelaran

Hari ini Pak Ngah nak bercakap sedikit mengenai tabiat gelar menggelar di kalangan masyarakat kita. Gelaran nama adalah satu perbuatan yang dah menjadi budaya dalam masyarakat kita tak kiralah sama ada di kalangan orang Melayu, Cina atau India. Agaknya memanggila seseorang itu dengan gelaran dianggap sebagai sesuatu yang biasa. Malah ada yang nerasakan bahawa gelaran itu adalah tanda kemesraan. Adakalanya gelaran merupakan satu penghinaan atau pun sesuatu yang jengkel.

Masyarakat Melayu terutama sekali di kawasan kampung kita akan biasa mendengar gelaran diberi kepada anak-anak. Nama yang didaftar di dalam Sijil Kelahiran Khalid tetapi nama gelaran di rumah dan di kalangan saudara mara adalah Ramli. Banyak lagi contoh seperti Ramli - Moli, Yusof - Cop, Ramlah - Molah yang biasa digunakan dikalangan orang kampung.Adakala gelaran-gelaran yang agak tidak manis juga biasa digunakan terutama sekali jika tuan punya badan itu ada kecacatan pada dirinya. Jika ia gemuk digelar Debab atau Bab, jika kurus digelarnya pulak Jerangkung atau Kedeking, jika tempang digelarnya pula Senget. Macam-macamlah gelaran yang diberi kepada kita mengikut keadaan fizikal kita. Adakalanya pula kita juga digelar mengikut tabiat kita. Jika cakap banyak digelarnya Becok atau Bebel. Jika senang menitis air mata digelarnya Kememe. Demikianlah keadaannya tabiat masyarakat kita.

Adakah perbuatan ini satu perbuatan yang baik? Adakah ia sesuatu yang digemari mereka yang digelar? Tidakkah ia akan mengguriskan hati dan perasaan yang digelar. Cuba kita lihat apakah pandangan dari sudut agama Islam. Di dalam ayat 148 Surah An Nisaa' ALLAH swt berfirman, maksudnya " Allah tidak menyukai ucapan buruk (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali orang orang yang dianiaya. Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui". Ucapan buruk sebagai mencela, memaki dan menerangkan keburukan orang lain serta menyinggung perasaan orang adalah ditegah sama sekali.

Dengan itu adalah lebih baik kita sama-sama nasihat menasihati orang yang suka memberi gelaran kepada orang lain supaya berhenti berbuat demikian. Moga-moga Allah akan mengampun dosa kita. Kita perlu memohon maaf daripada orang yang selalu kita panggil denga gelaran-gelaran yang tak elok. Semoga dosa kita akan diampunkan.

Wallahhuaalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan