Isnin, 18 April 2011

Susahnya Hidup. Gaji Tak Cukup

Manusia memang tak pernah puas dengan apa yang ada pada mereka. bak kata pepatah Melayu "Beri betis nak peha". Kalau dah dapat satu, nak dua. Dah dapat dua, nak tiga. begitulah seterusnya. Kita selalu dengar orang merungut yang gajinya tak cukup. Pernah ke kita dengar orang tak merungut pasal pendapatan dia? Rasanya tidak. Semua akan merungut dan merasa ianya tak mencukupi. Jadi bila agaknya manusia akan merasa cukup. Kita ni nampaknya tak ada bezanya dengan Qorun yang telah dibenamkan oleh Allah dengan harta-hartanya. Cukup itu bergantung kepada cara kita mengendali hidup kita. Jika kita hudup dalam lingkungan kemampuan kita, sudah tentu ianya cukup. Kata orang tua, " Ukur baju ikut badan". Jika orang tinggal di sebuah rumah besar, tak kan kita pun nak tinggal di rumah besar juga sedangkan pendapatan kita tak mengizinkannya. Jika orang mengguna kereta, tak kan kita pun nak guna kereta, sedangkan kita tak mampu.

Cuba kita buat pengiraan. Jika pendapatan kita hanya RM2000.00, isteri tak berkerja dan mempunyai seorang anak. Bagaimanakah agaknya akan kita berbelanja? Rumah yang bagimana ya, yang akan kita duduki? Yang sewanya RM500, RM700 atau RM300? Seperti biasa kita nak selesa jadi kita sewa yang RM500. Baki pendapatan kita adalah RM1500. Setelah ditolak belanja lain seperti, belanja dapur RM500, leterik dan air RM50, ansuran kereta RM500 dan lain-lain perbelanjaan RM300. Baki tinggal RM150.00
Cukup ke? Adakah itu cara hidup yang paling baik? Susahkan untuk kita meletakkan diri kita di dalam keadaan hidup yang benar-benar mengikut kemampuan. Biasanya kita akan berada dalam keadaan berhutang yang amat teruk sehinggakan kita terpaksa melakukan sesuatu untuk menampung kekurangan tersebut. Ini lah hakikatnya ramai daripada kita yang hidup di bandar dan kota. Nak ikut orang sekeliling kita. Kononnya malu kalau orang tahu rumah kita takde TV LCD, takde ASTRO, takde set kerusi antik, takde peti ais dua pintu, entah apa lagi yang takde. Oleh kerana terlalu sangat nak jaga apa yang orang kata, kita sanggup bergolok bergadai asalkan kita tak malu.

Saya nampak penduduk kampung lebih selesa dan mampu menabung dan melabur dengan banyak. Kebanyakan pelabur ASNB adalah dari golongan penduduk kampung. Mereka hidup mengikut kemampuan dan berjimat. Tidak seperti kita yang di bandar. Jadi marilah sama-sama kita renungkan adakah kesempitan hidup kita itu berpunca dari pendapatan yang kacil atau berpunca dari gaya hidup kita yang tak berpadan dan berhemah.

Pak Ngah sekadar merenung diri sendiri yang juga tak berapa berjaya untuk berhemah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan