Sabtu, 27 Februari 2021

Pertanyaan Yang Sepatutnya DiTanya Oleh Ibu Bapa kepada Guru

Hubungan ibu bapa dengan guru kerap menjadi isu dalam masyarakat. Kerap berlaku konflik di antara ibu bapa dengan guru apabila tindakan yang diambil oleh guru terhadap anak mereka dianggap keterlaluan. Ibu bapa zaman kini dilihat terlalu memanjakan anak-anak mereka. Anak-anak diberi apa saja yang diminta terutama sekali dikalangan ibu bapa yang berkemampuan. Golongan inilah yang kerap didapati mempunyai konflik di antara guru. Kita jarang dengar rungutan daripada ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk memenuhi kehendak anak-anak. Kata-kata seperti: " Saya tak mahu anak saya mengalami kesusahan sebagai mana saya alami dahulu semasa saya kecil". Maka anak diberi kesenangan tanpa batas sehinggakan menjadi mereka lupa daratan.

Sebagai ibu bapa, cuba kita tanya diri kita mengenai beberapa perkara berkaitan dengan persekolahan dan pendidikan anak-anak kita. 

1. Pernah kah kita ambil tahu tentang standard akademik yang ditetapkan oleh sekolah di mana anak kita sedang bersekolah. Pernah tak kita berjumpa dengan guru-guru yang mengajar anak kita mengenai perkara ini? Kita perlu ambil tahu mengenai perkara ini agar kita dapat membantu anak-anak kita untuk menguasai standard yang telah ditetapkan oleh guru berkenaan.

2. Kita juga perlu bertanya kepada guru-guru yang mengajar anak kita, apakah tindakan yang diambil oleh mereka andaikata anak kita mengalami kesulitan dalam pelajaran yang berkaitan. Bagaimanakah caranya kita sebagai ibu bapa dapat membantu dalam menyelesaikan masalah pembelajaran anak kita itu.

3. Sebagai ibu bapa, adakah kita pernah berusaha untuk mengajukan pembelajaran kendiri pada anak-anak kita. Anak-anak kita perlu diberi bimbingan dalam melakukan pembelajaran kendiri. Mereka perlu diberi tunjuk ajar bagaimana untuk mendapat maklumat lanjut mengenai perkara yang sedang dipelajari di sekolah. Adakah kita membiarkan anak-anak kita tenggelam di dalam kebingungan dan kekecewaan dalam menghadapi masalah dalam pembelajaran mereka.

4.Adakah kita pernah menggalakkan anak-anak kita menguasai pemikiran secara kritis, kreatif dan inovatif? Pernah tak kita ambil tahu tentang penggunaan pemikiran secara kritis, kreatif dan inovatif oleh guru-guru semasa mengajar anak-anak kita di dalam kelas? Kemahiran berkenaan amat penting dalam menghadapi dunia pekerjaan di masa hadapan anak-anak kita. Kelemahan dalam kemahiran berkenaan akan menjadikan anak-anak kita seorang pekerja yang lurus serta mengikut arus pekerjaan yang berlaku di tempat kerja mereka. Mereka tidak mungkin tahu bagaimana untuk mengurus atau menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi semasa kerja.

5. Adakah kita tahu apakah matlamat pentaksiran yang digunakan di sekolah anak kita? Adakah ia bermatlamat untuk memberi gred atau nilai semata-mata atau ia bermatlamat untuk memajukan dan mengukuh pembelajaran. Apa yang kerap berlaku adalah ianya hanyalah semata-mata untuk menggredkan anak-anak mengikut tahap pencapaian gred E hingga ke A. Adakah penilaian ini dapat menunjukkan tahap sebenar penguasaan anak-anak dalam ilmu yang dipelajari.

6. Adakah pernah kita bertanya kepada guru-guru yang mengajar anak-anak kita tentang apa yang telah dipelajari dalam kelas pada hari ini? Di rumah pula adakah kita duduk bersama anak-anak kita untuk bertanya tentang apa yang telah dipelajari hari ini. Pernahkah kita minta anak-anak kita terangkan kepada kita apa yang dia faham tentang pelajaran pada hari ini. Jika anak-anak kita tidak dapat memberi penjelasan yang jelas dan mantap maka ia menunjukkan bahawa anak-anak kita itu tidak dapat menguasai apa yang telah dipelajari di sekolah pada hari ini.

7. Bagaimanakah kemajuan akademik anak-anak kita dikesan? Adakah guru-guru yang mengajar anak-anak kita membuat pengesanan kemajuan akademik anak-anak kita? Adakah hasil pengesanan kemajuan akademik itu dikongsi bersama kita supaya kita dapat membantu dalam mengatasi kelemahan yang ada pada anak-anak kita. Anak-anak kita sudah tentu ada kekuatan dan kelemahan mereka dalam setiap subjek yang mereka pelajari. Bukan kesemua topik yang dipelajari dapat dikuasai dengan baik. Sudah tentu ada beberapa topik yang mereka lemah. Di sinilah pentingnya guru memaklumkan kepada kita apakah kelemahan dan kekuatan yang ada pada anak-anak kita di dalam sesuatu subjek yang dipelajari mereka.

8. Apakah halangan dan kekangan utama dalam kemajuan akademik yang dapat dikesan dan dilihat di dalam setiap subjek yang dipelajari anak-anak kita. Sudah tentu para guru mereka akan dapat memberi ulasan mengenainya kepada kita. Kita perlu berhubung dengan guru-guru berkenaan untuk mendapat maklumat berkenaan supaya dapat kita bantu anak-anak kita untuk mengatasi sebarang halangan dan kekangan yang ada. Melalui ini kita akan dapat memberi tumpuan kepada segala kelemahan dan kekuatan yang ada pada anak-anak kita dalam menghadapi pelajaran mereka. 

Semoga dengan serba sedikit pengetahuan yang kita dapat dari rencana ini ianya dapat membantu kita dalam memastikan pendidikan anak-anak kita mencapai matlamat yang hendak dicapai dengan jayanya. Mudah-mudahan anak-anak kita akan menjadi insan yang berkualiti sahsiah dirinya serta pendidikannya.

Bahan rujukan:  Questions parents should ask teachers about their child's education. Terry Heick, founder and director at TeachThought, a mission-driven company dedicated to innovation in education through the growth of innovative teachers.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan