Sabtu, 12 Ogos 2017

Apa dah jadi, Di mana silapnya?

Saya ingin berbicara mengenai perkara yang berkaitan dengan berbagai program dan pelan yang telah dan sedang dijalankan oleh kita dimana-mana jua. Tak kiralah sama ada oleh pihak pemerintah, kementerian, ataupun pihak-pihak tertentu. Plan dan program yang pernah kita semua tahu adalah seperti "Satu Kampung, Satu Produk", "Bumi Hijau", "Pengurusan Sampah", "Bahasa Kebangsaan", "Kurikulum Baru Sekolah Rendah KBSR yang sekarang dikenali sebagai Kurikulum Sepadu Sekolah Rendah KSSR", KBSM bagi sekolah menengah, "Bahasa Baku" dan banyak lagi Setiapkali pemimpin baru atau menteri baru mengambil alih sesuatu tempat sudah pastilah akan wujud program dan projek baru. Maka program dan projek lama akan tengelam dan dilupakan sedang ia masih berjalan dan belum selesai. Ia akan mati tak berkubur dan dilupakan oleh kita.

Maka saya tertanya "Apa dah jadi?" Adakah ia masih lagi berjalan atau beroperasi? Jika ia masih berjalan dan beroperasi, Apakah hasilnya? Berjaya atau Gagal? Jika BERJAYA, adakah ia masih diteruskan dan diperbaiki serta dimajukan lagi? Jika GAGAL, Di mana silapnya? Sudahkah dikenal pasti punca kegagagalan? Jika belum mengapa tak dicari serta disiasat? Jika sudah, apa langkah-langkah baik-pulih yang telah dilakukan. Jika belum, bila agaknya nak digembur dan disiasat punca kegagalan?

Cuba kita lihat tentang projek "Satu Kampung, Satu Produk". Apakah produk-produk yang telah dikenalpasti. Adakah agensi yang bertanggungjawab telah melaksanakan segala prosedur yang sepatutnya dijalankan? Ke mana perginya produk-produk tersebut. Saya tak nampak pun di mana-mana pasaraya. Produk-produk tersebut biasanya hanya dipamerkan semasa Karnival MAHA. Itu pun dua tahun sekali. Bila saya tanya kenapa tak ada dijual dalam pasaran? Jawapan yang saya dapat dari pengusaha ialah" Susah lah nak masuk pasaran". Hai apa yang dibuat oleh agensi yang bertanggungjawab? Bukan kah mereka sepatutnya yang mengumpul produk-produk ini dari kampung-kampung yang terlibat dengan projek. Apa yang dimaklumkan kepada saya pihak yang bertanggungjawab tak datang pun kutip produk-produk berkenaan. Terpaksa lah orang kampung bawa sendiri ke bandar dan dijual di tepi jalan atau pun di pasar-pasar minggu dan pasar-pasar malam. Jika inilah caranya, apa faedahnya melancarkan projek "Satu Kampung Satu Produk"

Dalam pendidikan pula ramai ibu bapa langsung tak tahu pun apa itu KBSR, KSSR, KBSM. Sekarang timbul pula berbagai lagi program dalam pendidikan. Yang terbaru adalah "Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, PPPM" Saya percaya ramai di kalangan kita hanya tahu nama pprojek tersebut. Apa isi kandungnya, harapan dan matlamatnya secara terperinci tidak lah kita faham. Buku yang memberi penjelasan mengenai pelan tersebut pun adalah edaran terhad. Rasa saya ramai juga di kalangan guru yang tak berpeluang untuk membaca isi kandungan buku tersebut. Harap-harap PPPM tidak akan menerima nasib yang sama seperti projek PPSMI, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Yang membuat dasar tidak dapat memastikan kejayaan sesuatu projek kerana kejayaan itu terletak sepenuhnya di atas bahu para guru yang menjadi pelaksana projek tersebut. Kegagalan  dari pihak pelaksana akan menjadi punca kegagalan pelan tersebut. Pihak pelaksana perlu mendapat maklumat dan latihan yang cukup untuk memastikan ianya berjaya. Pemantauan dan penambaikan perlu digerakkan secara aktif oleh pihak pengurusan. Jika tidak maka sudah tentu ia akan gagal di pertengahan jalan.

Tentang pengurusan sampah lagi baik. Kononya ada jadual kutipan. Sebagai contoh, hari Isnin dan hari Khamis kutipan sampah domestik. Hari Selasa pula kutipan sampah Kitar Semula. Undag-undang dan peraturan telah pun dibuat dan diwartakan. Kononnya jika para penghuni tak ikut peraturan cara pembuangan sampah mereka akan dikenakan kompaun. Tapi apa yang saya lihat di mana-mana kawasan perumahan jarang sekali ada yang mengasingkan sampah kitar semula mengikut warna beg plastik yang tertentu. Sema awal pelancaran bukan main lagi, siap ambil gambar rumah-rumah yang mengikut peraturan. Setakat itu aje lah. Pada bulan pertama pelaksanaan peraturan adalah operasi dibuat di beberap taman perumahan dan adalah mereka yang kena kompaun. Selepas seminggu dua senyaplah. Balik asal. masing-masing buat tak kisah. APA DAH JADI?

Dulu-dulu setiap tahun akan ada pelancaran "BULAN BAHASA KEBANGSAAN". Di corong-corong radio dan peti television berulangkali di dendangkan lagu-lagu seperti "Gunakanlah Bahasa Kebangsaan Kita" dan "Bahasa Jiwa Bangsa". Di merata tempat, di kampung dan bandar dipasang sepanduk dan kain rentang mengenainya. Semua premis DIWAJIBKAN mengguna bahasa kebangsaan dalam semua papan tanda mereka. Malah semua jabatan kerajaan juga telah diarahkan untuk mengguna bahasa kebangsaan dalam semua urusan rasmi. Tetapi "APA DAH JADI". Sekarang dimerata tempat kita akan dapat lihat kebanyakan papan-papan tanda telah di bahasa Inggeriskan ataupun di bahasa Cinakan. Sehingga ada pelancung yang tertanya-tanya adakah beliau berada di Malaysia? Tak nampak pun ciri-ciri kebangsaan. Nama taman perumah, nama jalan-jalan, nama bangunan-bangunan malah nama program yang dilancarkan oleh agensi kerajaan pun dan di bahasa Inggeriskan. Nama-nama seperti "Damansara Heights", "Putra Heights", "Harmony Garden" "Lake View Park", "Uptown Avenue", "Aviva Green" digunakan untuk taman-taman perumahan. Nama-nama seperti "The Earth", "Bedford Business Park", "Kuchai Enrtepreneurs Park", "Mid Valley Megamall" pula digunakan untuk pusat-pusat beli belah. Jika na disenaraikan di sini kesemuanya sudah tentulah akan berjela-jela senarainya. Mengikut peraturan PBT semua nama dan papan tanda mestilah dalam bahasa kebangsaan sebelum kelulusan diberi. "DI MANA SILAPNYA"

Seminar demi seminar telah diadakan untuk memertabatkan bahasa kebangsaan, Forum, Bengkel dan entah apa lagi telah diadakan. Apakah tindakan selanjutnya? Dimanakah semua kertas kerja dihantarkan? Di mana pula segala rumusan diserahkan? Apa yang telah dibuat oleh pihak yang menerima segala kertas kerja dan rumusan berkenaan. Disimpan di dalam laci ke? Ataupun telah di letak di rak-rak buku di bilik pejabat masing-masing. APA DAH JADI? DIMANA SILAPNYA?

Rasanya dah sampai masa pihak yang berwajib, yang mempunyai kuasa dan yang bertanggungjawab mula melaksanakan kuasa, kewajipan dan tanggungjawab masing-masing jika ingin melihat MARUAH BANGSA DAN NEGARA dihormati orang lain. Jangan sampai kita dipadang rendah kerana tidak mempunyai harga diri serta pengenalan diri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan