Sabtu, 13 Februari 2021

Etika Ketika Bergaul dan Berbual Bhg 1

Tahukah anda bahawa kita kadangkala telah berlaku tidak sopan dan berkelakuan buruk tanpa kita sedari apabila kita bergaul dengan orang.Pernah tak anda melakukan perkara-perkara berikut sepanjang anda bergual dengan kawan-kawan atau orang ramai.

Terlupa nama orang yang kita jumpa. Kita kadangkala terlupa nama orang yang pernah kita jumpa dan berbual pada suatu ketika sedangkan orang itu ingat nama kita. Apakah yang akan anda lakukan jika ini berlaku kepada anda? Adakah anda akan terus berbual dengan biasa tanpa peduli siapa nama orang itu. Bagaimana jika anda ditanya oleh orang itu adakah anda kenal dia. Apakah jawapan anda. Adakah anda akan jawab "Ya" sedangkan anda tak ingat nama dia. Apa salahnya anda secara jujur mengaku bahawa anda terlupa nama dia dan memohon maaf. Rasanya orang itu tak akan berkecil hati kerana mungkin anda jarang sekali bertemu dengan dia. Jadi, berterus terang lah. Jangan malu untuk mengaku kelemahan anda. Tidak akan jatuh mertabat anda andainya anda mengaku kelemahan anda. Malah anda akan dihormati atas kejujuran anda itu.

Mengulang bicara. Orang akan merasa bosan jika anda kerap mengulang percakapan anda. Apa lagi jika perkara yang diulangkan itu adalah yang berkaitan dengan diri anda. Anda akan dikatakan suka memuji diri sendiri dan bermegah-megah dengan kejayaan anda. Cuba bayangkan diri anda mendengar perkara yang sama diulang-ulang beberapa kali ketika anda sedang berbual-bual bersama. Sudah tentu ia akan membosankan. Elakkan daripada mengulang percakapan anda. Keadaannya sama juga apabila ibu anda mengulang pesanannya beberapa kali kepada anda. Sudah tentu anda akan merasa bosan. Begitulah juga orang yang sedang berbual dengan anda. Dia juga akan merasa bosan malah mungkin juga meluat dengan anda.

Merepek dan merapu, Ini lagi satu tabiat yang amat buruk jika diamalkan. Bercakap biarlah bermakna dan berisi bukannya merepek tak tentu hujung pangkalnya ataupun merapu tanpa ada ertinya. Anda akan dianggap sebagai orang yang tak berilmu dan berpengetahun jika anda bercakap tak tentu arah. Apa yang betul dan apa yang tak betul pun tak dapat difahami oleh orang, Cara anda bercakap seolah-olah anda tahu apakah yang sedang dibicarakan pada hal, apa yang anda cakapkan tiada kaitan langsung dengan perkara yang sedang dibincangkan. Sebagai contoh, yang dibincangkan adalah mengenai masalah pos. Anda pula bercakap berkenaan kurier. Maka berkecelarulah keadaan. Pastikan anda tahu apa yang sedang dibincangkan barulah anda bercakap,  jika tidak adalah lebih baik anda berdiam diri saja.

Mengelak kontak mata. Perbuatan mengelak daripada kontak mata apabila sedang berbicara adalah dianggap biadap. Cuba bayangkan orang yang sedang bercakap dengan anda tidak langsung memandang muka anda malah dia membuat kerja lain sambil bercakap dengan anda. Perbuatan ini juga dianggap sombong dan berlagak. Jika anda melakukannya ketika bercakap dengan seseorang anda akan dikatakan sombong dan berlagak. Anda akan menunjukkan bahawa anda menganggap diri anda lebih mulai dari orang lain. Seolah-olah orang lain tu rendah mertabatnya daripada anda. Malah mempunyai kontak mata ketika berbual menunjukkan yang kita menghormati orang yang sedang bercakap dengan kita. Serupa juga keadaannya apabila kita bercakap dengan ibu bapa kita atau dengan guru kita. Mana mungkin kita tidak mengada kontak mata dengan mereka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan