Ahad, 14 Februari 2021

Etika Ketika Bergaul dan Berbual - Bhg 2

Dalam bahagian kedua ini Pak Ngah nak utarakan beberapa kelakuan atau perbuatan yang tidak sopan serta tidak elok dilakukan ketika bergaul atau berbual.

Bersikap tidak mesra. Adakalanya kita mungkin berdepan dengan individu yang bersikap tidak mesra semasa bergaul dengan kita. Apabila bercakap, macam endah tak endah saja. Ketika orang bercakap dibuat tak dengar serta tak endah saja. Kita rasa macam kita sedang bercakap dengan dinding. Jika kita rasa tak berminat nak bergaul atau berbual dengan sesiapa eloklah kita jauhkan diri kita. Ia adalah lebih baik daripada kita bersikap tidak mesra.

Menyampuk percakapan orang. Ini satu lagi tabiat yang kerap dapat kita lihat berlaku dikalangan kita semasa bergaul atau berbual, Entah mengapa si polan ni amat suka menyampuk segala apa yang dicakapkan oleh orang. Sering mencelah dengan memberi beberapa pandangan dan pendapat mengenai perkara yang sedang dibualkan. Seolah-olah dia tahu semua mengenai tajuk perbualan kita. Adakala pula dia akan memburuk-buruk kan atau menyalahkan orang apabila dia meyampuk. Jangan lah menjatuhkan maruah orang apabila memberi pandangan. Belajarlah untuk mendengar dahulu apa yang nak dikatakan oleh orang dan bercakaplah apabila diminta.

Monopoli perbualan. Kadangkala kita juga pernah terjumpa orang sebegini. Dalam sesuatu kelompok perbualan dia akan menguasai perbualan atau perbincangan yang sedang diadakan. Apabila dia bercakap, tiada siapa lagi sempat nak memberi pandangan kerana dia tak akan berhenti dari bercakap secara berterusan. Pendek kata sesi perbualan kita itu dikuasai oleh nya.

Terlalu mengkritik dan kerap bertelagah. Kita juga adakalanya mengkritik sesuatu perkara yang sedang dibualkan. Mengkritik tu tak lah salah tetapi apabila mengkritik berterusan adalah sesuatu yang tidak elok. Ia akan membawa kepada pertelagahan dan ketegangan suasana perbualan dan pergaulan. Masing-masing tak nak mengalah. Masing-masing berperasan yang dia lah yang betul. Dialah yang benar dan dialah yang serba tahu. Belajarlah menerima pandangan dan pendapat orang tanpa perlu terus mengkritik sebelum dikaji atau difikirkan dahulu kebenarannya. Memberi pandangan balas adalah lebih berkesan daripada mengkritik.

Adalah diharapkan agar apa yang Pak Ngah perkatakan di atas akan dapat memberi serba sedikit munafaat kepada kita dalam menjaga etika pergaulan dan perbualan kita. InsyaAllah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan