Khamis, 29 Mac 2018

CARI PELUANG DAN BUAT KERJA ATAU TUNGGU PELUANG DAN CARI KERJA



Apabila kita lihat suasana yang sedang berlaku di sekitar kita, akan tertanya apa nak jadi dengan masyarakat kita. Di mana silapnya sistem pendidikan negara. Di mana silapnya sistem keluarga masyarakat kita. Adakah kesilapan ini semua berpunca dari sistem atau ianya pengaruh media, rakan sebaya atau budaya luar. Saya masih lagi tertanya-tanya apakah puncanya. Cuba kita lihat satu persatu daripada masalah yang wujud.

Pengangguran merupakan isu paling penting di semua negara. Rata-rata indeks pengangguran menjadi bahan perbahasan, bahan rujukan dalam menentukan status ekonomi negara. Apa yang membuat saya rasa keliru adalah sikap anak-anak muda terutama sekali lepasan universiti yang sentiasa dijadikan bahan dan ukuran keadaan ekonomi negara. Kata-kata yang mengatakan hidup sekarang amat susah sekali berbanding dulu. Susah nak cari makan katanya. Cuba kita lihat jumlah pendatang asing yang setiap hari berduyun-duyun datang ke negara kita untuk mencari rezeki. Ramai juga di antara mereka ini yang mempunyai kelayakan akademik yang tinggi sehingga ke tahap ijazah. Mereka sanggup buat apa saja pekerjaan demi mencari rezeki untuk dihantar balik ke negara asal mereka. Hampir kesemua kedai-kedai Tomyam Thai yang terdapat di negara ini adalah diusahakan oleh warga Selatan Thai. Mereka juga terdiri dari anak-anak muda negera Thai. Anak-anak muda kita bagaimana ye? Ramai dari anak-anak muda kita hanya menjadi pengusaha Gerai Burger. Warga Thai ini memulakan perniagaan dengan membuka warubg di tepi jalan dengan menyewa tapak dari warga kita. Setelah beberapa tahun meraka mampu membuka restoran yang tersergam indah. Jika kita lihat hampir di kebanyakan kedai, kilang, Mall, Pasaraya dan sektor pembinaan para pekerjanya adalah warga asing. Jadi di mana asasnya yang mengatakan tak ada pekerjaan di dalam negara ini. Jika kelayakan akademik menjadi isu, mengapa pula para graduan dari negara asing sanggup melakukan semua pekerja yang disebut tadi. Saya pernah berbual dengan beberapa pekerja dari Bangladesh yang bekerja di stesen minyak, SWM dan di Pasaraya, ramai di antara mereka ini adalah pemegang ijazah atau diploma. Amat sukar sekali untuk bertemu dengan graduan kita yang sanggup membuat semua pekerjaan berkenaan. Alasan yang diberi adalah “Tak kan nak kerja macam tu sedang saya mempunyai Ijazah. Penat belajar bertahun-tahun”.

Seorang pekerja dari India yang bertugas sebagai pelayan di sebuah restoran di Subang Jaya, setelah bekerja selama 15 tahun di Malaysia telah pulang ke India setelah berjaya mempunyai 3 buah kedai, 2 buah rumah dan 10 ekar ladang gandum hasil dari simpanan yang dikumpulkan semasa bekerja di sini. Seorang penjual satay dari Surabaya telah berjaya mendirikan sebuah banglo besar dan mempunyai beberapa ekar kebun hasil dari jualan satay selama 20 tahun di sini. Seorang pekerja buruh binaan dari Madura Indonesia telah berjaya mendirikan sebuah syarikat binaan sendiri setelah bekerja di sini selama 12 tahun. Seorang wanita dari Indonesia telah berjaya menjadi usahawan kantin di 2 buah kilang dan juga telah berjaya membuka sebuah warung makan yang laris jualannya. Ramai lagi warga asing yang berjaya yang boleh dijadikan contoh. Lihat saja disekeliling kita di seluruh pelusuk negara. Tidak dinafikan bahawa memang ada anak muda kita yang juga berjaya menjadi kaya dan hidup senang hasil dari usaha mereka yang gigih tetapi jika dibandingkan jumlahnya dengan warga asing yang berjaya amat kecil sekali bilangan anak-anak muda kita yang berjaya. Ramai juga kenalan saya yang menjana pendapatan RM 7 ribu hingga RM 10 ribu sebulan dengan berniaga kecil-kecilan. Seorang peniaga warung tepi jalan yang saya kenali mampu mendapat sehingga RM 1 ribu sehari. Ini bermakna beliau mendapat hasil sebanyak RM 26 ribu sebulan selama berniaga sebanyak 26 hari. Seorang lagi kenalan saya yang mempunyai Diploma telah gigih mengusahakan jualan ais krim Malaysia. Beliau mampu menjana pendapatan sebanyak RM 350 sehari iatu RM 7000 sebulan. Seorang lagi kenalan saya yang mengusahakan gerai roti canai berjaya menjana pendapatan sebanyak RM 2900 seminggu iaitu sebanyak RM 11 ribu sebulan.

Mengapa kita perlu merungut dengan keadaan yang kononya tiada pekerjaan Bak kata Tok Mat Menteri Besar Negeri Sembilan, pendidikan di universiti itu adalah untuk mematangkan kita. Jangan tunggu peluang setelah tamat pengajian tapi cari peluang dan jangan cari kerja tapi buat kerja. Barulah kita boleh berjaya dalam hidup. Malah peluang dan bantuan banyak disediakan oleh kerajaan. Yang penting berusahalah dan jangan mengaku kalah jika terpaksa berhadapan dengan berbagai halangan dan rintangan. Kata orang tua-tua “Masakan dapat sagunya jika tidak dipecahkan ruyungnya”. Teringat saya peristiwa di mana seseorang yang berhenti di sebuah gerai Orang Asli di Muadzam Shah untuk membeli sebuah pokok Tanduk Rusa yang dijual oleh orang asli itu. Apabila beliau mengatakan bahawa harganya mahal tahukah apa jawapan yang diberi oleh orang asli itu. “Kalau nak murah masuklah hutan carilah sendiri”. Ungkapan tersebut memberi saya motivasi untuk berusaha. Cuba kita bayangkan bertapa susahnya orang asli itu perlu meredah hutan dan terpaksa juga memanjat pokok hutan yang besar dan tinggi untuk mendapat pokok Tanduk Rusa itu. Hargailah susah payah mereka yang berusaha mencari bahan jualan mereka terutama sekali yang terdapat di dalam hutan. Pernah tak kita bayangkan bertapa susahnya untuk mengumpul madu tualang dari hutan atau pernah tak kita bayangkan bertapa susahnya dan bahaya yang hadapi oleh para nelayan semasa ke laut luas mencari ikan. Kita perlu bayangkan bertapa susahnya mereka mencari rezeki jadi jangan lah merungut. Insya Allah dalam catatan akan datang saya akan bincang mengenai sikap pentingkan diri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan